Home » Kenyataan Media

Najib perlu jamin hak asasi manusia

Submitted by on July 8, 2011 – 9:35 AMNo Comment

Tanggungjawab pertama Perdana Menteri Malaysia adalah untuk menjamin kebajikan dan hak asasi semua warga Malaysia.

Memandangkan ini, BERSIH 2.0 sedih dan kecewa atas kenyataan YAB Najib Razak bahawa penyokong himpunan BERSIH 2.0 akan diambil tindakan jika berlaku kekacauan pada 9 Julai ini.

Pada setiap masa, BERSIH 2.0 terus mengulangi komitmen kami kepada aktivisme yang aman dan berprinsip. BERSIH 2.0 sentiasa mengecam sebarang bentuk kekerasan dan konsisten dalam seruan kepada orang ramai untuk menjaga nilai-nilai tersebut bersama. Masyarakat sivil tidak pernah keluar daripada pegangan ini dan tidak akan menyokong sebarang kejadian yang melibatkan kekerasan.

Dengan berhimpun secara aman pada 9 Julai ini, warga Malaysia dari pelbagai latar belakang etnik, agama, dan politik akan meIaksanakan hak perlembagaan mereka secara demokratik dan aman supaya suara mereka didengari.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang diketuai Perdana Menteri untuk menjamin keselamatan rakyat patriotik yang turun ke jalan raya menuntut hak mereka. Walaupun bagus Perdana Menteri akhirnya bersuara membuat kenyataan tentang 9 Julai, kami tetap kecewa sebab beliau enggan menunaikan tanggungjawab kerajaan sebagai penjamin hak perlembagaan dan keselamatan orang awam tetapi memilih untuk memutarbelitkan niat kami dan mengugut rakyat dengan tindakan menindas.

BERSIH 2.0 turut kecewa dengan dakwaan bahawa tujuan BERSIH 2.0 adalah untuk “merampas kembali momentum politik daripada BN.”

Kemungkinan, Perdana Menteri tidak membaca dan memahami tuntutan BERSIH 2.0 atau sengaja memburukkan imej BERSIH 2.0. Sebagai sebuah pergerakan, kami tidak berminat langsung dalam kepentingan politik mana-mana parti – matlamat kami adalah untuk memulihkan sistem pilihan raya yang benar-benar bebas dan adil supaya semua parti politik di Malaysia boleh bertanding atas padang yang rata dan rakyat diberi peluang memilih sesiapa mereka fikirkan terbaik untuk menjadi pemimpin.

Sudah berkali-kali kami menjemput Barisan Nasional menjadi sebahagian proses ini kerana kami menghargai sokongan daripada mana-mana pihak untuk menjadikan Malaysia lebih adil kepada semua. Kami menjemput kerajaan untuk menolak sebarang paranoia yang menyumbang kepada pandangan bahawa pergerakan ini membawa kesan negatif. Kami menjemput semua supaya berjalan bersama kami untuk menuntut 8 perkara BERSIH 2.0.

Sesungguhnya, ini merupakan peluang terbaik untuk Perdana Menteri menunjukkan idea-idea progresif yang beliau dukungi di dalam dan luar negara. Beliau boleh berbuat begitu dengan membenarkan himpunan 9 Julai berjalan tanpa halangan. Beliau juga boleh mengarahkan semua agensi kerajaan supaya bekerjasama untuk membolehkan setiap warga Malaysia yang ingin melaksanakan hak perlembagaan mereka boleh berbuat demikian tanpa perlu menakuti sebarang kekerasan dan kekacauan.

Kami berpendapat ini adalah cara terbaik untuk menggunakan tenaga dan sumber polis, yang setakat ini hanya menimbulkan kekeliruan dengan menahan penyokong BERSIH 2.0 yang aman dan patriotik dan mendakwa mereka bermotif melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong. Amat nyata, dakwaan sebegini tidak logik dan akan terus mencemari imej negara kita serta nilai-nilai yang didukung Perdana Menteri dan kerajaannya.

Kami setuju dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa kuasa politik berada dalam tangan rakyat. Namun, kami berpendapat bahawa kuasa politik akan terus dikumpulkan dalam tangan beberapa orang elit sehinggalah perubahan yang menyeluruh dilaksanakan atas sistem pilihan raya Malaysia.

BERSIH 2.0 berpendapat bahawa dua minggu yang akan datang merupakan masa penentuan bagi Perdana Menteri dan kerajaan. Sebagai pemegang kata putus dalam kerajaan, sebarang tindakan keras terhadap masyarakat sivil, kegagalan menjamin keselamatan warga Malaysia pada 9 Julai, atau retorik yang mencemuhi rakyat patriotik dan aman akan mencerminkan kegagalan Perdana Menteri untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia.

Sebagai alternatif, Perdana Menteri boleh (1) bekerjasama dengan BERSIH 2.0 dalam mencapai tujuang yang tidak partisan dan berlaraskan hak asasi manusia, dan (2) menjamin 9 Julai yang bebas daripada kekerasan. Ini adalah jalan terbaik yang boleh dipilih Perdana Menteri dalam membuktikan komitmen beliau kepada semangat 1Malaysia yang sebenar. Kami sekali lagi ingin menyeru secara ikhlas agar Perdana Menteri berjalan bersama rakyat dan bukan menentang rakyat.

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.