Home » All Post

Hijrah Itu Pengorbanan, Hijrah Itu Perjuangan

Submitted by on November 28, 2011 – 11:46 AMNo Comment

HIJRAH ITU PERJUANGAN, HIJRAH MEMBENTUK PERPADUAN

Hari ini, Muslim di serata dunia telah mengucapkan selamat tinggal kepada 1432 Hijrah dan menyambut kedatangan 1433 Hijrah – permulaan tahun baru Islam diraikan dengan penuh keinsafan, berdoa dan merenung kembali sirah perjuangan Rasulullah SAW menegakkan syiar Islam.

Hijrah dan Pengorbanan tidak dapat dipisahkan. Perjuangan melawan kemungkaran adalah menjadi dasar utama para Nabi dan orang-orang yang beriman. Rasulullah SAW menghadapi pelbagai kesukaran sepanjang hidup Baginda. Baginda berkorban meninggalkan harta dan berhijrah ke Madinah demi kelangsungan dakwah Islam.

Semangat Hijrah ini bukan sahaja ketika menyambut 1 Muharram tetapi ia seharusnya merupakan jalan panjang yang seharusnya dilalui oleh setiap muslim. Peristiwa Hijrah ini mempunyai seribu satu pengajaran. Islam itu datang dengan semangat perpaduan. Islam tidak pernah mengasingkan atau datang dengan sistem ‘kasta’ dalam kehidupan. Semua manusia itu sama yang membezakan mereka hanya ilmu dan amal.

Hijrah Itu Pengorbanan, Hijrah Itu Perjuangan

“Orang yang berhijrah itu ialah mereka yang meninggalkan apa-apa yang dilarang Allah ke atasnya”.

Hari ini perjuangan kita sebagai anak muda adalah untuk melihat tanahair tercinta ini bebas dari kemelut rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang semakin menular ke setiap urat nadi pemerintahan Negara. Laporan Ketua Audit Negara telah mendedahkan ketirisan yang menjelekkan. Dari pembelian binocular sehinggalah kepada skandal Lembu NFC, telah mendatangkan bencana yang merugikan keadaan kewangan Negara yang masih lagi terbelit dengan defisit.

Serta kemunafikan Pemerintah hari ini yang berlakon seolah-olah bersimpati dengan rakyat Palestin tetapi dalam masa yang sama menutup mata terhadap keputusan Jemaah Menteri pada tahun 1996 yang membenarkan perhubungan ekonomi dengan Rejim Zionis Israel. Lantas, ia menjadikan kita umat Islam Malaysia turut mempunyai “saham” menghalalkan tindakan rejim Zionis menyembelih nyawa saudara Palestin.

Negeri Johor turut tidak terlepas dari ketirisan dan ketidakcekapan pentadbiran Negeri. Hari ini kita menanggung bersama-sama beban hutang Kerajaan Negeri yang telah menjangkau RM 334. 51 juta. Malahan, air mata akan terus mengalir dek peristiwa Pulau Batu Puteh dan juga Tanah KTM di Tanjung Pagar. Betapa mudahnya Pemerintah hari ini menyerahkan kalah dalam perjuangan mempertahankan kedaulatan Negeri Johor dan Malaysia amnya.

Tidak dapat tidak, anak muda Johor harus berani berhijrah, menolak kepimpinan ego yang lemah dan korup kepada sebuah kepimpinan yang mampu membawa negeri Johor melakarkan kejayaan dan kemajuan tanpa mengorbankan walau seinci kedaulatan negeri, ketirisan dan penyelewengan serta pembangunan insaniah yang cemerlang. Hijrah kita tanpa unta, tanpa perlu berjalan di tengah panas membara, tanpa perlu takut dikejar musuh durjana. Hijrah kita adalah hijrah dari alam gelap ke alam cahaya. Dari alam leka ke alam jaga. Dari alam penyelewengan ke alam keadilan.

Hijrah Itu Persaudaraan, Hijrah Membentuk Perpaduan

Sejarah Hijrah Rasulullah SAW yang menyatukan dua kaum yang berbeda budaya dan agama, Muhajirin dan Ansar perlu diinsafi dalam konteks bernegara di Malaysia. Peristiwa Hijrah ini perlu dijadikan satu peluang kita membentuk perpaduan dan persaudaraan sesama kita. Dengan kedatangan tahun baru 1433 Hijrah ini, seharusnya kita dapat berpimpin tangan tanpa prejudis melaungkan slogan anti-diskriminasi kaum dan agama. Negara ini tidak memerlukan lagi slogan-slogan yang mengapi-apikan permusuhan kaum, agama dan budaya. Sebaliknya, Negara ini memerlukan setiap rakyatnya berganding bahu memajukan Negara, menolak penindasan dan menentang ketirisan serta penyelewengan kuasa. Ini yang harus kita perjuangkan.

Maka, SAMM Johor menyaran dan mengajak setiap anak muda untuk memulakan penghijrahan dengan membina iltizam baru yang penuh keikhlasan untuk membuangkan apa juga fahaman perkauman yang mungkin masih tersemat dalam sanubari kita.

Hijrah ini bukan hanya sekadar ungkapan retorika semata-mata, tetapi harus disertai dengan tindakan afirmatif. Apakah jiwa dan iman umat Islam Malaysia hari ini terlalu lemah atau sudah mati sehingga tidak merasa apa-apa, walaupun Negara hari ini berada dalam keadaan yang penuh dengan fasad? Anak muda harus berani untuk mengambil tindakan yang sewajarnya walaupun belum pernah mengambil tindakan sedemikian sebelum ini. Keinginan untuk berubah perlu lahir daripada kesedaran naluri hati kita. Kita tidak boleh menunggu sehingga mendapat arahan, baharu ingin bertindak. Fasad pada pemikiran ummah tidak boleh lagi dibenarkan berleluasa.

Semoga segala usaha perjuangan kita diberkati Allah.

SALAM MAAL HIJRAH 1433h.

SOLIDARITI ANAK MUDA MALAYSIA (SAMM) NEGERI JOHOR

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.