Home » All Post

SAMM KOMITED TURUN GELANGGANG 901 BERSAMA GERAKAN MASSA!!

Submitted by on January 8, 2012 – 12:45 AMNo Comment

Tarikh 9 Januari 2012 atau 901 adalah suatu detik bersejarah apabila ia menjadi kemuncak kepada perbicaraan kes fitnah liwat yang kedua terhadap Anwar Ibrahim. Tarikh 901 bukan sahaja harus dikenang sebagai tarikh yang menentukan secebis mana saki-baki keadilan sebuah mahkamah, tetapi 901 harus disertai dalam apa jua bentuk penglibatan – termasuklah berhimpun di hadapan mahkamah bagi menyatakan sokongan terhadap Anwar Ibrahim yang kita percayai telah lebih sedekad dianiaya oleh kerakusan regim demi mengekalkan kuasa.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sentiasa memastikan gerakan anak muda akan terus menyumbangkan diri untuk menyertai gerakan massa terutamanya dalam isu penindasan ke atas rakyat tanpa mengira apa jua statusnya, warna kulit dan fahamannya, asalkan rakyat itu ditindas dan dianiaya, anak muda harus bangkit menentang kebejatan. Bezanya kali ini, susuk yang keadilannya dinafikan itu telah menjadi faktor utama yang menjadi punca goyahnya regim pemerintah dalam meneruskan aksi menjual negara.

Sebagai penggerak anak muda yang mengambil pendekatan radikal, SAMM juga telah memainkan peranan menjana maklumat kepada rakyat dan terus berkomitmen untuk memastikan rakyat turun dalam aksi 901. Ia termasuklah mengadakan siri ceramah penerangan jelajah seluruh negara, pengedaran risalah dan dvd kesedaran rakyat. Pergerakan SAMM yang terlibat bukan sahaja dalam gerakan surface dan beraksi dalam beberapa siri perhimpunan aman, yakin bahawa perhimpunan 901 adalah gerakan yang wajib disertai oleh rakyat yang cintakan keadilan.

Namun sebelum kita turun berhimpun ke perkarangan Mahkamah di Jalan Duta, SAMM berpendapat setiap seorang daripada kita harus faham dengan jelas mengapa Anwar Ibrahim berada di kandang pesalah. Kita juga harus sedar apakah agenda yang diatur sehingga memaksa Anwar Ibrahim berulang-alik turun-naik mahkamah dan tidak dibenarkan bergerak dengan bebas selagi beliau berada dalam arus utama kancah politik tanahair. Ini semua berlaku ketika Anwar Ibrahim hanya selangkah sebelum mentadbir negara ini secara marhein.

Tahun 1998 memperlihatkan bagaimana Anwar Ibrahim memilih untuk menyonsang arus ketika beliau boleh sahaja bersabar dan berdiam diri terhadap rasuah dan salahguna kuasa bagi menyelamatkan konglomerat milik kroni. Anwar Ibrahim tidak tunduk kepada arahan yang supaya harta negara dan harta awam digunakan sewenangnya untuk kepentingan penguasa. Percayalah jika Anwar Ibrahim turut terlibat bersekongkol sudah pasti bukan Najib Razak yang menjadi Perdana Menteri hari ini. Tetapi demi rakyat, Anwar Ibrahim bangkit dengan slogan ‘Lawan Tetap Lawan’ yang menyebabkan beliau merengok ke dalam penjara daripada kerusi empuk Timbalan Perdana Menteri.

Demi untuk selamatkan rakyat dan negara, Anwar Ibrahim terpaksa berdepan sebuah konspirasi jahat yang diajukan terhadap beliau iaitu tuduhan liwat pertama. Perbicaraan kes liwat pertama ini juga banyak kelemahan dalam pendakwaan hingga akhirnya pada tahun 2004 tuduhan liwat tersebut digugurkan dan Anwar Ibrahim dibebaskan setelah enam tahun di bermastautin di penjara Sungai Buluh.

Pengalaman Anwar Ibrahim yang dihenyak dan dipukul dengan niat bunuh di dalam lokap, menyebabkan kesakitan kekal pada tulang belakang, dipenjara, diaibkan adalah kerana Anwar Ibrahim memilih untuk selamatkan rakyat dan negara. Apakah kita sebagai salah seorang rakyat yang pernah cuba diselamatkan oleh Anwar Ibrahim akan berdiam diri?

Kali ini pada tahun 2008, de javu 1998 berlaku setelah perencanaan 16 September untuk membebaskan negara dari kepimpinan negara yang menindas rakyat hampir menjadi kenyataan. Panik dengan perkembangan positif pergerakan 16 September termasuklah beberapa pertemuan Anwar Ibrahim dengan ahli parlimen, perencanaan 16 September harus digagalkan manakala peranan besar Anwar Ibrahim tidak wajar dibiarkan setelah beliau menjadi faktor utama tsunami 8 Mac.

Ketika Anwar Ibrahim sekali lagi selangkah sebelum menerpa kejayaan, maka di atas alasan yang sama hadirlah konspirasi liwat versi kedua. Dalam perlawanan kali ini, Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau akan terus lawan dan tiada sebab untuk beliau tunduk setelah melalui seribu dugaan, demi menyelamatkan rakyat dan negara.

Tarikh 901 adalah hari penentu. Berhimpun atas tajuk 901 bukan urusan Anwar Ibrahim semata-mata, ianya adalah tanggungjawab kita rakyat Malaysia yang harus menilai dan menjadi hakim bagi menentukan samada sistem perundangan negara dimusnahkan atau masih boleh diselamatkan. Berhimpun atas tajuk 901 bukan hanya kerana susuk itu Anwar Ibrahim, tetapi bagi memberi sokongan terhadap seorang pemimpin yang selama ini manuver ranjau berduri dan berkorban segalanya demi rakyat. 901 adalah detik untuk rakyat buktikan bahawa mereka bersama Anwar Ibrahim bukan hanya kerana susuk itu adalah Anwar Ibrahim, tetapi kerana menagih keadilan dalam sistem perundangan negara.

Banyak pihak yang bertanya apakah SAMM tidak turun beraksi di 901, banyak pihak juga menunggu apakah tindakkan seterusnya SAMM dalam merealisasikan himpunan 901 yang lebih bermakna. Selaku anak muda, SAMM tidak pernah tertinggal dalam mana-mana aksi arus utama massa malah SAMM cenderung untuk menyeru semua rakyat agar bangkit bangun melawan penindasan dan penganiayaan terhadap rakyat.

Justeru itu, Solidariti Anak Muda Malaysia menegaskan bahawa selaku penggerak anak muda, SAMM akan bersama dengan rakyat dalam aksi 901 dengan seluruh kekuatan. Komrad SAMM sentiasa bersedia dan ketika ini juga terdapat beberapa hotel telah dipenuhi oleh komrad SAMM yang hadir dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Semuanya hadir dengan tekad bersama rakyat menentang keadilan buat Anwar Ibrahim yang sekian lama dinafikan.

Menyelusuri perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim sejak dari awal pertuduhan, hingga ke pendakwaan yang goyah lagi meragukan, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengambil tanggungjawab merungkai segala persoalan dengan mengumpul segala maklumat dan fakta. Hasilnya SAMM telah menerbitkan sebuah buku teks lengkap yang menjadi rujukan penting betapa perbicaraan kes liwat ini tidak dijalankan dengan telus dan seterusnya menggambarkan sistem perundangan yang serba pincang bagi menggagalkan gerakan rakyat.

Buku berjudul FITNAH terbitan SAMM ini akan dilancarkan pada 7 Januari 2012 oleh Presiden Keadilan di tempat lahirnya pejuang rakyat bernama Anwar Ibrahim di Ceruk To’ Kun, Bukit Mertajam. Turut bersama dalam melancarkan buku FITNAH ialah Prof A Samad Said dan Hishamuddin Rais. Dengan pelancaran buku ini, ia menjadi bukti betapa SAMM menunjukkan komitmen yang tinggi dalam membela nasib Anwar Ibrahim dengan peranannya yang tersendiri.

Tanggal 901 kian hampir, keputusan perbicaraan kini berada di penghujungnya. Ayuh bersama SAMM turun memberi sokongan moral dan padu terhadap keperluan sebuah sistem perundangan yang telus tanpa tunduk kepada pihak pemerintah yang terdesak mempertahan kuasa dan tembolok masing-masing. Di kesempatan yang ada ini, SAMM sekali lagi menyeru rakyat melaksanakan sedikit tanggungjawab yang melambangkan bangsa Malaysia yang menolak Fitnah dan Konspirasi jahat.

SAMM akan berada di barisan hadapan dan memastikan 901 menjadi medan persediaan buat rakyat untuk bersama-sama Anwar Ibrahim menuju ke lokap, penjara ataupun menuju ke Putrajaya.

Che’GuBard
Pengasas Gerakan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
www.anakmudamalaysia.com

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.