Home » All Post

Black: Pilihanraya Sebelum Reformasi?

Submitted by on November 14, 2011 – 5:29 PMNo Comment

Oleh Amin ‘Black’ Iskandar

Demonstrasi anjuran BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu sedikit sebanyak membuahkan hasil.

Selain dari berjaya menyedarkan orang ramai tentang pentingnya reformasi dilakukan terhadap proses pilihan raya di Malaysia, ia juga menyebabkan kerajaan Malaysia terpaksa menubuhkan jawatankuasa pilihan khas bagi menambah baik sistem pilihan raya (PSC).

PSC terdiri daripada wakil BN, Pakatan Rakyat dan bebas. BN diwakili oleh Datuk Seri Maxumus Ongkili, Datuk Alexander Nanta Linggi, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Tan Sri Dr Fong Chan Onn dan P Kamalanathan.

Manakala Pakatan pula menghantar Azmin Ali, Dr Hatta Ramli dan Anthony Loke. Bebas pula diwakili oleh Wee Choo Keong.

Tanggungjawab, peranan dan tugas PSC ini adalah mengkaji perkara-perkara yang akan memperkukuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mengkaji proses pilihan raya yang bebas dan adil.

PSC yang diluluskan penubuhannya oleh Dewan Rakyat pada 3 Oktober 2011 akan bertugas selama enam bulan dari tarikh penubuhannya.

PSC mempelawa wakil pertubuhan, persatuan berdaftar dan individu untuk mengemukakan cadangan atau syor yang boleh memperbaiki proses pilihan raya di Malaysia.

11.11.11

Oleh kerana sistem pilihan raya di Malaysia memberikan kuasa penuh kepada perdana menteri untuk menentukan tarikh, ia sering mengundang spekulasi.

Ramai pihak yang percaya, pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) akan dilaksanakan sebelum PSC selesai menjalankan tugas.

Terdapat berberapa faktor yang menyebabkan ada pihak yang percaya bahawa pilihan raya akan diadakan dalam jangka masa terdekat.

Belanjawan 2012 yang diumumkan baru-baru ini oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak dianggap oleh sesetengah pihak sebagai “belanjawan pilihan raya” oleh kerana terdapat banyak pemberian wang tunai secara “one off” kepada banyak golongan dan habuan-habuan yang besar kepada sektor awam.

Tambahan lagi diambang sambutan hari Malaysia pada malam 16 September 2011, perdana menteri mengumumkan bahawa kerajaan akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan berberapa undang-undang “draconian” yang lain.

Tindakan ini dilihat sebagai satu langkah untuk mendapatkan undi popular dalam pilihan raya apatah lagi pemansuhan ISA adalah diantara agenda utama perjuangan Pakatan.

Malahan ada juga pihak yang percaya pembubaran parlimen akan berlaku pada hari ini, 11.11.11 (11 November 2011) oleh kerana angka sebelas dikatakan sebagai angka kegemaran Najib.

Undang kemarahan

Jika benar PRU 13 akan dilaksanakan sebelum PSC selesai menjalankan tugas, tindakan ini akan mengundang kemarahan ramai pihak.

Kerajaan akan dilihat “tidak ikhlas” dalam usaha untuk memperbaiki sistem pilihan raya di Malaysia dan penubuhan PSC hanyalah satu “wayang” untuk mengula-gulakan rakyat jelata.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) – sebuah organisasi yang semakin berkembang popular dikalangan anak muda – dan berberapa organisasi lain baru-baru ini mengadakan sidang akhbar.

Sidang akhbar tersebut bertujuan untuk memberi kata dua kepada kerajaan – jika PRU 13 dilaksanakan sebelum reformasi pilihan raya dilaksanakan, sebuah mobilisasi rakyat secara besar-besaran akan dilakukan untuk membantah tindakan tersebut.

“Maka tidak menolak kemungkinan kali ini rakyat turun bukan sahaja untuk melakukan protes tapi benar – benar untuk menukar regim yang sekian lama gagal menjamin hak rakyat untuk mendapatkan proses demokrasi pilihan raya yang bersih dan adil.

“Kita tidak boleh menolak kemungkinan rakyat akan bangkit untuk memastikan regim turun agar proses pilihanraya yang adil dan bersih boleh mengambil tempat dan negara ini boleh diselamatkan”, kata jurucakap SAMM Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

Tindakan membubarkan parlimen sebelum PSC menyelesaikan tugas adalah tindakan yang tidak bijak.

Jika kita ingat kembali, antara punca kemarahan orang ramai dalam pilihan raya lepas adalah apabila penggunaan dakwat kekal dibatalkan empat hari sebelum hari mengundi.

Kali ini, jika PRU 13 berlangsung sebelum reformasi pilihan raya dilaksanakan atau sebelum PSC sempat menyelesaikan tugas, tidak mustahil kemarahan rakyat akan menjadi lebih besar.

Lebih parah lagi jika proses pilihan raya di Malaysia tidak lagi diyakini oleh orang ramai dan kaedah lain seperti “pilihan jalan raya” akan dipilih untuk menentukan kepimpinan negara.

Jika dilihat daripada sejarah negara-negara jiran lain di Asia Tenggara seperti Indonesia dan Filipina, pilihan jalan rayalah yang akhirnya menumbangkan regim dan barulah proses reformasi politik berlaku.

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.