Home » Johor, Kenyataan Media, SAMM

SAMM JOHOR MENYOKONG HIMPUNAN HIJAU LESTARI PENGERANG

Submitted by on September 28, 2012 – 4:18 PMNo Comment
Kenyataan Umum
28 September 2012

SAMM JOHOR MENYOKONG HIMPUNAN HIJAU LESTARI PENGERANG

Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor) dengan tegas menyatakan sokongan tidak berbelah bagi terhadap penganjuran Himpunan Hijau Lestari Pengerang yang bakal diadakan pada 30 September ini. Sememangnya isu Projek Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) ini menggamit sokongan dan penyertaan kami bermula dengan kempen tandatangan petisyen “Kampungku-Suaraku-Pengerang” yang digerakkan oleh Ahli Parlimen Bakri, YB Er Teck Hwa sedari awal lagi.

Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor) sebagai sebuah gerakan anak muda Negeri Johor tidak pernah menolak sebarang bentuk pembangunan yang ingin dilaksanakan di negeri ini namun apabila pembangunan itu tidak seiring dengan taraf kehidupan ekonomi setempat, maka akan lahirlah generasi yang merempat di bumi sendiri tatkala regim Pemerintah terus menyebelahi konglomerat mengumpul kekayaan tanpa kepedulian terhadap rakyat. Lebih malang apabila pembangunan projek seperti RAPID ini tidak mengambil kira keselamatan dan kesihatan rakyat setempat. 

Himpunan Hijau Lestari Pengerang ini sangat besar ertinya dan penting bagi seluruh rakyat di Pengerang yang terlibat dengan projek RAPID ini memandangkan beberapa konflik dan tanda tanya selain menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat khususnya penduduk Pengerang yang masih tidak ditangani dengan baik oleh regim pemerintah hari ini.

Projek bernilai RM68 bilion ini melibatkan 22,500 ekar tanah serta merangkumi kira-kira 28,000 penduduk dari 17 perkampungan nelayan dan perkampungan tradisi di Pengerang akan menyebabkan enam masjid, 11 surau, 5 sekolah kebangsaan, 5 sekolah agama, 3 sekolah jenis kebangsaan Cina, 3 rumah kakitangan Kerajaan, 3 klinik desa, 2 balai polis, serta 9 balai raya menjadi mangsa kemusnahan alam sekitar dan lebih ngeri apabila seluruh masyarakat sekitar terdedah dengan unsur petrokimia yang boleh menyebabkan barah.

SAMM Johor akan menggerakkan seberapa ramai aktivis kami untuk bersama-sama dalam Himpunan Hijau Lestari Pengerang bagi membangkitkan rasa kepedulian anak muda dan seluruh rakyat Johor berhubung dengan aspek pembangunan yang sekadar memenuhi nafsu rakus beberapa kelompok elit mengaut keuntungan jutaan ringgit dan memangsakan rakyat biasa.

“Perjuangan Adalah Perlaksanaan Kata-Kata”

Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras Negeri
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.