Home » All Post, Headlines

Harapan Anak Muda SAMM Menjelang Bajet 2015

Submitted by on October 2, 2014 – 10:55 AMNo Comment

Harapan Anak Muda SAMM Menjelang Bajet 2015

Saat artikel ini ditulis, seluruh Malaysia sedang berpesta mengisi minyak kenderaan ekoran daripada pengumuman Kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi RON95 dan Diesel. Sememangnya saya ingin mengucapkan jutaan penghargaan kepada rejim Barisan Nasional kerana memudahkan saya untuk menyiapkan artikel ini. Ini adalah buah tangan pertama rejim kepada seluruh rakyat menjelang Belanjawan 2015 yang dijadualkan akan dibentangkan pada 10 Oktober 2014.

Zaman Pak Lah menjadi PM merangkap Menteri Kewangan dulu, rakyat didodoikan dengan janji penambahbaikan sistem pengangkutan awam apabila beliau mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 78 sen seliter. Namun, akhirnya pembelian bas Rapid untuk tujuan penambahbaikkan itu telah menjadi besi buruk kerana salah urus tadbir dan penipuan Kerajaan.

Dan kini, Najib Razak pula cuba mendodoikan kita dengan kemungkinan kenaikan BR1M bagi mewajarkan keputusan menaikkan harga minyak. Seperti biasa, rakyat Malaysia akan terus mengangguk bersetuju menjadi mangsa pembodohan total rejim pemerintah. Harus juga diingat bahawa Belanjawan kali ini adalah merupakan belanjawan terakhir sebelum rejim percukaian GST akan bermula.

Kebetulan tarikh pembentangan Belanjawan ini sama dengan hari kelahiran saya. Seperti kebiasaan, manusia akan mempunyai sedikit impian setiap kali hari kelahiran menjelang, begitulah juga saya. Cuma sedikit beda tahun ini, Birthday Wish saya adalah mengenai harapan dan impian anak muda menjelang Belanjawan 2015.

Kenaikan Mendadak Kos Sara Hidup

Suku kedua tahun 2014 telah menyaksikan peningkatan KDNK Negara kepada 6.4% dan ini menunjukkan seolah-olah ekonomi kita berada di landasan kukuh. Tetapi berapa ramai antara kita yang dapat merasai kesan positif pengukuhan ekonomi ini?

Keadaan kos sara hidup yang tinggi dan dengan pengumuman kenaikan harga minyak ini akan terus mendatangkan musibah kepada kos sara hidup rakyat. Tidak dapat disangkal, kenaikan harga minyak ini akan menyebabkan berlakunya kesan rantaian yang akan menyumbang kepada tenatnya kocek rakyat setiap bulan.

Maka, seharusnya Kerajaan menambahbaik sistem pemantauan harga barang terutama barang keperluan bagi mengelakkan manipulasi harga ekoran daripada kenaikan harga minyak. Pemantauan ini perlulah dilakukan pada setiap masa dan bukannya tertakluk menjelang perayaan sahaja. Selain itu, penetapan harga siling barangan juga perlulah munasabah bagi memberikan peluang pengguna menikmati kuasa beli mereka.

Kerajaan Persekutuan juga perlu menilai aspek monopoli industri yang berlaku dalam negara kita. Terutamanya dalam pemberian AP barang-barang makanan. Monopoli industri ini menyebabkan caj atau harga dinaikkan sesuka hati sehingga menindas pengguna ekoran tiada saingan daripada syarikat alternatif.

Jobstreet dalam satu kajiannya telah mendedahkan bagi siswazah yang baru mendapat pekerjaan dengan gaji bulanan sebanyak RM 2,500 akan bergelut untuk menangani kos sara hidup yang meningkat. Ramai antara anak muda menghabiskan hampir 60% pendapatan mereka untuk tujuan pembayaran pinjaman kereta, PTPTN dan kos minyak dan tol.

Ini tidak termasuk lagi dengan sewa rumah, perbelanjaan makan minum, telekomunikasi dan lain-lain. Lantas menyebabkan kuasa beli yang ada semakin mengecil. Dalam menangani keadaan kos sara hidup yang tinggi dan kuasa membeli yang mengecil, adalah sangat baik sekiranya pihak Kerajaan Pemerintah memikirkan semula kesesuaian kadar gaji minimum yang telah ditetapkan pada kadar RM900.

Peluang Pekerjaan dan Perniagaan

Kemasukan pekerja-pekerja asing ke Negara ini juga perlu sentiasa diperhalusi agar tidak menjejaskan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Satu mekanisme kadar caj kepada pekerja asing perlu diperkenalkan agar graduan-graduan muda dan anak muda tempatan yang lain mendapat ruang pekerjaan dalam industri-industri tempatan termasuklah makanan segera dan stesen minyak.

Selain itu, ramai anak muda sekarang ini memilih untuk menjalankan kerja-kerja sampingan seperti perniagaan online dan juga penjaja makanan kecil-kecilan untuk menambahkan pendapatan mereka. Belanjawan 2015 perlu memperkasakan insentif usahawan mikro ini sebagai sokongan terhadap usaha mereka itu. Seharusnya, agensi-agensi berkaitan keusahawaan ini disatukan semula seperti di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan satu ketika dahulu
.
Pengupayaan skim-skim kredit mikro yang menyediakan pinjaman mudah sehingga RM 10,000 tanpa penjamin melalui penubuhan satu institusi atau agensi kewangan yang memfokuskan kepada segmentasi pinjaman mikro juga boleh mempermudahkan anak-anak muda untuk menjalankan perniagaan berskala kecil.

Insentif Pendapatan Kepada Suri Rumah Sepenuh Masa

Bagi anak-anak muda yang baru berkahwin, dengan keadaan kos sara hidup yang meningkat, maka, tidak dapat tidak seorang isteri itu terpaksa bekerja untuk membantu suami meningkatkan pendapatan keluarga. Dari satu segi, ia bagus namun ia juga memberikan kesan kepada aspek pembangunan institusi keluarga.

Belanjawan kali ini perlu melihat kepada perspektif untuk menjadikan suri rumah sepenuh masa sebagai satu bentuk kerjaya professional pilihan wanita muda yang sudah berkahwin. Kerajaan patut berusaha ke arah menyediakan dana untuk membolehkan insentif dan elaun diberikan kepada wanita-wanita yang memilih suri rumah sebagai kerjaya pilihan mereka. Menjadi seorang suri rumah ini sebenarnya adalah tugas yang sangat mulia dan pastinya ia bukanlah mudah.

Malahan, tanggungjawab untuk membesarkan dan memberikan perhatian kepada anak-anak dan suami adalah merupakan satu pengorbanan setiap wanita kepada pembangunan modal insan, keluarga dan Negara. Maka, sudah pastilah ia harus menerima pengiktirafan dan insentif-insentif bagi membolehkan kaum wanita Negara kita merasa bangga untuk memilih menjadi suri rumah sepenuh masa.

Insentif-insentif lain seperti kupon barang keperluan setiap bulan untuk kumpulan isirumah berpendapatan rendah, kupon susu bayi dan kanak-kanak serta kupon makanan berkhasiat untuk ibu mengandung boleh diperkenalkan bagi meringankan beban anak muda yang baru meniti alam perkahwinan dan berkeluarga. Malahan juga, dengan pengenalan sistem insentif begini, akan turut dapat memastikan setiap keluarga dan anak-anak dapat menikmati makanan yang berkualiti dan bekhasiat tanpa ada diskriminasi kaya atau miskin.

Perumahan

Rumah merupakan satu keperluan yang paling asas dalam ketamadunan manusia. Namun begitu, industri perumahan Malaysia sering terperangkap dalam perang spekulasi harga sehingga menyaksikan peningkatan harga rumah. Berdasarkan kepada Knight Frank Global House Price Index, Malaysia berada di tangga ke 11 dunia dan tangga pertama di Asia dalam kenaikan harga rumah untuk tempoh 12 bulan. Jauh meninggalkan gergasi ekonomi Asia seperti China, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan dan Singapura.

Peningkatan harga rumah ini telah mengakibatkan ramai anak muda terperangkap dalam satu kelompok yang digelar sebagai “Middle Income Trap” dimana mereka tidak dibenarkan untuk membeli rumah mampu milik dan kos rendah ekoran daripada pendapatan mereka yang melebihi syarat yang ditetapkan namun dalam masa yang sama juga mereka tidak mampu untuk membeli rumah pada harga pasaran biasa.

Anak muda sangat mengharapkan agar pihak Kerajaan mula menjalin kerjasama dengan pemaju-pemaju perumahan untuk membina rumah-rumah mampu milik pada skala yang lebih besar. Contohnya, Kerajaan menyediakan tanah-tanah dan pemaju pula membina rumah. Kerajaan juga perlu memantau kenaikan harga bahan-bahan pembinaan. Ini akan membantu pemaju menjimatkan kos pembelian tanah dan bahan pembinaan dan boleh membantu menurunkan harga rumah.

Jika kita teruskan dengan dasar yang mensyaratkan pemaju untuk membina rumah mampu milik dan kos rendah, maka kesenjangan harga rumah ini akan menjadi semakin melebar. Kesenjangan ini terjadi apabila pemaju terpaksa mengalihkan kerugian kos pembinaan rumah mampu milik dan kos rendah kepada rumah-rumah jenis lain. Akhirnya akan menyebabkan kelompok “Middle Income Trap” ini terus tidak mampu untuk memiliki rumah. Dalam dunia pasaran bebas, tidak mungkin ada orang yang ingin berniaga untuk rugi. Dengan adanya jalinan kerjasama Kerajaan-Pemaju, semua pihak akan menikmati keuntungan.

Pendidikan

Dalam aspek pendidikan dan penyelidikan, Kerajaan Pemerintah perlu segera untuk tidak mencampuri urusan universiti. Pelajar dan pensyarah perlu bebas untuk berfikir, melahirkan pandangan dan membuat penyelidikan. Kita tidak boleh terus terperangkap dengan agenda membuat donut gergasi dan sebagainya.

Perubahan drastik pendidikan tinggi perlu dilakukan jika kita benar-benar mempunyai hasrat untuk menyediakan tenaga mahir menjelang 2020. Dana khas perlu diperuntukkan untuk memperkasakan penyelidikan dan menaikkan imej pendidikan dan penyelidikan universiti-universiti kita. Kerajaan Persekutuan juga perlu menambahbaik skim gaji bagi pensyarah dan penyelidik di universiti-universiti sejajar dengan tahap KPI yang tinggi sebagai galakan untuk mereka merintis semangat pelajar bagi melakukan penyelidikan yang bernas.

Kerajaan Pemerintah juga perlu memberikan tumpuan khusus kepada kegiatan penterjemahan buku-buku rujukan dan ilmiah kepada bahasa kebangsaan. Ini akan menambahkan sumber pustaka Negara dan merancakkan percambahan intelek anak Malaysia. Secara psikologinya, adalah mudah untuk sesuatu ilmu itu dipelajari jika ia menggunakan bahasa ibunda berbanding bahasa lain.

Jika kita lihat kepada Jepun dan Taiwan, kegiatan penterjemahan buku-buku, jurnal-jurnal dan bahan ilmiah ke dalam bahasa mereka telah memberikan impak positif kepada perkembangan intelek rakyat mereka dan akhirnya membuahkan kemajuan dan kejayaan melahirkan tenaga mahir yang ramai.

Aspek teknikal dan vokasional juga perlu terus diberdayakan. Institusi teknikal dan vokasional perlu lebih banyak diwujudkan bagi membantu kelompok anak muda lepasan SPM yang gagal menempatkan diri ke Universiti. Peruntukkan dan tenaga mengajar yang terlatih dan pakar dalam bidang masing-masing perlu ditempatkan di institut teknikal dan vokasional ini bagi tujuan melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam dua aspek ini.

Di peringkat sekolah juga, Kementerian perlu segera berhenti menjadikan pelajar-pelajar kita umpama tikus makmal. Diuji dengan eksperimen dasar-dasar separuh jalan yang akhirnya akan menyebabkan mereka menghadapi tekanan mental dan emosi. Setiap rancangan dasar pendidikan Negara perlulah diteliti sebelum ia mula digunapakai dalam sistem persekolahan Negara. Beban tugas dan skim gaji guru-guru juga memerlukan perhatian bagi memastikan setiap guru sentiasa berada pada tahap optimum dalam mengajar murid-murid.

Sahsiah dan Moral

Kerajaan perlu menanamkan kefahaman dan kesedaran utuh dalam diri setiap pelajar berkaitan aspek moral dan akhlak. Kedua-dua aspek pendidikan ini bukanlah satu subjek hafalan semata-mata sebaliknya ia harus difahami sepenuhnya. Kegagalan dan kealpaan kita dalam menjaga sahsiah muda mudi mungkin akan menyebabkan kita melahirkan dan mempunyai sumber modal insan yang terpesong sahsiahnya.

Tanpa ingin menafikan fitrah anak muda yang gemarkan hiburan, Kerajaan juga tidak harus berlepas tangan dengan membiarkan anak muda terperangkap dalam hiburan yang membawa kepada kebinasaan diri mereka. Keseriusan Kerajaan dalam memerangi dadah dan kebejatan sahsiah adalah sangat ditagih dengan membina kesedaran dalam diri anak muda berhubung perkara ini.

Kerajaan juga boleh mencari satu mekanisme atau mempelopori kesedaran masyarakat agar memudahkan perkahwinan. Ia adalah amat perlu bagi membendung gejala penzinaan, hamil di luar nikah dan pembuangan bayi. Insentif perkahwinan pertama seperti yang sedia ada perlu diperluaskan bagi mengelakkan anak muda terjerumus ke kancah ini.

Sukan

Ramai anak muda bergiat dalam aktiviti sukan namun tidak ramai yang memilih untuk menjadikan sukan sebagai kerjaya professional. Kerajaan Pemerintah perlu memainkan peranan untuk mempromosikan sukan sebagai kerjaya professional. Lebih banyak yayasan dan akademi-akademi sukan perlu ditubuhkan untuk bukan sahaja melatih pemain tetapi juga jurulatih-jurulatih kita.

Jalinan kerjasama dengan akademi-akademi sukan yang berjaya dari seluruh dunia juga perlu dirintis supaya Malaysia menjadi destinasi pilihan kewujudan akademi mereka di Asia agar perintis-perintis sukan Negara dapat dikenalpasti sejak di awal usia lagi. Ramai pemain-pemain sukan dunia yang memilih untuk menjadikan sukan sebagai kerjaya professional bermula seawal umur 5 tahun lagi. Di saat anak-anak kecil kita masih bermain poco-poco dan zumba di Tadika KEMAS, di dunia luar telah muncul bakal-bakal jutawan sukan di akademi-akademi sukan mereka.

Kebudayaan dan Seni-Kreatif

Aspek kebudayaan warisan Negara juga perlu diperkukuhkan. Warisan seperti tulisan jawi dan lain-lain budaya merupakan khazanah paling berharga dan unik untuk Negara kita. Usaha-usaha ini perlu dipertingkatkan dan diperluaskan ke peringkat yang lebih tinggi iaitu di peringkat universiti dan juga industri penulisan dan swasta. Dalam masa yang sama juga, bakat-bakat anak muda dalam industry kreatif moden seperti seni graffiti tidak patut dibantutkan dengan diklasifikasikan sebagai satu tindakan vandalisme.

Belanjawan 2015 diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang untuk anak muda bergiat dalam industry kreatif, kesenian dan kebudayaan. Anak-anak muda di luar Bandar dan pesisir Bandar perlulah diberikan lebih banyak ruang untuk terlibat dalam aktiviti multimedia dan seni kreatif untuk meneroka minat dan juga memberikan peluang kepada anak muda luar dan pesisir Bandar untuk turut serta dalam industri ini.

Tindakan progresif untuk mempromosikan sukan dan kesenian sebagai satu kerjaya professional adalah sangat penting bagi memastikan bakat-bakat istimewa Negara tidak terkubur dengan mentaliti “kejayaan itu diukur dengan Berjaya masuk universiti” yang kian membarah dalam masyarakat kita. Negara sangat kerugian jika tidak terus menggilap bakat-bakat sukan dan industri kreatif ini.

Malaysia sangat handal dalam membina struktur bangunan baru namun begitu kita kita kurang menitikberatkan soal pemuliharaan dan penjagaan. Banyak tempat-tempat tumpuan pelancong, bangunan-bangunan lama, pantai-pantai dan sungai-sungai terus terbiar. Dengan pemuliharaan dan penjagaan yang baik, akan memberikan kita lebih banyak kawasan tarikan pelancongan yang boleh memberikan impak ekonomi domestik di kawasan terbabit selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda.

Pertanian

Sektor pertanian juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi Negara terus mapan. Dengan mengurangkan kebergantungan import bahan makanan ini juga akan turut mengurangkan impak terhadap harga barang makanan Negara dan seterusnya dapat membantu mengekang kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

Kerajaan Persekutuan dicadangkan untuk memperkukuhkan agensi-agensi pertanian dan perladangan serta pemasaran hasil tani seperti FAMA dalam industry pertanian dan asas tani agar penyelarasan harga dapat diadakan selain daripada menghadapi cabaran manipulasi harga. Dengan peningkatan hasil pendapatan dalam industry pertanian ini akan dapat menarik minat anak muda untuk bekerja di sector pertanian dan perladangan.

Ketidaktentuan harga pasaran komoditi seperti getah dan kelapa sawit telah menjarakkan golongan muda dalam aspek ini. Bidang pertanian juga dianggap sebagai satu bidang yang tidak memberikan pulangan yang besar. Kementerian Pertanian dan Asas Tani perlu memainkan peranan yang progresif bagi menarik minat golongan muda untuk kembali berbudi kepada tanah.

Maka, Insentif dan subsidi hasil pertanian juga perlu diwujudkan dengan lebih banyak terutamanya untuk graduan yang terus memilih bidang pertanian selepas graduasi disamping mengekalkan kemudahan sedia ada sekarang termasuklah pinjaman mudah Agro Bank.

Penutup

Akhir sekali, aspek kesenjangan jurang pendapatan Negara yang kian melebar. Kerajaan Persekutuan perlu memberikan tumpuan penuh terhadap aspek ini. Kesenjangan pendapatan ini akhirnya akan memburukkan gejala rasuah. Satu formula berkesan perlu diperkenalkan agar masalah kesenjangan pendapatan ini dapat diselesaikan dengan tuntas. Kerajaan Persekutuan tidak boleh terus berada dalam keadaan penafian. Selagi kita tidak serius memerangi rasuah, Negara kita tidak akan dapat bergerak menjadi sebuah Negara maju. Adalah sangat dibimbangi dengan keadaan kesenjangan pendapatan yang kian melebar ini, anak muda juga akan turut terhimpit untuk melakukan rasuah ekoran daripada gaji yang diterima tidak dapat menampung perbelanjaan hidup seharian.

Regards,

Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor
Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Muar, Johor
Setiausaha Politik Kepada Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Bentayan, Johor

bajet 2015

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.