Home » All Post, Headlines, Johor

Adakah Johor Akan Menjadi Seperti Fukushima dan Chernobyl?

Submitted by on September 30, 2014 – 9:14 AMNo Comment

Kenyataan Umum
29 September 2014

Adakah Johor Akan Menjadi Seperti Fukushima dan Chernobyl?

Awal minggu lepas, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor telah menerima satu set dokumen mengenai kajian pemilihan lokasi yang sesuai untuk pembinaan loji kuasa nuklear di Malaysia oleh Fakulti Sains, sebuah universiti awam tempatan.

Dapatan kertas kajian tersebut telah mendedahkan bahawa terdapat calon lokasi yang sesuai untuk pembinaan loji tenaga nuklear iaitu di pesisiran pantai timur Johor – sekitar persisiran pantai Mersing dan juga di pesisiran pantai barat Johor iaitu kawasan sekitar persisiran pantai dari Muar ke Batu Pahat.

SAMM Johor dengan tegas menolak sebarang projek loji tenaga nuklear dibina di negeri Johor. Apakah ada kewajaran untuk pembinaan loji ini sedangkan projek hidroelektrik Bakun masih lagi belum mencapai kapasiti sepenuhnya?

Tambahan pula, Kerajaan Persekutuan turut mempunyai perancangan untuk membina banyak lagi empangan hidroelektrik di Sarawak. Malah, semasa awal rancangan pembinaan Bakun lagi, Kerajaan memberikan alasan bahawa Bakun ini akan turut mampu menampung permintaan dari Semenanjung.

Di Johor juga akan turut dibina sebuah janakuasa elektrik baru di Pasir Gudang yang berkapasiti 1,400 megawatt. Jadi, apakah benar kesemua janakuasa elektrik ini tidak mampu menampung permintaan penggunaan elektrik sehinggakan kita terpaksa membina loji kuasa nuklear.

Sepatutnya, dengan pembinaan Bakun dan janakuasa elektrik sedia ada termasuk IPP ditambah dengan empangan di Baram dan di Pasir Gudang yang bakal dibina itu akan mampu untuk menampung permintaan penggunaan tenaga meliputi Semenanjung Malaysia dan Borneo.

Satu lagi perkara adalah TNB ketika ini mengenakan caj Tabung Amanah Tenaga Boleh Diperbaharui bagi membayar balik kepada pembekal tenaga solar sebagai insentif untuk menggalakkan lebih ramai pihak termasuk orang persendirian melabur dalam tenaga solar. Persoalannya, mengapa Kerajaan Pemerintah tidak memilih untuk mengupayakan sepenuhnya keistimewaan iklim khatulistiwa dengan menggalakkan penggunaan tenaga solar terlebih dahulu?

SAMM Johor juga melihat hasrat Kerajaan Pemerintah untuk membina loji nuklear ini sebenarnya lebih kepada kepentingan kewangan semata-mata. Projek ini akan memberikan peluang untuk syarikat-syarikat kapitalis kroni meraih laba yang besar.

Projek-projek baru begini yang masih tidak mempunyai duluan sebagai contoh, maka ia akan memberikan peluang yang mudah untuk kapitalis kroni ini membuat keuntungan. Jika membina IPP yang lain, ia akan menghadkan potensi mengaut keuntungan ekoran daripada telah ada banyak contoh duluan.

Sikap kepimpinan negara sedia ada ketika ini yang sering mengutamakan keuntungan kapitalis kroni dan suku-sakat sendiri, sentiasa sahaja memperjudikan untung nasib rakyat terbanyak, boleh memberikan impak yang negatif sama ada secara langsung atau tidak kepada rakyat sekiranya projek ini diteruskan.

Selain itu, Kita juga tidak harus memandang ringan akan impak-impak negatif yang mungkin akan terhasil terutamanya kemalangan radioaktif yang amat merbahaya.

Tragedi Chernobyl, Ukraine tahun 1986 dan tragedi Fukushima, Jepun tahun 2011 serta lain-lain tragedi kemalangan radioaktif dari loji tenaga nuklear tidak boleh dibenarkan untuk berulang kepada negara kita.

Satu persoalan yang perlu kita fikirkan adalah adakah kita mempunyai cukup pakar teknologi nuklear dan juga pasukan keselamatan dan pengurusan krisis yang terlatih seperti yang dimiliki Jepun dalam tragedi Fukushima sekiranya berlaku kemalangan radioaktif?

SAMM Johor akan memantau dengan teliti setiap perkembangan projek pembinaan loji kuasa nuklear ini. SAMM Johor juga menyeru parti-parti politik, wakil-wakil rakyat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya untuk turut sama memberikan tumpuan dan pemantauan penuh terhadap perkembangan projek ini.

Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras Bersama
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor

Fukushima

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.