UMUMKAN LOKASI KAMERA AES
9 Ogos 2012
UMUMKAN LOKASI KAMERA AES
Seperti biasa setiap kali musim perayaan, jalanraya di Malaysia pasti akan menjadi sibuk. Ini terutamanya dalam perayaan Eidulfitri apabila semua berpusu-pusu pulang ke kampung halaman. Agak malang kerana keadaan sistem pengangkutan awam negara yang sangat lemah maka secara langsung akan meningkatkan jumlah kenderaan di atas jalanraya apabila ramai akan memilih untuk menggunakan kenderaan persendirian.
Dalam keadaan orang ramai membanjiri jalanraya, sistem AES iaitu satu sistem perangkap kesalahan lalulintas akan mula beroperasi dan saman yang dikendalikan syarikat akan dilaksanakan bermula 12 Ogos ini. Walaupun terdapat banyak bantahan tetapi terhadap pengswastaan saman lalulintas, seperti biasa regim pemerintah tidak mempedulikan suara rakyat dan tetap melaksanakan sistem saman yang akan menguntungkan pemodal besar ini. Dilaporkan pemilik kenderaan boleh disaman sehingga RM2000 kerana sistem ini.
Untuk melaksanakan sistem ini perbagai alasan lunak dilagukan ke telinga rakyat. Antaranya ialah regim menyatakan bahawa AES bukan untuk keuntungan syarikat tetapi bagi mendidik pengguna. Dengan ini, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menuntut regim penguasa melalui PDRM untuk bersikap benar-benar ikhlas dalam perkara ini.
Pada perayaan ini SAMM juga menasihatkan semua pengguna kenderaan mempertingkatkan langkah berjaga-jaga dari faktor kecelakaan jalanraya mahupun kehilangan wang ringgit anda akibat disaman syarikat swasta. SAMM sendiri akan mengadakan kempen keselamatan jalanraya dengan cara yang tersendiri di beberapa lokasi di seluruh negara.
Berhati-hati di jalanraya, ingatlah orang yang tersayang dan peranan besar kita kepada negara.
Sekian
Yaser Sheikh Abd Rahman







