Home » All Post, Johor

Hubungan Antara Agama Perlu Musyawarah Bukan Kontroversi

Submitted by on August 14, 2013 – 10:05 PMNo Comment

surau meditasi

Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar
Kenyataan Umum
14 Ogos 2013

Hubungan Antara Agama Perlu Musyawarah Bukan Kontroversi

Isu upacara keagamaan lain yang dilakukan dalam sebuh surau resort di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor mencipta polemik berterusan hubungan antara agama dalam negara ini. Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar (SAMM Muar) terpanggil untuk turut membicarakan hal ini agar permainan politik menggunakan agama ini dapat dihentikan segera demi keharmonian rakyat dan negara.

Terdapat beberapa perkara yang timbul yang memerlukan perhatian dan pencerahan minda oleh setiap lapisan masyarakat. Pertamanya, SAMM Muar sememangnya tidak bersetuju dengan tindakan membenarkan rumah ibadah sesuatu agama diguna oleh agama lain supaya perkara-perkara sebegini dapat dielakkan dan sensitiviti serta hubungan antara agama dapat diharmonikan dalam meniti kehidupan bersama dalam negara berbilang kaum dan agama. Semua pihak perlu menjaga tingkahlaku dan mengelakkan daripada turut sama bermain dalam isu sebegini. Baik dalam tindakan, media atau laman sosial masing-masing.

Kedua, persoalan berhubung penentuan arah kiblat surau tersebut yang diakui salah oleh Mufti Negeri Johor. Benar surau tersebut bukan dibawah bidangkuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) namun tidak sepatutnya JAJ mengambil sikap lepas tangan dalam pemantauan dan penentuan arah kiblat. Kelemahan JAJ ini sangat menyedihkan sebagai sebuah jabatan yang menjaga kemaslahatan agama Islam.

Ketiga, satu ruang musyawarah antara ilmuwan-ilmuwan agama perlu mengambil tempat dalam situasi sekarang ini. Siri pertemuan-pertemuan ilmu ini akan dapat mengukuhkan ruang pemahaman dan mencari titik-titik harmoni antara satu sama lain. Kontroversi dan perbedaan antara agama ini perlu ditangani dengan ilmiah dan penuh diplomasi ibarat “menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerakan”. Negara tidak harus terheret dalam pertembungan antara agama yang tidak menyihatkan ini.

SAMM Muar menyeru dan menggesa setiap lapisan rakyat agar menolak permainan menggunakan agama dan kaum, tidak terheret dibuai emosi dan sentimen yang disemai ekstremis yang tidak pernah mahu melihat keharmonian negara dipacu sebaiknya. Hentikan tindakan dan apa juga perkara yang boleh memunculkan pertelingkahan antara agama dan kaum termasuk di media sosial. Cukuplah negara ini terheret dalam pertembungan politik, tidak perlu kita heret lagi dalam pertembungan agama dan kaum.

SAMM Muar berharap agar polemik antara agama ini dapat diminimumkan dengan semua rakyat dapat memainkan peranan bersama-sama mengelakkan sebarang perkara yang dapat menimbulkan pertelingkahan antara agama. Perbezaan antara agama dan kaum yang dicipta oleh Yang Maha Esa ini sepatutnya digunakan untuk kita bersama-sama mempelajari dan meraikan kepelbagaian dalam merapatkan jurang keharmonian masyarakat dalam negara ini bukan terperangkap dalam permainan pihak tidak bertanggungjawab dan ekstremis yang sentiasa mahu mencipta situasi tidak tenang dalam negara.

Mohd Asyriq Mohamad
Kordinator Kemasyarakatan, Rekreasi dan Anak Muda
SAMM Muar

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.