Home » All Post, Headlines, Terengganu

Lebih 2 Ribu Serbu Santai Ryder Muda SAMM – Sinar Harian

Submitted by on December 2, 2012 – 12:44 PMNo Comment

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Disember 2012

2,000 serbu Ustaz Azhar
Pantai Teluk Ketapang dibanjiri orang ramai untuk melihat lebih dekat kelibat Ustaz Azhar.
2,000 serbu Ustaz Azhar
Penunggang motosikal turut hadir memberikan sokongan.

SEBERANG TAKIR – Kira-kira 2,000 orang membanjiri Pantai Teluk Ketapang, di sini, semalam, untuk menyaksikan dengan lebih dekat penceramah terkenal tanah air yang juga anak jati kelahiran Terengganu, Ustaz Azhar Idrus.

Bagaimanapun, ustaz yang menimbulkan fenomena yang tersendiri melalui penyampaian ceramah dan dakwahnya itu terlebih dahulu berkonvoi bersama kira-kira 200 motosikal dari Jalan Pusara, Kuala Terengganu, sebelum tiba di acara kemuncak Program Santai Anak Muda, Hak Anda dan Kuasa Polis anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Terengganu.

Program yang bertujuan memberi kefahaman dan kesedaran kepada anak muda khususnya penunggang motosikal mengenai hak dan batas undang-undang yang sebelum ini jarang diberi pendedahan.

Meskipun, sasaran program adalah untuk golongan muda, namun masyarakat pelbagai peringkat usia tidak melepaskan peluang untuk melihat secara lebih dekat dan mendengar ceramah yang disampaikan Ustaz Azhar itu.

Turut buka ruang berdialog

SELAIN ceramah, pihak penganjur turut membuka peluang kepada orang ramai untuk berdialog dengan Ustaz Azhar Idrus dan peguam jemputan khas bagi mereka yang kurang jelas mengenai status sebenar penunggang motosikal yang turut dilabel sebagai pelumba haram.

Program yang berlangsung hampir sejam setengah itu nyata belum memuaskan hati semua yang hadir, namun mereka terpaksa akur dengan kepadatan jadual penceramah yang tersohor dengan dialek Terengganu itu.

Pengerusi SAMM Negeri Terengganu, Rafizi Ramli berkata, pihaknya menganggap program yang julung kali diadakan di Terengganu itu mencapai kejayaan luar biasa apabila berjaya mengumpulkan ramai peserta terutama penunggang motosikal.

“Alhamdulillah, ternyata hasrat kita untuk memberi pendedahan kepada penunggang motosikal yang dianggap mat rempit ini berjaya mencapai sasaran dan mendapat sokongan yang sangat baik.

“Justeru, kita anggap kejayaan ini sebagai pemangkin untuk melebarkan lagi program seumpamanya ke daerah dengan harapan lebih ramai penunggang bermotosikal mengetahui hak mereka apabila ditahan pihak berkuasa tanpa sebab yang munasabah,” katanya.

SAMM perjuangkan hak orang muda

KATANYA, SAMM akan terus bergiat untuk memastikan kehendak dan kebajikan golongan muda diperjuangkan kerana mereka sememangnya mempunyai hak jika ditahan tanpa melakukan kesalahan yang serius.

“Tujuan kita adalah untuk memastikan anak muda terutama yang dilabel mat rempit ini terbela dan diberi bimbingan sewajarnya tanpa dihukum dengan undang-undang terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, penunggang motosikal, Fariz Azhar, 27, ketika ditemui mengakui program sedemikian sememangnya bermanfaat kerana secara tidak langsung dapat mengetahui maklumat yang sebelum ini tidak didedahkan.

“Bukan semua penunggang motosikal adalah pelumba haram dan jika ada kesilapan melanggar lampu merah atau kesalahan kecil lain yang tidak disengajakan seharusnya dibincang mengikut budi bicara.

“Saya anggap program ini sangat bermanfaat kepada penunggang motosikal selain dapat mengetahui mengenai undang-undang,” katanya.

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.