Home » All Post, Headlines, Johor, SAMM

Keluar Dari Kandang Harimau, Jangan Masuk Ke Kolam Buaya

Submitted by on January 30, 2014 – 10:02 PMNo Comment

SAMM_Johor

Kenyataan Umum
29 Januari 2014

Keluar Dari Kandang Harimau, Jangan Masuk Ke Kolam Buaya

Rakyat Malaysia terus dirundung malang apabila permainan politik yang tidak pernah berkesudahan di kala rakyat sedang tertekan dengan persoalan harga barangan tetapi pemimpin-pemimpin politik sibuk dan leka dengan urusan mengembungkan kocek sendiri, sapu projek, berebut kuasa dan kedudukan daripada berpenat lelah memikirkan kesejahteraan rakyat.

Tika Tahun Baru Cina sedang semakin hampir tiba, kita dapat melihat bagaimana suasana perayaan tahun baru ini agak tidak semeriah seperti tahun-tahun sebelumnya ekoran daripada tekanan sara hidup yang terus memuncak namun, pihak rejim Barisan Nasional terus-terusan menekan rakyat dengan segala potongan subsidi selepas meraih tampuk kuasa pasca PRU 13. Lebih menyakitkan hati, kepimpinan BN terus berlumba-lumba menunjukkan siapa lebih merapu dengan mengeluarkan kenyataan yang memperbodoh-bodohkan dan mempermainkan rakyat termasuk juga Perdana Menteri dengan kenyataan kangkungnya.

Satu pihak lagi yang kononnya merekalah yang lebih baik untuk mentadbir Negara ini daripada rejim BN nampaknya tidak sudah-sudah bertelagah sesama sendiri dan sibuk mencatur kedudukan kuasa. Pertembungan jerih perit rakyat tidak lagi menjadi kiblat mereka, slogan demi rakyat terus menjadi omongan dikala pilihanraya umum sebalik perebutan kuasa telah mula timbul dari nawaitu politikus yang tampak tidak ikhlas bersama rakyat.

Atas nama percaturan politik, kamu sanggup mengkhianati amanah rakyat. Rakyat telah membuat keputusan dengan memilih kamu untuk mentadbir tanahair ini dengan baik, bukannya untuk melihat sandiwara politik saban waktu. Belum pun habis setahun tempoh PRU 13, begitu banyak drama politik yang terpaksa rakyat tonton hinggakan kini sanggup mengetepikan amanah rakyat dengan mengosongkan kerusi ADUN yang menyebabkan Pilihanraya Kecil terpaksa diadakan.

Parti Keadilan Rakyat adalah sebuah parti yang selalu lantang bersuara menentang ketirisan wang Negara tetapi kali ini dengan sewenangnya menggunakan wang rakyat dengan memaksa berlakunya piliharaya kecil. Mengapa kantung rakyat perlu diperah sedangkan apa yang berlaku ini adalah merupakan kemelut dalaman parti kamu sendiri?

Sikap mengheret rakyat ke dalam percaturan politik kamu adalah sikap yang paling tidak bertanggungjawab yang kamu telah lakukan sebagai sebuah parti politik yang sibuk menjaja diri sendiri sebagai sebuah parti yang paling bertanggungjawab kepada rakyat. Kamu selalu berkata, zaman pemerintah tahu semuanya sudah berlalu. Nah, sekarang ini tindakan kamu seolah kamulah yang pandai segalanya. Apa yang kamu buat semuanya betul, rakyat tidak memahami, rakyat perlu ikut kata-kata kamu sahaja.

Sehubungan itu, Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor) dengan ini menyeru semua pengundi-pengundi DUN Kajang untuk memberi pengajaran kepada parti-parti politik yang tidak langsung mencerminkan kehendak dan naluri rakyat. Boikotlah pilihanraya kecil ini. Biar kita tunjukkan kepada politisi-politisi haprak ini bahawasanya mereka semua bukanlah siapa-siapa tanpa rakyat yang memberi mereka kuasa dan mengangkat mereka berada di kedudukan hari ini.

Tidak perlu risau dengan tindakan boikot ini. Kalah satu kerusi tidak akan menjejaskan status kerajaan negeri. Kiranya pemerintah kerajaan negeri itu sememangnya baik, tidak kira parti mana pun akan menang, kawasan itu akan tetap dibela dan dimajukan tanpa mengira fahaman politik.

Kini apa yang kita mahukan adalah untuk kita bersama-sama sebagai rakyat Malaysia menghantar mesej yang jelas bahawa rakyat sememangnya dahagakan perubahan ke arah yang lebih baik dan bukannya keluar dari kandang harimau tetapi termasuk pula ke dalam kolam buaya.

Penyelaras-Penyelaras Bersama
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor
SAMM Johor

*kenyataan ini telah dipersetujui bersama oleh semua Penyelaras-Penyelaras Bersama SAMM Johor

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.