Home » SAMM

SAMM Gerak Kemuncak Mobilisasi Pelancaran Himpunan Kebangkitan Rakyat 3 Nov

Submitted by on November 2, 2012 – 5:16 PMNo Comment

Kenyataan Umum
2 November 2012

SAMM Gerak Kemuncak Mobilisasi Pelancaran Himpunan Kebangkitan Rakyat 3 Nov

Setelah hampir seminggu terlibat secara serius dengan kerjasama rakan sekutu dalam Jelajah Pra-Himpunan 3 November termasuklah beberapa siri ceramah, menaikkan puluhan kain rentang dan ribuan poster, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) terus menggerakkan mobilisasi untuk Pelancaran Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) yang kini memasuki fasa kemuncaknya dengan aktiviti “Siaraya Perdana” selama 3 jam ke seluruh pinggir bandar Seremban.

Siaraya Perdana SAMM akan bermula pada jam 12 tengahari berkumpul di Dataran Senawang dan akan berakhir jam 3 petang di Stadium Paroi, seterusnya akan bersama dengan kumpulan besar Konvoi Himpunan Kebangkitan Rakyat. Sepanjang 3 jam perjalanan Siaraya Perdana SAMM, beberapa lokasi menjadi pilihan untuk edaran risalah dan sesi penerangan ringkas sambil ‘menghasut’ orang ramai hadir ke Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan berlangsung di Seremban Jaya.

Sesi siaraya akan berakhir di Stadium Paroi pada jam 3 petang dan sebuah konvoi lebih besar akan akan bermula dari Stadium Paroi yang akan berakhir di tapak program Himpunan Kebangkitan Rakyat. Konvoi Himpunan Kebangkitan Rakyat ini akan menggegar bandar Seremban dan seterusnya menjana arus perubahan di Negeri Sembilan.

SAMM mengajak rakyat seluruh Negeri Sembilan untuk turun bersama menyertai Pelancaran Himpunan Kebangkitan Rakyat 3 November yang akan menjurus kepada himpunan peringkat nasional yang akan diadakan pada bulan Januari nanti. Himpunan Kebangkitan Rakyat akan menjelajah ke beberapa lokasi dalam tanah air sebelum himpunan kemuncak yang akan menyaksikan jutaan rakyat bersama.

Bagi SAMM, inilah masanya untuk rakyat khususnya dari Negeri Sembilan untuk menunjukkan kekuatan kuasa rakyat bagi menuntut perkara teras dalam hak demokrasi. Ia termasuklah menuntut pilihanraya yang bersih dan adil agar rakyat dapat memilih kerajaan yang menawarkan polisi terbaik untuk rakyat.

Himpunan ini juga adalah medan bagi rakyat menyuarakan bantahan terhadap bahaya Lynas, juga bantahan terhadap penyenaraian Felda demi menyelamatkan khazanah rakyat dari terus dirompak dan juga termasuk bagi menuntut hak Royalti rakyat Kelantan.

Walaupun dikhabarkan terdapat sedikit ugutan dan ancaman dari segelintir kononnya himpunan akan membawa kepada huru-hara, ternyata ia suatu hujah yang sangat dangkal. SAMM menegaskan bahawa himpunan rakyat akan berlangsung dengan aman sekiranya tiada gas pemedih mata dilontarkan dan himpunan Janji Demokrasi yang berlangsung pada malam merdeka menjadi bukti sahih betapa himpunan rakyat boleh berlangsung dengan aman.

Difahamkan Menteri Besar Negeri Sembilan juga pada malam seterusnya iaitu 4 November (Ahad) telah memanggil beberapa artis terkemuka untuk sebuah konsert di Bandar Seremban dalam usaha menghimpun orang ramai, tidakkah sudut ini membawa kepada huru-hara?

Kepada anasir yang melemparkan ugutan, SAMM juga ingin mengingatkan bahawa berhimpun untuk menyatakan bantahan adalah hak rakyat yang diperuntukkan dalam perkara 10 perlembagaan negara maka tiada ugutan yang boleh menafikan hak rakyat ini. Rakyat hari ini juga telah berani demi hak dan kebenaran, sedangkan ugutan pihak polis sendiri tidak berjaya mengekang himpunan sebelum ini apalagi ugutan sebuah NGO, kerana rakyat yakin dengan hak demokrasi yang dimilikinya.

Berikut adalah maklumat ringkasan tentatif bagi aktiviti 3 November;

12.00 Tghari: Berkumpul di Dataran Senawang 

12.30 Tghari: Siaraya Perdana SAMM Bermula.
3.00 Ptg : Berkumpul di Stadium Paroi
3.15 Ptg : Konvoi HKR Bermula
4.15 Ptg : Konvoi berakhir di tapak program
4.30 Ptg : Karnival Rakyat bermula
7.00 Ptg : Rehat Maghrib
8.30 mlm: Kemuncak siri-1 Himpunan Kebangkitan Rakyat

SAMM juga akan membawakan siaran secara langsung program Konvoi HKR yang bermula jam 3 petang dan juga siaran langsung kemuncak siri pertama Himpunan Kebangkitan Rakyat pada jam 9 malam. Jika ada gangguan dan provokasi dari pihak tertentu, semuanya akan dirakam dan disiar terus ke seluruh negara agar rakyat dapat tahu siapa pengacau sebenar. Siaran secara LIVE ini boleh diikuti dari pautan : http://www.ustream.tv/channel/merdeka-rakyat dan sebuah lagi pautan alternatif https://new.livestream.com/accounts/1848610/KonvoiHKR

Rakyat secara keseluruhannya, merentasi agama dan bangsa, dari apa jua latar belakang kedudukkan, dijemput menyertai himpunan ini di atas kesedaran bahawa tanahair ini harus diselamatkan dan setiap anda mempunyai peranan.

“Perubahan Itu Harus Didesak”

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

 

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.