Home » Johor, SAMM

Laporan Ketua Audit Negara Bagi Negeri Johor Dedah Bekalan Peralatan Di Pasang Di Rumah Individu dan Kerugian Berterusan JHRSB

Submitted by on October 17, 2012 – 3:15 AMNo Comment

Kenyataan Umum

16 Oktober 2012

 

Laporan Ketua Audit Negara Bagi Negeri Johor Dedah Bekalan Peralatan Di Pasang Di Rumah Individu dan Kerugian Berterusan JHRSB

 

Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor) mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Johor atas keupayaan menjalankan pemerintahan berdasarkan perbelanjaan berhemat sehingga menyebabkan Kerajaan Negeri Johor Berjaya mendapat surplus berjumlah RM 6.40 juta bagi tahun 2011 berdasarkan kepada Laporan Ketua Audit Negara bagi negeri Johor. Walaupun begitu, SAMM Johor melihat beberapa kelemahan dalam aspek pungutan hasil Kerajaan Negeri pada tahun 2011 sehinggakan hasil Kerajaan Negeri pada tahun tersebut menurun sejumlah RM 181.40 juta atau 17.7% berbanding tahun 2010 iaitu sejumlah RM 1,023.17 juta menjadi hanya RM 841.77 juta. SAMM Johor berharap agar agensi-agensi Kerajaan Negeri terus proaktif dalam memungut hasil Kerajaan Negeri terutamanya tunggakan hasil yang berjulah RM 160.80 juta pada tahun 2011.

 

SAMM Johor turut ingin menarik persoalan mengenai bagaimana 39 bekalan peralatan bernilai RM 55,360 telah ditempatkan atau dipasang di rumah beberapa individu dan bukannya di premis-premis persatuan atau pertubuhan. Perkara ini secara jelas telah melanggar Perenggan 4 Garis Panduan Rancangan Pembangunan Kerja-Kerja Kecil, yang mana ia menyatakan bahawa kelulusan projek/bekalan atas kegunaan individu adalah tidak dibenarkan. Bagaimanakah set penyaman udara yang menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri boleh dipasang di rumah individu seperti di dalam gambar yang dilampirkan?

 

SAMM Johor dengan ini mendesak Menteri Besar memberikan penjelasan berikutan daripada perkara ini tertakluk di dalam perihal Pejabat Menteri Besar seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011. Apakah justifikasi dan pedoman Pejabat Menteri Besar dalam menghalalkan tindakan melanggar Garis Panduan tersebut? Apakah sebabnya individu-individu ini mendapat bekalan peralatan untuk kegunaan peribadi mereka? Siapakah individu-individu istimewa yang mendapat bekalan peralatan ini?

 

Mungkin Pejabat Menteri Besar terlepas pandang akan perbekalan peralatan ini kepada rumah-rumah individu terpilih seperti mana Kerajaan Negeri Johor terlepas pandang mengenai pengeksportan pasir ke Singapura satu ketika dulu. Walaupun, jumlahnya hanyalah sekitar RM 55, 360 sahaja, namun ia tetap melibatkan perbelanjaan Kerajaan Negeri dan seharusnya perbelanjaan peralatan ini harus dimanfaatkan kepada kumpulan sasaran iaitu rakyat Johor dan bukannya kepada sekelompok individu semata-mata. Sekiranya, peralatan ini sememangnya melanggar garis panduan tersebut, SAMM Johor dengan tegas mendesak Kerajaan Negeri untuk segera mengambil tindakan terhadap mereka-mereka yang terlibat.

 

Lihat kepada gambar yang dilampirkan jelas tertera set penyaman udara yang diletakkan di rumah milik individu di Taman Wira, Simpang Renggam dan Taman Bukit Kangkar, Ledang, Set Kerusi dan meja antik di rumah individu di Jalan Ong Siong, Tangkak dan set kabinet dapur diletakkan di rumah individu di Jalan Ledang Emas 1, Taman Ledang Emas, Tangkak. Adakah Pejabat Menteri Besar Johor sememangnya menyediakan bantuan atau geran membeli perabot dan peralatan rumah kepada rakyat Johor? Menteri Besar harus memberikan penjelasan mengapa ada segelintir kecil rakyat yang sebegitu istimewa hingga mendapat peralatan dan perabot rumah menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri?

 

SAMM Johor ingin menuntut penjelasan daripada pihak Perbadanan Johor mengenai anak syarikat 100% miliknya iaitu JCorp Hotels And Resorts Sdn. Bhd. (JHRSB). Walaupun JHRSB Berjaya mencatatkan keuntungan namun, itu hanyalah bersandarkan kepada operasi perladangan kelapa sawit. JHRSB mempunyai 6 syarikat subsidiary namun hanya 1 syarikat yang membayar dividen kepada JHRSB. Apakah yang terjadi kepada 5 syarikat yang lain? Kesemua syarikat subsidiary dalam bidang perhotelan dan perlancongan telah mengalami kerugian semasa antara RM 0.39 juta hingga RM 10.16 juta dan menyebabkan kerugian terkumpul kesemua syarikat tersebut meningkat antara RM 6.99 juta hingga RM 114.15 juta. 

Mengapakah sejak dari tahun 2008 kadar hutang syarikat-syarikat subsidiary ini terus meningkat? Apakah pelan Perbadanan Johor untuk membantu syarikat-syarikat ini dalam melangsaikan segala hutang-hutang mereka? Apakah sebab hotel-hotel milik JHRSB tidak berjaya mencapai sasaran penyewaan bilik? Adakah Johor hanya dijadikan tempat transit oleh pelancong-pelancong ini sama ada sebelum ke Singapura atau tempat transit dari Singapura terus ke destinasi lain? Apakah tindakan Kerajaan Negeri dalam membantu JHRSB dalam mencapai sasaran penyewaan bilik sementelah ia adalah syarikat subsidiari milik 100% Perbadanan Johor?

Isu Sekolah Agama yang terpaksa menyewa di bangunan rumah kedai yang sempit, tidak mempunyai peralatan keselamatan yang mencukupi, infrastruktur dan peralatan sekolah yang uzur dan bilik darjah yang sempit dengan bilangan murid yang ramai turut menarik perhatian SAMM Johor. Sekolah Agama merupakan tempat anak-anak kecil diasuh dan diberikan ilmu agama untuk mengisi jiwa bagi membataskan mereka dari dihinggapi penyakit sosial. Sekiranya keadaan dan persekitaran sekolah yang tidak kondusif dan sesuai untuk mereka menerima ilmu, bagaimana anak-anak ini akan merasa tertarik untuk ke sekolah dan apakah jaminan terhadap keselamatan mereka dan juga guru-guru? Bagaimanakah Kerajaan Negeri boleh terlepas pandang dalam menyediakan peruntukan yang mencukupi kepada Sekolah Agama ini? Laporan Audit secara jelas menyatakan kekangan kewangan sehinggakan kemudahan infrastruktur ini tidak dapat memenuhi keadaan memuaskan.

 

SAMM Johor amat berharap agar Kerajaan Negeri Johor terus menjalankan pentadbiran berdasarkan perbelanjaan berhemah dan pemantauan berterusan terhadap agensi-agensi Kerajaan Negeri agar segala ketirisan dan ketidakupayaan dalam menjalankan perlaksanaan tugas dapat diatasi. Adalah sesuatu yang amat menyedihkan dan malang sekiranya belanjawan surplus ini tidak dapat dioptimumkan kepada mensejahterakan rakyat. Apatah lagi sekiranya system penyampaian dan perlaksanaan Kerajaan Negeri itu hanya sekadar memelihara dan memuaskan sekelompok individu yang ingin meraih kekayaan melalui jalan mudah, bergantung hayat kepada talian politik dan berselindung di sebalik aparat parti pemerintah. 

“Perjuangan Adalah Perlaksanaan Kata-Kata”

 

 

Ahmad Anwar Asyraf

Penyelaras

Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor

 

Blog : http://sammjohor.tumblr.com

email : [email protected]

Twitter :[email protected]

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.