Home » All Post, Johor, Kenyataan Media

Fungsi Dewan Rakyat Dilacurkan Ahli Dewan Rakyat Yang Tidak Bertanggungjawab.

Submitted by on October 9, 2012 – 11:06 AMNo Comment

Kenyataan Umum

5 Oktober 2012

 

Fungsi Dewan Rakyat Dilacurkan Ahli Dewan Rakyat Yang Tidak Bertanggungjawab.

 

Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor) melihat isu kehadiran Ahli-Ahli Dewan Rakyat ke sidang mesyuarat Dewan Rakyat berulang kembali. Lebih parah apabila kini kehadiran Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri menjadi pokok persoalan selain daripada kehadiran Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang lain.  SAMM Johor pernah sebelum ini mengutarakan pandangan kami mengenai tahap kehadiran Ahli-Ahli Dewan Rakyat sepanjang tempoh sesi sidang mesyuarat Dewan Rakyat berlangsung namun ia dipandang sepi begitu sahaja. Kini, sekali lagi kami merasa amat dukacita dan kecewa dengan sikap wakil-wakil rakyat yang culas dengan amanah yang diberikan rakyat untuk mewakili mereka. Kami sentiasa dan tidak pernah terlepas dari memerhatikan sikap wakil-wakil rakyat yang tidak hadir ke sidang mesyuarat Dewan Rakyat.

 

Sesi mesyuarat Dewan Rakyat kali ini merupakan sesi yang amat penting ekoran terdapatnya pembentangan Belanjawan 2013 dan seharusnya sesi mesyuarat ini menjadi medan perdebatan dan penghujahan kritikal terhadap masa depan Negara. Seharusnya, Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri dan seluruh Ahli-Ahli Dewan Rakyat dapat memastikan kehadiran sepanjang sesi berlangsung.

 

SAMM Johor menyedari bahawa Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri mempunyai tanggungjawab berat menjaga urustadbir Kementerian masing-masing, namun apalah kiranya dapat diaturkan jadual agar salah seorang dapat hadir sepanjang sesi berlangsung secara bergilir-gilir mendengar hujah-hujah yang dikemukakan oleh ahli yang berbahas. Benar, terdapat Pegawai-Pegawai Kementerian di hantar mendengar perbahasan, tetapi adalah lebih baik sekiranya Menteri atau Timbalan Menteri hadir sama. Sementelah pula, ini merupakan sesi mesyuarat pembentangan Belanjawan terakhir sebelum Pilihanraya Umum ke 13 diadakan.

 

SAMM Johor turut melihat aspek pertindihan portfolio atau jawatan-jawatan Parti yang terlalu banyak dipikul oleh seseorang Menteri atau Timbalan Menteri mungkin menjadi antara sebab mereka menjadi terlalu sibuk. Seharusnya seseorang Ahli Dewan Rakyat tidak dibebani dengan portfolio atau jawatan Parti yang terlalu banyak agar komitmen mereka terhadap tugas hakiki tidak tersasar. Maka, adalah perlu bagi mana-mana pihak yang bakal membentuk Kerajaan selepas Pilihanraya Umum ke 13 untuk memperhalusi perkara ini.

 

Bagi Ahli-Ahli Dewan Rakyat biasa, SAMM Johor tidak dapat melihat kewajaran untuk tidak menghadiri sesi mesyuarat Dewan Rakyat melainkan sakit atau mempunyai kecemasan. Izinkan SAMM Johor untuk sekali lagi memperingatkan bahawa rakyat tidak melantik kamu sebagai wakil kapitalis atau wakil konglomerat membida projek atau tender, rakyat juga tidak melantik kamu sebagai wakil kedai kopi atau penceramah umum tetapi rakyat telah mengangkat kamu sebagai wakil kami untuk mengutarakan permasalahan dan jerih perih kehidupan kami agar kamu utarakan di Dewan Rakyat.

 

Ahli-Ahli Dewan Rakyat juga seharusnya tidak terlalu memikirkan soal Pilihanraya Umum yang semakin hampir, maka perlu senantiasa berada di konstituen masing-masing sahaja. Perangai menunjuk muka di konstituen sehingga sanggup ponteng Sidang Mesyuarat Dewan Rakyat menunjukkan sikap dan pemikiran separuh masak mereka yang tidak tahu mendahulukan mana yang penting. Jawatan yang diberikan rakyat kepada kamu juga adalah Ahli Dewan Rakyat namun apabila sidang mesyuarat bermula, kamu tidak hadir. Adalah bukan sesuatu yang pelik apabila masalah pelajar ponteng sekolah semakin berleluasa kerana Penggubal Undang-Undang sendiri pun memiliki sikap yang sama dan tidak menghormati amanah dan tanggungjawab. Seharusnya, sebagai penggubal undang-undang Negara, disiplin atau kredibiliti memikul tanggungjawab menjadi objektif utama setiap yang bergelar Ahli Dewan Rakyat.

 

 

SAMM Johor menyedari akan kewujudan situasi di mana ada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang hanya hadir Sidang Mesyuarat separuh hari sahaja sekadar untuk mendapatkan elaun kehadiran Sidang Mesyuarat semata-mata. SAMM Johor mohon mencadangkan agar rekod kehadiran Ahli-Ahli Dewan Rakyat diambil 3 kali, awal pagi, tengahari dan sebelum tamat Sesi Mesyuarat bagi satu-satu hari, dan elaun kehadiran di bayar mengikut rekod kedatangan ini. Adalah sangat tidak adil bagi Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang tekun menyertai perbahasan sehingga Sidang Mesyuarat ditangguhkan setiap hari menerima elaun yang serupa dengan mereka-mereka yang kerap ponteng. Tambahan pula, rakyat tidak buta dan tidak dungu hinggakan tidak mengetahui sikap dan situasi wakil-wakil rakyat melahap elaun kehadiran walaupun sebenarnya kehadiran mereka ke Dewan Rakyat adalah sekadar untuk minum teh bersama pemimpin utama semata-mata.

 

Sehubungan itu, SAMM Johor menggesa Ahli-Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia untuk tidak culas dalam menjalankan tanggungjawab mereka hadir ke sesi Mesyuarat Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekiranya tidak mempunyai alasan yang munasabah. Jika gagal, rakyat harus menghukum mereka dengan tidak lagi memilih mereka di dalam Pilihanraya Umum akan datang. Kita tukar kepada calon-calon yang benar-benar ikhlas dan komited dalam menjalankan tanggungjawab memayungi aspirasi dan kehendak rakyat. Tidak kira apa latar politik, rakyat harus bijak memilih pemimpin yang benar-benar menjalankan amanah dan tanggungjawab.  

 

“Perjuangan Adalah Perlaksanaan Kata-Kata”

 

Ahmad Anwar Asyraf

Penyelaras

Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor

 

Blog : http://sammjohor.tumblr.com

email : [email protected]

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.