Home » All Post, Headlines

PTPTN : Dalil dan Tindakan Yang Sama Terhadap Hutang Kroni Berkepentingan

Submitted by on October 12, 2014 – 4:43 PMNo Comment

Kenyataan Media
13 Oktober 2014

PTPTN : Dalil dan Tindakan Yang Sama Terhadap Hutang Kroni Berkepentingan

Perdana Menteri dalam ucapan pembentangan Bajet2015 telah menuturkan bahawa roh seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab berhutang, waima dosa orang mati syahid pun diampuni, melainkan hutangnya. Ia dipetik daripada hadith riwayat Muslim dalam mengingatkan peminjam-peminjam PTPTN untuk mengambil iktibar dan membuat pembayaran balik.

Pemikir Kaum Muda SAMM (PKM SAMM) suka memperingatkan Perdana Menteri agar turut mengambil iktibar daripada hadith tersebut dalam mengurus-tadbir negara ini. Perdana Menteri tidak boleh sengaja melupakan bagaimana pentadbirannya telah melupuskan hutang berjumlah RM589 juta oleh Tan Sri Tajuddin Ramli daripada Pengurusan Danaharta Nasional Berhad.

Ini adalah satu contoh paling klasik bagaimana pihak Kerajaan Persekutuan memberikan layanan sungguh istimewa kepada kaum kapitalis kroni terpilih.

PKM SAMM ingin bertanya kepada Perdana Menteri, adakah hanya roh peminjam PTPTN sahaja yang akan tergantung-gantung tetapi kelompok kapitalis kroni terpilih ini tidak termasuk dalam golongan seperti diriwayatkan oleh Hadith tersebut?

Perdana Menteri dan kerajaan tidak patut mensasarkan kepada kelompok-kelompok rakyat biasa yang masih lagi bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dengan mempergunakan dalil-dalil dan hadith-hadith bagi tujuan mengutip hutang. Malahan, kelompok kapitalis kroni ini terus sahaja dibiarkan bebas berkeliaran walaupun mempunyai bebanan hutang ratusan juta ringgit.

Sangat menyakitkan hati rakyat, Kerajaan Persekutuan juga dengan sewenangnya menawarkan pelan pelupusan hutang atau pelan penstrukturan hutang termasuklah tawaran penstrukturan hutang kepada saudagar permaidani, Deepak Jaikishan. Ini satu lagi contoh layanan istimewa terhadap hutang kelompok kroni terpilih ini.

Kepada rakyat pula, kerajaan bertindak kejam apabila menawarkan ugutan CCRIS dan halangan imigrasi kepada peminjam PTPTN. Puluhan ribu lepasan universiti berdepan muflis apabila disenaraikan dalam sistem CCRIS.

Tambah pedih luka di hati rakyat, apabila kerap kali Kerajaan Persekutuan atas nama menjaga keberdayaan ekonomi, sering menggunakan pelan tindakan bail-out bagi menyelamatkan syarikat yang mempunyai kepentingan kroni dengan melupuskan berbilion ringgit. Tetapi dalam amsa sama, memilih untuk mempergunakan hadith untuk rakyat.

Mengapa tidak kerajaan mengemukakan penstrukturan semula buat semua peminjam PTPTN yang mempunyai masalah pembayaran? PKM SAMM mencadangkan penstrukturan semula pembayaran serendah RM50 sebulan dengan syarat tertentu contohnya tanggungan yang besar.

Dengan cara ini, setengah juta peminjam PTPTN mampu memulangkan jumlah yang besar setiap bulan, walaupun tempoh pembayaran menjangkau 30 tahun, biarlah asalkan pembayaran dibuat. PKM SAMM mengingatkan semula, pinjaman pendidikan tidak harus dijadikan sumber keuntungan mana-mana agensi, malah ia sepatutnya berbentuk biasiswa.

Asrul Nizam
Penyelidik Segmen
Pemikir Kaum Muda SAMM

ptptn

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.