Home » All Post, Headlines, SAMM

Penghapusan Subsidi Bahan Bakar Petrol Dan Diesel Adalah Rompakan Pasangan Bonnie & Clyde Malaysia

Submitted by on November 22, 2014 – 5:38 PMNo Comment

bonnie and clyde

Tulisan Umum
22 November 2014

Penghapusan Subsidi Bahan Bakar Petrol Dan Diesel Adalah Rompakan Pasangan Bonnie & Clyde Malaysia

Semasa zaman Great Depression di Amerika Syarikat dahulu muncul pasangan epik sang perompak iaitu Bonnie & Clyde. Kini di zaman moden juga muncul pasangan Bonnie & Clyde tetapi ia berlaku di negara tumpah darah kita iaitu pasangan Najib dan Rosmah. Ketika rakyat sedang tertekan dengan kesan kenaikan sara hidup, pasangan Najib dan Rosmah terus merompak subsidi rakyat tanpa rasa berdosa.

Rakyat Malaysia haruslah bersyukur dengan seikhlas-ikhlasnya. Penurunan harga minyak dunia kali ini telah diambil kesempatan dengan begitu licik oleh rejim Bonnie & Clyde Malaysia untuk merampas dan merompak subsidi bahan bakar minyak dari rakyat. Sememangnya tika inilah yang ditunggu-tunggu oleh rejim ini.

Secara umumnya, rompakan subsidi pada 1 Disember itu nanti tidaklah memberikan kesan besar kepada kehidupan rakyat ekoran harga bahan bakar dunia yang rendah dan juga nilai Ringgit yang sedikit kukuh berbanding Dolar Amerika ketika ini. Akan tetapi, jika di pertengahan tahun 2015 nanti berlaku lonjakan harga bahan bakar dunia, apakah rakyat sudah cukup bersedia untuk menerima kesannya nanti? Ditambah lagi dengan pengenalan GST pada bulan April 2015 nanti.

Pemikir Kaum Muda SAMM juga ingin mengemukakan persoalan berhubung dengan peruntukan subsidi diesel dan petrol yang telah dimasukkan ke dalam Bajet 2015. Bagaimanakah kerajaan akan memanfaatkan penjimatan subsidi tersebut? Ini perlu diperjelaskan oleh kerajaan.

Namun begitu, oleh kerana subsidi ini sememangnya telah dimasukkan dalam anggaran perbelanjaan 2015, apalah salahnya kerajaan terus memperuntukkan subsidi tersebut bagi tahun 2015 untuk membantu rakyat memperlahankan kesan kenaikan kos sara hidup dan GST yang akan memberikan impak kepada kesejahteraan kewangan rakyat. Sebelum ini pada tahun 2009, Kerajaan pernah menurunkan harga runcit minyak tanpa merompak subsidi.

Untuk catatan, pada 5 Jun 2008, Kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 76 sen berikutan harga pasaran minyak dunia yang begitu tinggi. Namun pada 22 Ogos 2008, Kerajaan yang sama juga telah mengumumkan penurunan harga runcit petrol dan diesel diantara 8 hingga 22 sen. 24 September 2008, penurunan lagi 10 sen bagi kedua-dua produk ini.

Berikutan harga minyak dunia yang terus menurun, bermula 15 Oktober 2008, harga minyak diturunkan lagi antara 10 dan 20 sen. Seterusnya pada 1 November 2008, harga petrol dan diesel terus diturunkan sebanyak 15 sen. Harga runcit petrol terus turun pada 18 November 2008, 3 Disember 2008 dan 16 Disember 2008. Ini menunjukkan bahawa jika harga minyak dunia terus turun, Kerajaan sebenarnya boleh untuk menurunkan harga sambil mengekalkan subsidi bahan bakar.

Keputusan rejim ini menunjukkan realiti sebenar falsafah pentadbiran Najib Razak ini. Subsidi petrol untuk rakyat sering dicemburui dan akhirnya dirompak di waktu siang manakala subsidi gas untuk pemain Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) terus dikekalkan. Kebajikan Ananda Krishnan, Syed Mokhtar Al-Bukhary, Francis Yeoh dan sebagainya terus ditatang hingga ada yang bergelar jutawan super hasil daripada meraih keuntungan berlipat kali ganda. TNB terus dipaksa membeli elektrik yang dijual oleh Kapitalis Tenaga ini. Dengan kos menjana elektrik yang lebih murah dapat dinikmati oleh IPP ini hasil daripada subsidi gas yang kerajaan Najib Razak berikan. Walhal lebihan elektrik (standby capacity) terpaksa ditanggung oleh TNB. Adakah Putrajaya masih waras ataupun sememangnya layak diberikan gelaran rejim Bonnie & Clyde?

Selain itu, Pemikir Kaum Muda SAMM juga berpandangan langkah merompak subsidi bahan bakar ini adalah merupakan satu usaha pintas rejim ini untuk mengurangkan defisit fiskal negara dan juga bagi mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi. Setelah pentadbiran Putrajaya gagal mengekang ketirisan yang begitu lama membarah, kegagalan urustadbir kewangan oleh Najib Razak dan juga falsafah pentadbiran mesra kapitalis inilah sebenarnya menjadi punca mengapa subsidi bahan bakar ini dihapuskan.

Namun begitu, Pemikir Kaum Muda SAMM tetap menyatakan kesyukuran dengan pengumuman Kerajaan Bonnie & Clyde ini yang akan membawa kepada penurunan harga minyak sebaik sahaja dilaksanakan pada 1 Disember nanti. PKM SAMM juga berharap harga minyak dunia akan kembali meningkat menjelang April 2015 supaya satu pesta jalanraya kebangkitan amarah rakyat akan dapat diadakan nanti.

Sekian

Ahmad Anwar Asyraf

Pengarah PKM SAMM

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.