Home » All Post

Pengusiran Ahli Parlimen Bakri Bukti Negara Ini Munafik Dalam Isu Perjuangan Palestin

Submitted by on November 1, 2011 – 2:09 PMNo Comment

Kenyataan Terbuka

1 November 2011

Pengusiran ahli parlimen Bakri bukti negara ini munafik dalam isu perjuangan Palestin

Sebenarnya kita harus bertanya pada diri kita semua bagaimana negara kecil seperti negara haram Israel boleh masih bertahan walaupun ramai membencinya. Jawapanya mudah, ini semua kerana ada banyak negara khususnya negara pimpinan umat Islam yang munafik yang masih memberikan sokongan khususnya dengan membuat hubungan dagang secara lansung dan tidak lansung bagi memastikan negara haram ini terus mampu bertahan.

Isu ini che’GuBard dan Solidariti Anak Muda Malaysia telah bangkitkan sejak dua tahun kebelakangan ini secara konsisten. Pada 1 Ogos 2011 yang lepas sempena tibanya Ramadhan, SAMM sekali lagi telah menegaskan perkara ini dalam satu kenyataan rasminya. Klik sini untuk membaca.

Diperjelaskan secara agak terperinci bagaimana rapatnya Malaysia dan Israel menjalin hubungan dagang. Dalam siri – siri rapat umum che’GuBard acap kali juga mendedahkan set-set borang kastam yang membuktikan secara khusus wujud dagangan yang mana Malaysia membantu ekonomi Israel.

Akhirnya usaha konsisten SAMM dalam isu ini telah dibangkitkan dalam parlimen Malaysia oleh ahli Parlimen Bakri – DAP, dalam membahaskan belanjawan 2011.

Berikut merupakan petikan ucapan YB Er Teck Hwa, Ahli Parlimen Bakri semasa membahaskan Belanjawan 2012 Peringkat Dasar pada sessi Dewan Rakyat bertarikh 17 Oktober 2011. Diekstrak dari Penyata Rasmi Dewan Rakyat yang dimuat turun dari laman web rasmi Parlimen Malaysia.

Soalan beliau mudah saja, benarkah kenyataan ini? Kalau tak benar, PM harus nafikan kenyataan Mischa Harish.

“Seterusnya, saya hendak bangkitkan lagi satu isu iaitu Profesor Dr. Syeikh Yusuf Al-Qardhawi dalam khutbah Jumaat bertarikh 12 April 2002 seperti disiarkan di dalam fatwa, hakam dan…‘muhadaroh’ telah menyeru umat Islam dan negara Islam untuk memboikot semua produk dan membatalkan hubungan dagangan dengan Israel. Beliau menegaskan bahawa perbuatan mengadakan hubungan dagangan dengan Israel adalah tergolong dalam dosa-dosa besar dan kerajaan adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar tersebut.

Malaysia sebuah negara yang kononnya tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel. Itulah persepsi yang cuba diwujudkan kononnya kerajaan Barisan Nasional ini membentuk polisi anti-Israel dan pro Palestin. Akan tetapi sedar atau tidak kita sebenarnya mempunyai hubungan dagangan secara langsung dan tidak langsung dengan Israel dan ini merupakan pengkhianatan terhadap polisi negara ini. Malah, ia seperti menipu dunia dan rakyat Malaysia berkaitan hal ini. Sebelah tangan kita anti-Israel tetapi sebelah tangan lagi kita membantu ekonominya.

Berdasarkan satu artikel dalam laman web anakmudamalaysia.com, Solidariti Anak Muda Malaysia telah menyatakan secara jelas bahawa, Dalam satu sesi pemerintahan ini memunculkan imej anti-Israel dan pro Palestin. Malah pemerintah ini pula me’wajah’kan lawan politik dalam negara sebagai agen Yahudi dan Israel dalam pelbagai imej seolah-olah anti Islam. Namun dalam wajah yang lain, Malaysia ialah antara negara umat Islam yang dipimpin oleh pemimpin Islam telah menjadi rakan dagang penyumbang kepada ekonomi Israel. Beberapa bukti seperti borang kastam yang membuktikan bahawa Malaysia merupakan rakan dagang yang memastikan ekonomi Israel terus segar dan terus berupaya membeli senjata untuk membunuh umat Islam Palestin turut telah didedahkan kepada umum.

Dahulu sememangnya Malaysia mempunyai satu undang-undang yang dipanggil Akta Larangan Perdagangan yang menghalang sebarang hubungan dagang secara langsung dan tidak langsung dengan dua buah negara iaitu Israel dan Afrika Selatan kerana dasar Apartheid. Namun sebaik sahaja dasar Apartheid di Afrika Selatan runtuh maka pada tahun 1994 di bawah Kabinet Tun Mahathir dasar kerajaan telah diubah dengan meluluskan pindaan Akta Larangan Import (Pindaan Bil.7) yang bukan sahaja menarik balik sekatan larangan dagangan dengan Afrika Selatan. Akan tetapi kesempatan diambil untuk menjalinkan hubungan dagangan dengan Israel. Sejak daripada itu Malaysia menjadi antara rakan dagangan utama dan penyumbang kekuatan ekonomi kepada negara haram Israel ketika kebanyakan negara memboikot Israel.

Di perpustakaan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Antarabangsa dengan jelas terdapat banyak bahan-bahan mempromosi produk Israel seperti majalah Israel-Asia Trade, Israel Review, buku Advantage Israel, Trade Policies Review Israel, Advance Technology From Israel, Opportunity Israel, The Economics of Israel, Douanes (iaitu buku kod tarif perdagangan Israel) dan beberapa lagi.

Micha Harish, Israel Minister of Industry and Trade, Israel-Asia Chamber of Commerce pernah menulis kata-kata aluan yang dipetik dalam satu majalah promosi perdagangan Israel seperti berikut dengan izin, “The public declaration of the Malaysian Prime Minister and Minister of International Trade and Industrial that their country intends to pursue economic relations with Israel is another milestone in the development of trade this continent. “

Micha Harish menggambarkan bahawa Perdana Menteri Malaysia telah menyatakan hasrat dengan kementeriannya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bahawa Malaysia ingin mewujudkan hubungan ekonomi dengan negara Israel. Benarkah kenyataan ini? Sekiranya tidak benar Perdana Menteri harus menafikan kenyataan Micha Harish ini. Sekian terima kasih.”

Persoalan hubungan dagang inilah yang menyebabkan YB Er Teck Hwa diarah keluar oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia apabila YB Er Teck Hwa terus meminta penjelasan dan jawapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato’ Seri Mustapha Mohamed yang enggan menjawap persoalan ini ketika berucap dalam Dewan Rakyat semalam.

Dimaklumkan Speaker telah mengarahkan bentara secara fizikal menarik dan menolak Er Teck Hwa keluar dari dewan kerana ketegasan beliau menuntut respon dari Menteri yang bertanggungjawab.

Kejadian semalam seharusnya diangkat dalam media dan menjadi catatan sejarah penting dimana membuktikan betapa munafiknya negara ini. Dalam satu wajah kita mengajak rakyat bersimpati terhadap perjuangan dan penderitaan Palestin tetapi dalam satu wajah yang lain kita membantu ekonomi negara haram Israel.

Satu lagi rekod yang perlu ditandakan hari ini ialah perjuangan pembebasan Palestin ini sudah melangkaui agama dan bangsa. Er Teck Hwa bukan Islam bangkit perkara ini dalam dewan malangnya mana suara ahli parlimen Islam lain khususnya dari Umno ? Mujur ada seorang lagi rakanya, ahli Parlimen Segambut yang juga berkeras dalam isu ini yang juga akhirnya dihalau keluar dewan.

Kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya organisasi yang memperjuangkan isu Palestin, sudahlah membuang masa mengumpul dana kecil atau baju terpakai untuk rakyat Palestin sedangkan regim penguasa sedang giat secara rasmi jalin hubungan dagang bantu ekonomi negara haram Israel.

Seluruh rakyat harus malu dengan hakikat ini, melawan Israel itu wajib khususnya bagi umat Islam. Tidak ada yang paling bangsat bagi satu – satu umat itu apabila kiblatnya dijajah. Maka bangkitlah, hanya satu cara sahaja jatuhkan Bn regim pewaris penjajah penjaga legasi perang salib maka kita meletakkan negara ini dalam trek betul membantu perjuangan pembebasan Palestin khususnya Al Aqsa.

che’GuBard
Ketua Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia(SAMM)
www.anakmudamalaysia.com

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.