Home » All Post, Headlines, SAMM

Separuh Akhir Piala AFF: Status ‘Underdog’ Satu Kelebihan [KEMASKINI]

Submitted by on December 9, 2012 – 11:11 AMNo Comment

[KEMASKINI] GAME START PUKUL 8.00 MALAM, BUKAN 8.45!! HARAP MAKLUM

Kenyataan Umum
9 Disember 2012

Separuh Akhir Piala AFF: Status ‘Underdog’ Satu Kelebihan

Malam ini sekali lagi pasukan Harimau Malaya berdepan dengan perlawanan getir apabila bertemu dengan pasukan Thailand, pasukan gergasi asia tenggara yang paling menyerlah dalam kejohanan Piala AFF setakat ini.

Bagi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), pasukan kebangsaan Malaysia yang mara ke separuh akhir sebagai naib juara kumpulan B merupakan satu kelebihan iaitu akan turun ke gelanggang sebagai ‘underdog’ menentang pasukan juara kumpulan A. Kedudukan sebagai pasukan underdog juga akan meletakkan tekanan kepada pasukan Thailand dan dibantu dengan satu lagi kelebihan – bermain di gelanggang sendiri dalam perlawanan pertama daripada dua perlawanan timbal balik. Maka kejutan besar boleh dilakukan oleh anak buah Rajagopal untuk mara ke perlawanan akhir dalam keadaan Thailand yang mungkin ‘underestimate’ pasukan kebangsaan.

Mengimbas kembali, pasukan negara juga pernah dilabel sebagai ‘underdog’ pada peringkat yang sama dalam edisi kejohanan Piala AFF 2010. Ketika itu pasukan Malaysia layak ke separuh akhir dengan bantuan nasib apabila dua jaringan penalti minit akhir Bambang Pamungkas ke atas Thailand memberikan laluan buat pasukan kebangsaan sebagai naib juara kumpulan. Akhirnya Malaysia mengejutkan Vietnam di separuh akhir ketika Vietnam turun ke Kuala Lumpur dengan sombong dan dada yang mendabik sebagai antara pasukan paling menyerlah. Ia bermula di Bukit Jalil dengan dua jaringan Safee Sali.

Begitu jugalah dengan perlawanan malam ini di Bukit Jalil, bezanya kali ini ialah pasukan kebangsaan turun beraksi sebagai juara bertahan. Sepatutnya tidak timbul soal kegusaran bertemu Thailand kerana dengan status juara bertahan, tiada sebab untuk mengharapkan laluan mudah bertemu pasukan lebih lemah. Asalkan sudah lepasi separuh akhir, apa jua pasukan musuh di hadapan harus ditumbangkan.

Tahap moral pasukan juga berada dalam kondisi terbaik walaupun mungkin berdepan Thailand tanpa tonggak utama di bahagian penyerang. SAMM yakin kem pasukan negara masih mempunyai pengganti yang cukup berkaliber untuk membuahkan jaringan. Cuma SAMM tetap menggesa supaya Datuk K.Rajagopal memilih pemain yang tepat dan kompetetif untuk pertandingan peringkat tertinggi asia tenggara. SAMM mencadangkan pemain yang telah diturunkan sebelum ini tetapi tidak ‘perform’ seperti Ahmad Fakri Saarani tidak disenaraikan.

Ini bukan masanya untuk cuba-mencuba sepertimana yang dilakukan oleh Rajagopal sebelum temasya penting bermula, namun dalam kegetiran tiada pilihan apa lagi yang mampu dilakukan selain menurunkan pemain yang sepatutnya menjadi senjata rahsia dalam pasukan Harimau Malaya.

SAMM berharap prestasi ketika bertemu Indonesia dikekalkan terutamanya dari sudut displin pemain yang menjadi kunci pintu gol tidak dibolosi. Hantaran bola tinggi harus dikurangkan kerana pasukan kebangsaan sering kali gagal untuk menang dalam perebutan udara berbanding hantaran leret yang lebih berkesan jika hantarannya tepat. Jentera tengah juga harus bijak membuat hantaran namun terlebih dahulu wajib memastikan penguasaan wilayah tengah padang milik Harimau Malaya kerana pasukan yang menguasai tengah akan mampu mendominasi permainan.

Ayuh anak muda turun ke stadium memberi sokongan padu kepada pasukan kita, Harimau Malaya. SAMM percaya stadium Bukit Jalil akan dipenuhi penyokong yang tidak jemu bersama di belakang pasukan kebangsaan, hadir sebagai pemain ke-12 yang menjadi faktor pembakar semangat. Dengan pengorbanan penyokong yang hadir dari dekat dan jauh, bergelut dan ‘berhabisan’ untuk mendapatkan tiket, pastinya harapan seluruh rakyat Malaysia agar permainan yang menarik dengan semangat utuh dapat disajikan oleh Harimau Malaya.

SAMM Optimis pasukan Harimau Malaya mampu membawa bekal yang selesa sebelum bertarung di Stadium Suphachalasai, Bangkok seterusnya mara ke perlawanan akhir bagi mempertahankan kejuaraan dan juga ‘melunaskan dendam’.

Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger SAMM

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.