Home » All Post

Kematangan ‘Politik’ Mahasiswa/siswi

Submitted by on September 26, 2011 – 1:46 PMNo Comment
Mahasiswa-siswi kita masih jauh dari kematangan tentang politik. Maaf, saya katakan sekali lagi bahawa “mahasiswa-siswi kita masih jauh dari kematangan tentang politik”, ianya berbeza dari ayat “..kematangan berpolitik”.Mungkin sahaja mahasiswa-siswi kita cerdik dalam berpolitik, kerana politik adalah sebahagian dari psikologi manusia dalam pergaulan. Kerana itu biasa kita mendengar tentang politik pejabat, politik perniagaan bahkan juga politik keluarga.

Justeru, memperolehi beberapa mahasiswa-siswi yang cerdik berpolitik kampus dalam konteks mendapatkan sokongan rakan-rakan sebaya mereka amat mudah namun bagi memperolehi bakat yang benar-benar “matang tentang politik” terutama berkaitan isu-isu semasa dalam dan luar negara adalah terlalu sedikit.

Baru-baru ini saya tidak melepaskan peluang bagi mengikuti sebuah program ‘Bicara Tokoh’ di UiTM cawangan Machang. Tokoh yang dikemukakan adalah hebat, gandingan pemimpin muda dan lama – Dato’ Mustopha Ahmed, Pengarah Strategik dan War-Room UMNO Negeri Kelantan dan saudara Tun Faisal Ismail Aziz, EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Kedua-duanya juga berpengalaman dalam soal dasar kerajaan pusat apabila kedua-duanya menjawat jawatan pegawai khas masing-masing kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa & Perindustrian serta Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Saya tertarik apabila Tun Faisal membuka pentas bagi soal-jawab kepada lebih dari 300 mahasiswa-siswi UiTM cawangan Kota Bharu dan Machang yang hadir. Seorang mahasiswa tampil mengemukakan soalan tentang rasional di sebalik pengumuman YAB Perdana Menteri mahu menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA. Saya tidak berminat untuk menghuraikan jawapan yang diberikan oleh Tun Faisal, namun saya lebih tertarik apabila Tun Faisal mengajukan pertanyaan kepada lebih 300 hadirin tersebut.

Beliau bertanyakan siapa di antara mahasiswa-siswi yang ada dalam auditorium itu menonton sendiri ucapan Perdana Menteri sewaktu disiarkan secara langsung di seluruh rangkaian tv perdana? Tiada seorang pun yang mengangkat tangan.

Sekali lagi Tun Faisal bertanya, siapa pula yang ada membaca teks ucapan Perdana Menteri melalui laman-laman di internet pada malam uapan Perdana Menteri itu? Kelihatan tidak sampai 10 tangan yang diangkat ke udara.

Soalan Tun Faisal seterusya bertanyakan lagi siapa pula yang membaca serta mengkaji berita-berita tentang ucapan Perdana Menteri di akhbar-akhbar keesokan harinya? Juga tidak lebih dari 10 tangan dari lebih 300 mahasiswa-siswi yang kelihatan di angkat ke udara.

Akhirnya Tun Faisal bertanya adakah mereka mendengar cerita-cerita sensasi mengenai ucapan Perdana Menteri tentang penghapusan ISA sewaktu sembang-sembang sesama mereka atau sewaktu minum-minum di cafeteria mahupun kedai kopi?

Maka terdengarlah ‘dengungan lebah’ dari mahasiswa-siswi yang menunjukkan atau mengiyakan soalan yang dimajukan oleh Tun Faisal itu.

Ini bukanlah satu-satunya kes yang menunjukkan simptom-simptom mahasiswa-siswi tidak merujuk isu-isu semasa kepada sumber rujukan yang benar dan boleh dipercayai serta diambil dari pelbagai sumber (yang pro mahupun kontra) sebelum membuat sebarang penilaian dan konklusi tersendiri bahkan saya masih ingat sewaktu saya hadir dalam satu program ‘Bicara Siswa-Siswi’ yang dianjurkan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) di Cyberjaya tahun lalu yang dipengerusikan oleh Che’gu Bard dan menampilkan wakil-wakil mahasiswa dari 7 universiti serta turut menampilkan ahli-ahli panel jemputan seperti YB Jenice Lee (Adun Teratai), Dr. Mohd Zuhdi Marzuki (Pengarah Institut Kajian Polisi dan bekas EXCO Pemuda PAS Pusat), Azwanddin Hamzah (Presiden Jaringan Melayu Malaysia) dan Anuar Mohd Noor (Pengarah Institut Kajian Asas Kemasyarakatan dan pengendali laman blog UMNO-Reform).

Kedengaran lantang suara wakil-wakil mahasiswa-siswi yang tegar mahukan kerajaan BN ditumbangkan sedangkan justifikasi kemahuan mereka menumbangkan BN disandarkan kepada alasan-alasan kronisme, nepotisme dan rasuah yang kononnya kuat diamalkan oleh BN (termenung sebentar saya dibuatnya kerana refleksi itu juga hakikatnya wujud dalam pakatan pembangkang) serta kononnya kerajaan sedia ada tidak prihatin ekoran harga barangan semasa yang semakin naik (sedangkan isu tersebut juga perlu dilihat dalam konteks global terutama kenaikkan harga minyak).

Namun bicara atau hujah mahasiswa-siswi ini lebih kepada emosi kemarahan tanpa menghuraikan secara konklusif di sebalik kronisme, nepotisme, rasuah dan ketidak-pedulian kerajaan sebagaimana yang mereka dakwa.

Ada banyak lagi testimoni (contohnya satu forum yang diadakan di sebuah dewan perhimpunan Cina Selangor anjuran Institut Kajian Polisi PAS, tidak lama dahulu) yang saya secara peribadi kumpulkan dalam mendakwa bahawa mahasiswa-siswi kita terutama yang menuntut di IPTA masih jauh dari menunjukkan kematangan dalam politik terutama berkaitan isu-isu penting negara yang sewajarnya mereka fahami sebagai insan muda yang berpendidikan tinggi.

Adakah sifat malas mencari ataupun kurang tempat untuk merujuk menjadikan mahasiswa-siswi kita amat ketara kelihatan kurang matang dalam hal berkaitan politik – menjadi persoalan yang ligat berputar dalam kotak fikiran saya.

Lebih malang jika mereka hanya merujuk kepada satu-satu pihak sahaja tanpa menimbal-balas semula secara positif dan negatif, atau pro dan kontra sebelum mereka melompat kepada sesebuah pertimbangan keputusan sedangkan ramai di kalangan mahasiswa-siswi kita adalah mereka yang layak dan ramai juga yang sudah pun berdaftar menjadi pengundi. Namun dalam konteks ini, pihak-pihak yang tidak mengambil kesempatan untuk merapati mahasiswa-siswi adalah pihak yang harus dipersalahkan jika tidak mengambil peluang merapati dan memberi input-input semasa bagi mereka berfikir dan menimbal-balas sebelum mereka memuat keputusan sewajarnya.

Teringat saya akan kata-kata YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi II yang menyatakan sokongan beliau kepada pemansuhan AUKU yang menjadi halangan besar kepada mahasiswa-siswi untuk berpolitik – mungkin ada kebenarannya.

Namun suka untuk saya meminjam kata-kata Tuan Haji Mohammad Khairi A. Malik, Setiausaha Politik kepada Menteri Pengajian Tinggi tidak lama dulu bahawa tidak salah untuk mahasiswa-siswi mengikuti atau mendengar ceramah-ceramah politik atau membuat kerja amal politik, namun adalah salah jika mereka menganggotai mana-mana parti politik dan berkempen secara agresif dan khusus untuk pilihanraya umum, apatah lagi jika mereka dijadikan calon oleh parti-parti tertentu.

dipetik dari http://www.kritis-online.com/index.php?option=com_content&view=article&id=1091:kematangan-politik-mahasiswasiswi&catid=35:sosial-kemasyarakatan&Itemid=37 tulisan ini idea penulis dan disiar semua oleh SAMM untuk difikirkan bersama

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.