Home » All Post, Headlines

Aziz Bari: Kerajaan N.Sembilan Tetap Akan Jadi Sebuah Kerajaan Haram [Wajib Baca]

Submitted by on March 25, 2013 – 4:42 PMNo Comment

negeri Sembilan

KUALA LUMPUR 25 Mac: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak faham perlembagaan apabila menyamakan isu kerajaan sementara dengan konsep pengasingan kuasa, kata pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Beliau berkata demikian sebagai respon kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa kerajaan negeri itu masih sah, walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar, Selasa ini.

Hasan dalam kenyataan semalam berkata, menerusi sistem demokrasi berparlimen atau westminster, hanya kuasa oleh wakil rakyat akan terbubar jika DUN mencapai tempoh lima tahun, sementara kehakiman dan eksekutif masih perlu dijalankan.

Mengulas perkara itu, Aziz yang juga bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) berkata, dalam sistem westminster di Malaysia, kuasa eksekutif iaitu pemerintah dilantik oleh legislatif (perundangan).

“Dia (Mohamad Hasan) tak faham perlembagaan. Kerajaan sementara tidak ada kena mengena dengan pemisahan kuasa.

“Dalam sistem westminster, kerajaan itu dilantik daripada dewan (legislatif). Jadi apa lagi autoriti yang dia ada?

“Kalau Dewan habis (bubar), bermakna habislah kerajaan itu. Ibarat pelantar, kalau pelantar dah runtuh takkan boleh bina rumah atas air,” ujarnya ketawa ketika dihubungi.

Menurut Aziz, berbeza di negara seperti Amerika Syarikat, kuasa eksekutif atau presiden dilantik terus oleh rakyat.

“Di Malaysia, kuasa eksekutif itu berdiri atau ditegakkan oleh dewan. Asas kepada kewujudan kerajaan itu adalah dewan.

“Ketua eksekutif atau perdana menteri juga adalah anggota legislatif. Perdana menteri itu ahli parlimen dan MB adalah Adun,

“Konsep pemisahan kuasa di sini lebih sulit berbanding di Amerika atau Filipina kerana presidennya dilantik secara terus oleh rakyat,” ujarnya.

Justeru Aziz menegaskan, kerajaan Negeri Sembilan tetap akan menjadi sebuah kerajaan haram, sekiranya kerajaan sementara tidak dilantik secara rasmi selepas 26 Mac ini.

“Maknanya, dia (Mohamad Hasan) tidak boleh buat keputusan penting selepas dilantik, tidak boleh ada mesyuarat Exco dan lain-lain. Dalam keadaan dewan sudah melepasi 5 tahun, apalagi moral yang dia ada. Kerajaan sementara kena dilantik secara formal,” tegas beliau.

Oleh sebab itu katanya, pihak istana perlu melantik Mohamad Hasan sebagai ketua kerajaan sementara, sesegera yang mungkin.

Katanya lagi, jika tidak, ia akan menimbulkan pelbagai isu berhubung kemudahan yang diguna menteri besar itu, termasuk kediaman dan kenderaan rasmi serta soal pembayaran gaji kepada kakitangan kerajaan negeri.

Menurut Aziz, kerajaan sementara yang ditubuhkan selepas itu pula mesti melakukan tugasan rutin sahaja dan tidak boleh membuat keputusan penting seperti meluluskan peruntukan mengguna wang kerajaan negeri.

Ditanya mengenai negara yang mengamalkan sistem westminster seperti Bangladesh yang menetapkan kerajaan sementara secara rasmi dalam perlembagaan, Aziz berkata, ini kerana perlembagaan mereka dikira baru, berbanding Malaysia.

Di negara itu, selepas dewan parlimennya dibubar, kerajaan sementara akan diletak di bawah satu majlis khas yang diketuai Ketua Hakim Negara.

Ini bermaksud kerajaan sementara di Bangladesh bukan sekadar melibatkan fungsi kerajaan, tetapi perubahan organisasi.

Di Australia dan New Zealand, dokumen rasmi menyebut tentang amalan ini, namun kebanyakan negara mengamalkan kerajaan sementara secara konvensyen, atau tidak bertulis.

“Ini kerana mereka lebih bertamadun dan beradab. Di UK (United Kingdom), walaupun tidak ada perlembagaan bertulis, tetapi mereka mengikut adat, jika habis tempoh maka dewan akan terbubar sendiri,” ujarnya.

Baca Kenyataan SAMM mengenai implikasi pembubaran otomatik DUN – 

Jika Parlimen Tidak Bubar Awal Minggu Ini

 

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.