Home » All Post, Headlines

Pepatah “Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih” tidak pernah berbohong – Shahbudin Husin

Submitted by on November 29, 2013 – 1:12 AMNo Comment

Laporan Polis IPD Dang Wangi 4Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kertas siasatan tidak dapat dibuka berhubung dakwaan yang dibuat oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah KL, Datuk Mat Zain Ibrahim terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kerana akuan bersumpahnya bukan laporan polis, sebenarnya menimbulkan lebih banyak tanda tanya kepada umum.

Ia hampir mengesahkan kebenaran dakwaan Naib Presiden PKR, N Surendran bahawa ia merupakan konspirasi untuk menutup kesalahan yang dilakukan oleh pegawai kanan kerajaan itu sedangkan akuan bersumpah Mat Zain itu mempunyai merit untuk dilakukan siasatan.

Kenyataan Zahid ini juga bertentangan sama sekali dengan kenyaaan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar sebelum ini yang menyatakan kes yang melibatkan Gani bukanlah bidang kuasa polis untuk menyiasatnya tetapi di bawah SPRM. Khalid tidak menyebut tentang perlunya laporan polis.

SPRM pula sehingga kini masih bisu tanpa bahasa walaupun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed baru-baru ini dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Penguatkuasaan Anti Rasuah Antarabangsa atau IAACA dan Najib juga berbangga dengan pelantikan itu.

Jika dulu siasatan tidak dilakukan kerana dikatakan bukan di bawah bidang kuasa polis tetapi kini dikatakan pula tiada laporan polis dan akuan bersumpah bukanlah laporan polis. Nampaknya macam pelbagai alasan dan helah sedang dicari untuk tidak menyiasat Gani Patail ini.

Secara umumnya juga, isu yang dibangkitkan mengenai Gani adalah melibatkan kepentingan awam, selain pelbagai pihak juga sudah meminta agar polis menjalankan siasatan. Peguam terkenal, Karpal Singh juga berpandangan bahawa polis boleh menjakankan siasatan tanpa menunggu laporan polis kerana ia pernah belaku sebelum ini.

Bahkan, menurut Karpal, polis juga boleh membuat laporan polis mengenainya.

Namun, kiranya Zahid terlepas pandang dan mengatakan siasatan mengenai Gani tidak dapat dilakukan kerana Mat Zain tidak membuat laporan polis, sebaliknya hanya membuat akuan bersumpah, sebenarnya Solidariti Anak Muda Malaysia atau SAMM sudah membuat beberapa laporan polis mengenai Gani.

Apakah laporan polis SAMM itu tidak mencukupi dan memerlukan Mat Zain juga membuat laporan polis?

Tetapi dalam beberapa kes sebelum ini, ada siasatan polis dilakukan tanpa pihak yang menuduh membuat laporan polis. Dalam kes antara Sharifah Aini dan Siti Nurhaliza beberapa tahun lalu, polis menjalankan siasatan berhubung emel yang dikatakan memburukkan Siti Nurhaliza walaupun penyanyi itu tidak membuat laporan polis, sebaliknya laporan polis dibuat oleh seorang wartawan hiburan.

Jika kes itu boleh dijadikan rujukan, polis sebenarnya sudah boleh membuka kertas siasatan ke atas Gani berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh SAMM itu dan tidak perlu menunggu sehingga Mat Zain membuat laporan polis mengenainya.

Tetapi jika itu yang disyaratkan oleh Menteri Dalam Negeri yang baru saja mendapat undi tertinggi dalam pemilihan Umno dan dilihat tegas sebelum ini, dan supaya tiada lagi alasan untuk melindungi Gani Patail, maka ada baiknya agar Mat zain segera membuat laporan dan lampirkan sekali akuan bersumpah yang dibuatnya.

Apa yang berlaku sekarang ini, nampak bahawa pelbagai alasan dan helah sedang dicari untuk tidak menyiasat Gani Patail ini walaupun hampir semua rakyat yang prihatin dan mempunyai akses kepada maklumat, sudah memperkatakan mengenainya.

Sudah pelbagai perkara diperkatakan oleh rakyat mengenainya tetapi dakwaan Mat Zain bahawa Gani menerima rasuah dalam sejumlah wang yang besar dipercaya beratus-ratus juta dalam kes kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura dan transaksi wang itu berlaku di Hong Kong adalah tuduhan paling serius dan melibatkan aspek pengkhianatan paling besar kepada negara.

Perlakuan itu tidak boleh diterima sama sekali oleh sesiapa pun yang waras dan jawapan Zahid bahawa kertas siasatan tidak dapat dibuka kerana tiada laporan polis bukan jawapan yang diharapkan rakyat. Ia juga bukan jawapan daripada seorang menteri yang bertanggungjawab tetapi lebih kepada jawapan untuk “mengelak” dan “mengelat”.

Daripada Ketua Polis Negara menolaknya kepada SPRM dan SPRM terus bisu, kini Zahid pula seperti berdalih dengan mengatakan akuan bersumpah bukan laporan polis, mungkin jika Najib mendapat ilham untuk membuka mulut dan bersuara pula selepas ini, jawapannya sudah boleh dijangka. Ia pasti tidak tergelincir daipada garisan mahu mempertahan dan melindungi Gani Patail.

Maka terbuktilah pepatah orang tua-tua, “hendak seribu daya, tak nak seribu dalih”, sentiasa benar sampai bila-bila pun. – shahbudindotcom.blogspot.com, 28 November, 2013.

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.