Home » All Post

Kenyataan Media SAMM WPKL – Hero Bukit Kepong Bukan Persoalan

Submitted by on September 2, 2011 – 8:44 PMOne Comment

Berikut adalah kenyataan media SAMM Wilayah Persekutuan mengenai isu Komunis dan Bukit Kepong yang berkait rapat dengan gerakan kemerdekaan menentang penjajah;

SOLIDARITI ANAK MUDA MALAYSIA
WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

KENYATAAN MEDIA

2 SEPTEMBER 2011

RAKYAT PERLU BERJIWA BESAR MENGHADAM SEJARAH SEBENAR

Isu serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950an telah dikenang sebagai serangan kumpulan pengganas ke atas sekumpulan anggota polis yang bertahan di rumah pasong. Persepsi ini telah ditulis oleh pengkaji sejarah mengikut acuan pihak tertentu bagi menyembunyikan hakikat sebenar – pihak yang menentukan apakah kriteria pejuang kemerdekaan.

Ia menjadi satu kepercayaan ramai apabila Jins Samsudin membuat filem Bukit Kepong berdasarkan persepsi betapa pihak yang menyerang rumah pasong Bukit Kepong itu adalah pengganas sedangkan gerakan yang diketuai oleh Mat Indera juga sebenarnya harus dikenang sebagai salah satu serangan ke atas kubu British yang menjajah Tanah Melayu untuk beberapa abad lamanya.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Wilayah Persekutuan ingin menegaskan bahawa sejarah kemerdekaan negara harus segera dikaji semula oleh pengkaji sejarah yang tidak berkepentingan selain daripada merekodkan sejarah sebenar, bukan oleh pengkaji sejarah upahan yang menulis berdasarkan telunjuk pihak yang menang bagi menutup sejarah di sebalik sejarah.

Tindakan Timbalan Presiden PAS Mohd Sabu mengulas mengenai peristiwa Bukit Kepong dan watak sebenar Mat Indera dalam ceramahnya harus dipuji kerana ia membangkitkan ghairah rakyat terutamanya dari golongan anak muda untuk mengetahui sejauh manakah British itu dianggap sebagai penjajah dan apakah dengan menyerang British itu akan dianggap sebagai pengkhianat di Tanah Melayu.

Pihak polis di rumah pasong Bukit Kepong itu juga bertugas bagi mempertahankan kepentingan British seperti estet getah dan ladang. Adakah Pasukan polis ketika zaman jajahan British menunjukkan taat setia mereka terhadap Queen of England apabila lagu God Save the Queendidendangkan setiap kali lawatan pegawai tertinggi British ? Ini juga persoalan yang harus digali semula untuk rakyat mengetahui sejarah penentangan penjajah yang sebenar.

Ia berkait rapat dengan proses menuntut kemerdekaan apabila semua kumpulan, kesatuan dan pertubuhan yang bergerak menuntut kemerdekaan telah diharamkan kecuali Umno. Kumpulan penuntut kemerdekaan ini akhirnya dituduh sebagai pengkhianat dan pengganas hanya kerana menentang British yang statusnya masih lagi penjajah di Tanah Melayu ketika itu. Turut menjadi persoalan ialah, mengapa Umno sahaja yang dibenarkan berkempen untuk merdeka sedangkan banyak lagi pergerakan menuntut kemerdekaan. Adakah Umno membenarkan pertubuhan mereka menjadi talibarut British demi untuk merdeka di atas acuan penjajah ?

Oleh yang demikian, SAMM Wilayah Persekutuan di atas rasa tanggungjawab ke atas sejarah negara yang dikhuatiri terperosok, harus digemburkan semula untuk tatapan rakyat. Sejarah peradaban negara juga seharusnya disifatkan dengan lebih keterbukaan kerana ia membentuk asal usul kita rakyat Malaysia. Rakyat juga harus lebih terbuka dan berjiwa besar untuk menerima hakikat sebenar sejarah negara, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan proses menuntut kemerdekaan.

Inilah satu peluang sangat baik sempena pasca hari kemerdekaan ke-54, untuk rakyat mengasak pihak berwajib bagi menampilkan sejarah sebenar kemerdekaan negara. SAMM akan ke hadapan bagi merealisasikan apa itu sejarah.

“Perjuangan adalah Perlaksanaan kata-kata”

Shariful Azmir Bin Haji Mustafa

Penyelaras Negeri
Solidariti Anak Muda Malaysia Wilayah Persekutuan

One Comment »

  • rozad razali says:

    Assalamualaikum saudara Azmir,
    Bila membaca artikal anda bagi isu ini, saya secara peribadi menyatakan bahawa pendapat anda mengenai pengkaji sejarah atau penulis sejarah mempunyai persepsi atau condong kepada acuan pihak tertentu amat menarik sekali. Saya jugak sesekali menghantar komen dalam blog pihak pembangkang serta pihak pemerintah dan acap kali saya perhatikan bahawa pendapat saya tidak pernah disiarkan atas sebab yang sama seperti anda paparkan. Maka disini saya bertanya, apakah pihak anda menulis dan mengupas isu ini bebas dari condong kepada mana-mana pihak?
    Mengupas filem yg diterbitkan oleh Tan Sri Jins Shamsuddin, ketika itu beliau tidak berada atas landasan mana-mana parti politik dan memang benar bahawa Tan Sri ketika itu menerbitkan filem tersebut atas dasar fakta yang wujud. Merujuk kepada blog Jay Bond, beliau memaparkan bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan diatas kepercayaan dan pendirian jugak pendekatan tersendiri. Mat Indera dipaparkan sebagai pejuang yang kononnya terpaksa menganggotai pihak Bintang Tiga diatas sebab tertentu. Malah beliau diberi pangkat yang tinggi ketika itu semasa di Muar. Pada ketika sebelum Jepun menyerah kalah dan pada ketika Bintang Tiga memerintah Tanah Melayu (sebelum British kembali) dalam tempoh kurang dari 15 hari telah banyak insiden yang melibatkan kemarahan rakyat terhadap pemerintahan Bintang Tiga. Ramai yang dibunuh atas alasan mereka talibarut Jepun tanpa sebarang kehakiman yang wajar. Malah ketika Bintang Tiga bergerak secara gerila dalam hutan, ramai rakyat muda diculik dan dipaksa angkat senjata. Itu belum lagi pembunuhan terhadap anggota SC sukarela dan pihak Polis yang ketika itu lazimnya adalah orang Melayu yang beragama Islam malah peritiwa Bukit Kepong memaparkan anggota komunis membakar mayat-mayat isteri serta anak anggota Polis. Apakah ini semua pembohongan? Jika hendak dicungkil kembali sejarah ini saya rasa Azmir boleh mencari waris-waris mereka dan dengar sendiri sejarah hitam ini dari mulut mereka dan saya pasti mereka tidak condong kepada mana-mana pihak tertentu.
    Kita boleh mengkaji semula cerita lama ini tapi hakikatnya ialah, siapakah yang tidak condong kepada mana-mana pihak? Sebagai contoh, Profesor Khoo Kay Kim adalah tokoh yang paling berkalibar diantara yang lain-lain dan apakah anda bersetuju bahawa Tan Sri Prof. Emeritus Khoo Kay Kim tidak condong kepada mana-mana pihak dan apakah Michael Chick yang pernah menulis mini tesis menyatakan :
    “It has been interesting to read such free-flowing comments on an all “Malaysian” free for all. I hate race classifications and here’s why….
    Dari petikan tersebut anda boleh menghidu arah dan kecondongan penulis !!
    Mat Sabu boleh membangkitkan isu penulis sejarah dan menentang British juga pada pandangan saya adalah Jihad yakni bukan pengkhianat. Persoalannya ialah, jika sesuatu itu boleh kita minta dengan cara lembut mengapa pula kita perlu berkasar. Sejarah membuktikan bahawa akhirnya dengan pendekatan yang lembut telah termetrai Kemerdekaan Negara kita. Apakah mesti kita angkat senjata dan membunuh antara kita yang mempunyai keturunan dan agama yang sama adalah cara yang terbaik? Mat Indera digambarkan terlibat secara langsung dengan peritiwa Bukit Kepong. Walaupun pada artikal itu (Jay Bond) menyatakan bahawa itu bukan matlamat Mat Indera akan tetapi seperti mana yang pernah dibincangkan dengan hangat dalam isu Perhimpuan Bersih yang lalu, keadaan akan pasti tidak terkawal dan akhirnya pertumpahan darah berlaku dan itu yang telah terjadi di Bukit Kepong.
    Apakah waris-waris simati boleh menerima permohonan maaf dari Mat Indera atas sebab beliau gagal mengawal tindakan pasukan dibawah arahannya ketika itu. Inilah yang disebut dalam artikal Jay Bond dan bukan saya yang menciptanya. Apakah dengan sebab yang kononnya Polis di Bukit Kepong dilambangkan sebagai pengawal kepentingan ladang-ladang British maka mereka harus dibunuh serta anak dan isteri mereka harus dibakar sama? Saya ingin sangat melihat saudara bertemu dengan waris-waris simati dan saudara wawarkan kepada mereka bahawa Mat Indera adalah wira dan datuk serta nenek mereka adalah pengkhianat Negara. Apakah anda bersedia dengan cadangan ini diatas alasan yang begitu lemah dek kerana mereka mempertahankan kepentingan British yang cuma perihal ladang dan estet getah?
    Saudara, setiap negarawan kemerdekaan dan kumpulan penuntut kemerdekaan seperti UMNO yang saudara petik, mempunyai cara tersendiri dalam menuntut kemerdekaan. Umpamanya penulis-penulis Melayu yang banyak menyemarakan api kemerdekaan dikalangan pembaca mereka. Sebagai contoh : Ahmad Boestamam (1920-1983). Ada berpuluh penulis yang memperjuangkan kemerdekaan seperti Arwahyarham Ahmad Boestamam. Mereka mempunyai cara mereka tersendiri tanpa perlu membunuh dan membakar serta meletakan Tanah Melayu dalam situasi getir DARURAT sepertimana yang dilakukan oleh pihak Komunis Bintang Tiga. Kita tidak harus seronok sendiri dan berfikiran bahawa cara kita adalah betul dan cara warganegara lain tidak.
    Akhirnya sejarah membuktikan bahawa cara berhemah itulah yang membawa Tanah Melayu merdeka dan Bintang Tiga tidak mendapat tempat dihati rakyat. Malangnya, sejarah mencatatkan bahawa Mat Indera adalah anggota komunis dan diatas dasar ini lah ceramah Mat Sabu diberi penentangan yang hebat sehingga hari ini. Harus diingat, bahawa Balai Polis Bukit Kepong bukanlah tempat penyiksaan rakyat seperti mana yang wujud di Saigon (Vietnam Utara) juga bukanlah tempat penyiksaan seperti di camp Buchenwald berdekatan Weimar, German pada era perang dunia ke dua. Apakah alasan yang kukuh untuk mana-mana pihak sekalipun untuk membunuh serta membakar mayat mereka seperti mana di Bukit Kepong.
    Saya tidak nampak bahawa cadangan saudara membawa kemudaratan yakni memaparkan kisah yang kononnya lebih benar dari kisah sejarah kemerdekaan sekarang. Namun satu hari nanti, akan ada satu golongan yang akan tampil dan menyatakan bahawa apa yang terhasil (dari idea anda) adalah tidak benar dan mereka adalah lebih benar. Saya suka mencadangkan saudara dan puak saudara pergi berhadapan dengan waris-waris Bukit Kepong sebagai permulaan ekspedisi pencarian kisah benar tentang Bukit Kepong dan penglibatan Mat Indera. Saya akan menjadi individu pertama membeli buku sejarah benar SAMM insyAllah.
    Seperti yang saudara ungkapkan .. “Perjuangan adalah Perlaksanaan kata-kata”maka biar saya tambah jika boleh “Bukan apa yang hendak kita katakan itu lebih penting TETAPI bagaimana cara kita tuturkan kata-kata (objektif) itu yang lebih penting”

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.