Home » All Post, Headlines

13 Mei Tarikh Hari Perpaduan Bangsa Malaysia

Submitted by on May 13, 2013 – 3:56 PMNo Comment

Tulisan yang wajar diketengahkan oleh salah seorang penyelaras SAMM negeri;

perpaduan

13 Mei Tarikh Hari Perpaduan Bangsa Malaysia

Pasca PRU 13, gendang rasis kembali dibunyikan. Hari ini 13 Mei merupakan tarikh yang sering menjadi igauan rakyat Malaysia. Namun, 2013 membuka definisi baru. Daripada igauan ngeri kini rakyat Malaysia merangkak membuka lembaran baru, mengangkat 13 Mei sebagai satu hari masyarakat Malaysia berganding bahu menolak amalan rasisme dalam bernegara. 13 Mei diangkat oleh rakyat Malaysia menjadi hari perpaduan bangsa Malaysia.

Saya mendedikasikan penulisan ini untuk menjaga semua potensi masyarakat agar tetap konsisten dalam berkomitmen pada cita-cita kebangsaan yang telah digariskan oleh nenek moyang kita, pendiri-pendiri tamadun bangsa ini lama dahulu dan menempatkan nilai-nilai rukun negara dalam bernegara. Ini harus menjadi komitmen kita.

Sebuah bangsa akan mampu bertahan, berkembang apabila komitmen dan konsistensi kebangsaan kita tetap terjaga. Namun sebaliknya, ketika sikap dan pandang masyarakat melupakan dan tidak memandang pada ideologi kebangsaan, maka kita akan dapat lihat keruntuhan sistem bernegara.

Inilah realiti yang terjadi di tengah-tengah kita. Hubungan antara masyarakat tidak lagi menghargai nilai ideologi kebangsaan. Maka, lahirlah cara fikir dan tindakan untuk kepentingan individu dan kelompok semata-mata yang melahirkan sikap individualistik dan semakin menjauhi komitmen kenegaraan. Malaysia akan mengalami bencana besar sekiranya kita tidak merawat prinsip-prinsip bernegara dalam masyarakat majmuk ini. Sikap individualistik yang tidak terurus akan membuatkan manusia lebih kejam terhadap manusia lain dan lebih eksploitatif terhadap alam sekitar.

Hari ini perjuangan politisi negara harus kembali kepada karakter dan jatidiri negara bangsa Malaysia. Masyarakat sedang berada di tengah-tengah janji-janji kosong dan semakin hilang arah dengan kepimpinan yang matang di pagi hari tetapi semakin mentah menjelang malam.

Perilaku elitis puncak kuasa yang tidak konsisten atas tindakan dan ucapan kerana dibelit kepentingan peribadi yang mengejar materialistik dan kekuasaan semata-mata ini mengheret masyarakat kehilangan arah, kehilangan rasa optimis dan hancur jatidirinya. Keadaan kepimpinan seperti inilah yang tidak dapat membentuk dan meneguhkan bangsa Malaysia. Kepimpinan umpama musang berbulu ayam.

Kita ingin dirikan, kita ingin bangunkan sebuah orde bangsa Malaysia yang bertujuan untuk mengajak semua masyarakat menjadi maju. Maju dalam ertikata belajar bersungguh-sungguh, bekerja keras serta berpegang teguh kepada kejujuran dan idealisme.

Kita bisa melihat angka-angka statistik betapa Melayu ini ketinggalan dalam banyak sisi kehidupan bernegara. Kita harus secara bersungguh-sungguh untuk mengangkat permasalahan ini dan membasminya. Retorik kata-kata dan menyalahkan kaum lain bukanlah penyelesaian unggul. Bahawa orang tua melayu yang ketinggalan akan membesarkan anak yang ketinggalan serta akan melahirkan cucu yang ketinggalan pula. Inilah generasi tertindas di mana ketinggalan menjadi sesuatu yang absolut. Wadah yang memperjuangkan bangsa itu masih lagi terjerut dengan sindrom penafian hakikat kegagalan mereka sendiri dalam mengurustadbir amanah menaikkan darjat bangsa lalu dengan pantasnya meletakkan beban kesalahan itu kepada sahabat-sahabat bukan Melayu.

Bangsa ini memerlukan komitmen bersama dengan teman-teman yang lain. Orang Melayu tidak boleh melihat ke bawah kerana faktanya orang Melayu sudah berada di bawah selama ini hasil pemerasan politisi yang individualistik. Orang Melayu harus melihat bintang di atas langit untuk maju dan bersinar bersama dalam nilai dan kebajikan kita sebagai rumpun bangsa Malaysia.

Pemimpin politisi Melayu harus memimpin dengan hati yang terbuka dan luhur, positif dan saling mempercayai sesama masyarakat majmuk bukannya melahirkan prejudis dan prasangka satu sama lain. Melalui karakter kepimpinan seperti ini, Malaysia mampu hadir sebagai sebuah negara yang berbagai aspirasi, teradun seni budaya dan adatnya serta kukuhnya ketamadunan bangsa. Semangat dan kebersamaan seperti inilah yang kita perlukan dalam memajukan bangsa. Inilah komitmen kebangsaan kita yang harus kita jaga. Sebuah keluarga besar yang bernama rakyat Malaysia.

Selamat Hari Bangsa Malaysia. 13 Mei hari perpaduan. Jangan lupa hadir ke Dewan KLSCAH jam 8 malam ini untuk Forum Hari Bangsa Malaysia-Selamatkan Demokrasi anjuran SAMM dan SMM.

Ahmad Anwar Asyraf (ComradeAAA)
Penyelaras Bersama SAMM Johor

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.