Home » All Post

‘Pulangkan hak persatuan’ – FMT

Submitted by on November 20, 2012 – 5:52 PMNo Comment

PORT DICKSON: Dalam usaha mengembalikan semula hak persatuan; Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Port Dickson (PPPKPD) bertindak mengutip sendiri wang tapak pasar malam di tapak Pasar Malam Batu 4 Port Dickson Sabtu lepas, setelah selama ini wang tapak Pasar Malam dikutip oleh pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Menurut Pengerusi PPPKPD, Mohd Arshad Jalani, sebelum ini wang sewa tapak memang dikutip oleh pihak persatuan. Tetapi krisis ini timbul apabila Ahli Jawatankuasa (AJK) persatuan yang lama tidak terpilih semula pada Mesyuarat Agung yang lepas, Bekas Pengerusi telah mengumumkan bahawa sewa tapak pasar malam akan dikutip oleh MPPD.

“Kami amat kesal dengan tindakan Pengerusi lama PPPKPD yang jelas membelakangkan keputusan Mesyuarat Agung bertarikh 15.07.2012 yang lepas. Beliau sebenarnya tiada ‘autoriti’ untuk membuat sebarang keputusan secara peribadi, namun ini yang berlaku.

“Keputusan membenarkan MPPD mengutip sewa tapak pasar malam menyebabkan persatuan tidak ada sebarang dana untuk menjaga kebajikan ahli persatuan. Tindakan Bekas Pengerusi juga jelas membelakangkan undang-undang kerana tidak membentangkan penyata kewangan persatuan semasa Mesyuarat Agung persatuan yang lepas. Ini menyebabkan AJK persatuan yang baru tidak mengetahui kedudukan kewangan persatuan yang terkini,” kata Mohd Arshad.

Kutipan sewa untuk siapa?

Sementara itu Norazizi A Aziz yang mewakili Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) pula berkata perkara ini tidak wajar dipolitikkan kerana ini membabitkan kebajikan para peniaga kecil yang berniaga.

“Tindakan MPPD ini jelas menzalimi pihak persatuan dan peniaga kecil itu sendiri. Oleh kerana tiada dana, nasib para peniaga kecil ini akan terabai. Bayangkan jika berlaku kematian atau musibah pada para peniaga, kepada siapa mereka ini nak mengadu? Siapa yang bertanggungjawab terhadap masalah mereka?

“Justeru tindakan MPPD ini boleh dipersoalkan. MPPD mengutip sewa bagi pihak siapa? Apa status kewangan terkini duit kutipan sewa tapak para peniaga pasar malam ini? Ini semua boleh dipersoalkan dan akhirnya saya yakin bahawa pihak persatuan yang akan dipersalahkan,” kata Norazizi.

Norazizi juga menjamin bahawa pihak SAMM akan menyediakan khidmat peguam sekiranya pihak persatuan ingin mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas segala tindakan bekas Pengerusi atau AJK persatuan sebelum ini.

Ambil alih kutipan

Affandy Malek yang merupakan Setiausaha PPPKPD pula berkata bahawa bermula 17 Nov 2012, pihak persatuan akan mengambil alih kutipan wang sewa tapak pasar malam daripada pihak MPPD.

“Ini merupakan langkah awal kemenangan hak pihak persatuan apabila hari ini tidak nampak kelibat penguatkuasa MPPD mengutip duit sewa tapak dari para peniaga. Namun perjuangan ini tidak harus selesai di sini sahaja kerana banyak lagi perkara yang perlu dilakukan demi menjaga kebajikan para peniaga.

“Kami juga akan membuka kaunter aduan di tapak pasar malam ini di mana kaunter ini bertujuan untuk menerima sebarang aduan atau cadangan untuk penambahbaikan demi menjamin kebajikan para peniaga. Para peniaga boleh berhubung secara terus dengan pihak kami di kaunter ini.

“Pihak persatuan akan memaklumkan secara rasmi tindakan mengutip sewa kepada pihak MPPD dan akan berbincang tentang status terkini pasar malam.

“Pihak persatuan juga akan memohon kembali wang kutipan yang dianggarkan mencecah RM10,000 daripada pihak MPPD. Pihak persatuan juga akan meminta penyata kewangan daripada Pengerusi Persatuan sebelum ini untuk dibentangkan kepada ahli dan saya amat berharap agar perkara ini dapat diselesaikan secara baik,” ujar Affandy.

Jarang turun padang

Sementara itu berkaitan isu tersebut Norazizi bagi pihak SAMM dan mewakili pihak penjaja yang terlibat dalam kes ini menyatakan rasa kesal beliau terhadap Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang (BN), Tan Sri Mohd Isa Samad yang tidak turun padang untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat atau penjaja terbabit.

“Ketika SAMM membawa penjaja yang bermasalah ini ke Parlimen untuk mengenengahkan masalah yang tidak berkesudahan ini seorang wartawan telah bertanya kepada Ahli Parlimen Telok Kemang dan beliau berkata kehadiran warga Telok Kemang itu tidak ikut protokol, beliau tidak dimaklum awal dan isu itu adalah isu negeri dan bukan isu Parlimen. Beliau begitu sombong dan angkuh sekali.

“Sememangnya bukan rahsia lagi Ahli Parlimen Telok Kemang dan ADUN Bagan Pinang jarang turun kawasan dan susah ditemui,” kata Norazizi.

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.