SAMM Melaka Melabuhkan Tirai Ramadhan Dengan Aktiviti Kemasyarakatan.
Pada hari ahad, 04 Ogos yang lalu Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM Melaka) telah menganjurkan aktiviti kemasyarakatan yang telah dijalankan di kawasan Merlimau dan Masjid Tanah.
Di Merlimau program yang telah dijalankan adalah aktiviti edaran bubur lambuk kepada orang ramai. Program telah bermula seawal jam 9.00 dimana persediaan untuk memasak bubur lambuk telah dijalankan. Yang istimewanya Ramadhan kali ini kita telah menyediakan dua kawah bubur lambuk yang terdiri daripada Bubur lambuk Ayam dan kambing. Ini merupakan aktiviti tahunan yang kita jalankan di kawasan Merlimau. Sekitar jam 4.00 petang bubur lambuk mula diedarkan di sekitar Merlimau.
Di kawasan Masjid Tanah pula, SAMM Melaka telah menganjurkan aktiviti kemasyarakatan yang dikenali sebagai [email protected] Program bermula dengan edaran kurma kepada orang ramai di Bazaar Ramadhan Masjid Tanah. Edaran bubur lambuk ini diketuai oleh Che’guBard sendiri selaku Ketua Penyelaras SAMM Kebangsaan. Aktiviti bermula pada jam 4.30 petang. Hampir 150 bungkusan kurma telah habis diedarkan.
Setelah selesai solat berjemaah di Surau Stesen Bas Bandar Masjid Tanah, sekitar jam 5.15 petang kami telah meneruskan program yang dikenali sebagai program Jejak Fakir. Kami berarak ke rumah Saudara Mustafa Kamal Yakup yang mana beliau merupakan bekas Sidang kawasan setempat. Kami menziarahi beliau dan memberikan sedikit sumbangan berbentuk keperluan dapur, kuih raya dan sedikit duit sumbangan. Rumah beliau terletak di Kampung Air Hitam Lendu. Beliau telah terlantar hampir setahun akibat kemalangan jalanraya yang menimpa dirinya pada Ramadhan tahun lalu. Akibat kemalangan tersebut beliau tidak boleh berjalan dan selepas Aidil Fitri ini beliau akan menjalani pembedahan sekali lagi.
Selepas itu kami bergerak ke rumah saudara Mohd harizal dan memberikan sedikit bantuan. Beliau merupakan seorang yang mengalami cacat pekak dan bisu. Beliau mempunyai 2 orang anak yang telah pun bersekolah.
Seterusnya kami bergerak ke rumah Salbiah Kecut dan beliau merupakan seorang warga emas dan seterusnya kami menziarahi keluarga Rosmaini Moh Ali dan diikuti dengan keluarga dan program jejak fakir berakhir di rumah Puan Mariam Maidin. Puanm Mariam Maidin mempunyai seorang cucu yang dilahirkan cacat tidak boleh berjalan.
Selepas selesai program Jejak Fakir kami meneruskan program bacaan Tahlil dan Doa Selamat juga di rumah yang sama iaitu di rumah Puan Mariam Maidin. Bacaan Tahlil diketuai oleh saudara Zali yang juga merupakan komrad SAMM negeri Melaka.
Selepas selesai Tahlil dan Doa Selamat kami berbuka puasa bersama keluarga yang kami ziarahi tadi di dalam suasana yang cukup sederhana tapi cukup bermakna. Selepas selesai program Iftar kami berkesempatan solat Maghrib berjemaah bersama tuan rumah dan adik beradik SAMM.
Selepas selesai solat kami bergerak ke rumah saudara Raihan (komrad SAMM Melaka) bagi program perbincangan dan bertukar fikiran bersama Che’guBard (Ketua Penyelaras SAMM). Program berjalan dalam suasana santai sambil menikmati moreh yang telah disediakan oleh tuan rumah. Sekitar jam 11.00 malam program selesai. Insyaallah SAMM Melaka cuba jadikan program ini sebagai program Tahunan dan semoga semua amal kebajikan kita mendapat keberkatan dari Allah Taala. SAMM Melaka merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama penyumbang-penyumbang yang banyak membantu dalam menjayakan program kemasyarakatan ini. Tidak terlalu awal untuk SAMM Melaka mengucapkan Selamat menyambut Hari raya Aidil Fitri.
“Perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata”
Zuraidi bin Abdullah,
Penyelaras SAMM Negeri Melaka.