Home » Headlines, SAMM

Akta Perhimpunan Aman tiada jaminan, program PR terus diganggu – KeadilanDaily

Submitted by on November 1, 2012 – 10:50 AMNo Comment

(Oleh Sidiqin Omar)

KUALA LUMPUR 31 Oktober: Akta Perhimpunan Aman (PAA 2012) tidak memberi sebarang jaminan keselamatan selagi program yang
dianjur Pakatan Rakyat terus diganggu dan dihalang kerajaan, kata Ketua KEADILAN Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

“Dari segi propaganda, PAA 2012 ini diperlihatkan lebih terbuka. Tapi hakikatnya akta ini ada banyak jurang kelemahan undang-undang yang boleh dipergunakan oleh penguasa.

“Kita memohon mengadakan program mengikut prosedur dan undang-undang PAA 2012. Namun gangguan tetap ada. Langsung tidak ada
jaminan keselamatan dari polis,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Jalan Duta, hari ini.

Beliau merujuk program di Pasir Gudang, Johor 27 Oktober lalu apabila pemuda Umno melakukan provokasi, memasang kuat rakaman kaset dalam balai raya, berdepan tapak ceramah anjuran DAP kawasan itu.

“Jika Pakatan Rakyat mengadakan program, akan sentiasa ada pihak yang membuat laporan polis membantah. Adakah ini semangat PAA 2012?” soal beliau yang dikenali Chegu Bard.

Katanya, bantahan menggunakan Akta PAA 2012 akan terus digunakan sebagai ‘hujah’ kepada gangguan tersebut.

Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pagi tadi menangguhkan perbicaraan berhubung PAA 2012 terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada 7 November ini bagi memberi laluan permohonannya membatalkan tuduhan.

Peguam Karpal Singh memberitahu, pihaknya sedang menunggu arahan daripada anak guamnya itu sama ada mahu menarik semula permohonan tersebut atau mengekalkannya pada tarikh sebutan yang ditetapkan mahkamah.

“Setakat ini, satu daripada permohonan bagi tuduhan berkaitan Akta Perhimpunan Aman 2012, telah ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi pada 23 November depan,” katanya, lapor Sinar Harian.

“Sekiranya diizinkan, kami memerlukan masa sama ada untuk menarik balik permohonan tersebut, atau mendengar hujahan bantahan awal daripada pihak pendakwaan pada satu tarikh yang ditentukan mahkamah,” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali – Gurcharan Singh berkata, pihaknya telah menerima arahan anak guamnya untuk menarik balik permohonan sama, yang difailkan sebelum ini.

Hakim kemudiannya menetapkan tarikh sama – 7 November bagi sebutan kes itu bersama kesemua kes-kes lain yang telah ditetapkan untuk dibicarakan bersama sebelum ini.

Pada 22 Mei lalu, Anwar, Azmin dan Badrul didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (2)(c), Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), iaitu menyertai himpunan Bersih 3.0 dan boleh dihukum denda maksimum RM10,000.

Ketiga-tiga mereka turut didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan kononnya bersubahat dalam kes Bersih dengan mengingkari perintah diisytiharkan majistret.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, mereka dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kononnya bersubahat memecahkan benteng ketika perhimpunan Bersih 3.0.

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.