Home » All Post, Headlines, SAMM

Putrajaya Perlu Segera Ambil Tindakan Terhadap Pendedahan Laporan Verite

Submitted by on November 23, 2014 – 5:40 PMNo Comment

elektronik

Kenyataan Umum
23 November 2014

Putrajaya Perlu Segera Ambil Tindakan Terhadap Pendedahan Laporan Verite

Laporan Kajian Forced Labor In The Production Of Electronic Goods in Malaysia yang dikeluarkan oleh Verite iaitu sebuah pertubuhan bukan Kerajaan yang menerima pembiayaan daripada Jabatan Tenagakerja Amerika Syarikat telah mendedahkan sisi kelemahan Malaysia dalam menjaga kebajikan tenaga kerja sektor elektronik.

Pemikir Kaum Muda SAMM memandang serius pendedahan bahawa 32% daripada daripada pekerja asing telah memberikan pandangan mereka di dalam kajian tersebut bahawa ketika ini mereka bekerja dalam suasana seperti buruh paksa. Malah, kajian tersebut juga menyatakan bahawa isu ini bukanlah satu isu terpencil sebaliknya sedang merebak ke banyak kilang-kilang elektronik.

Laporan tersebut juga mendedahkan 62% responden berdepan masalah berhubung dengan pasport mereka yang dipegang oleh majikan, 75% menyatakan mereka tidak boleh berhenti kerja sebelum tamat kontrak kerana mereka akan dikenakan denda yang sangat tinggi, kehilangan pasport atau diambil tindakan oleh pihak berkuasa, 30% pula menyatakan mereka dipaksa tinggal berkongsi di dalam sebuah bilik seramai 8 orang, 22% menyatakan mereka telah ditipu berhubung gaji, masa bekerja, dan syarat kerja lebih masa semasa proses memohon pekerjaan.

Pemikir Kaum Muda SAMM tidak terkejut dengan laporan ini memandangkan sebelum ini telah berlaku dua kejadian yang melibatkan pekerja asing iaitu rusuhan pekerja asing sebuah kilang di Kulaijaya, Johor ekoran daripada sikap majikan yang tidak menjaga kebajikan mereka malah menyuruh mereka bermain bola tampar menggunakan batu dan juga baru-baru ini di Gersik, Muar, Johor di mana seramai 265 orang pekerja asing dibiarkan kebuluran hampir 2 bulan ekoran ketidakmampuan majikan yang telah diisytiharkan bankrap untuk membayar gaji mereka.

Sikap angkuh majikan yang menindas pekerja asing ini dan juga respon yang perlahan daripada Putrajaya dalam kes contoh kedua membuktikan bahawa terdapat kepincangan dalam urustadbir pekerja asing di negara ini. Umum mengetahui setiap pekerja asing yang masuk ke negara ini dikenakan caj levi jadi sepatutnya caj ini dimasukkan ke dalam satu tabung peruntukkan yang dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah-masalah begini.

Lebih mendukacitakan 46% daripada pekerja asing ini menyatakan bahawa mereka pernah berhadapan dengan pegawai polis, imigresen atau organisasi keselamatan sukarela di mana majoriti daripada 46% ini telah memberikan rasuah, ditangkap atau diugut untuk ditangkap dan dicederakan.

Pemikir Kaum Muda SAMM sangat memandang serius dengan tuduhan ini dan jika ianya memang benar, ia adalah sesuatu yang sangat memalukan negara. Ini adalah satu bentuk tindakan pemerasan terhadap pekerja asing dan penyalahgunaan kuasa. Putrajaya perlu menyiasat perkara ini dan mengheret semua pelaku ke muka pengadilan.

Media-media terkemuka di Amerika Syarikat dan juga di serata dunia turut memaparkan berita mengenai ini dan telah pun memulakan kempen mendesak pentadbiran Rumah Putih untuk mengambil tindakan yang sangat tegas termasuklah menggantung perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat dalam industri elektronik termasuklah melarang perkakasan elektronik dan bahan membuat perkakasan elektronik dari Malaysia daripada memasuki negara mereka.

Kempen-kempen ini walaupun mungkin ditaja oleh pelobi-pelobi yang berkepentingan, namun ia tidak boleh dipandang mudah oleh Putrajaya. Jika Rumah Putih membuat keputusan seperti yang didesak oleh rakyat mereka, sudah pastilah ia akan memberikan kesan dahsyat kepada ekonomi negara kita termasuklah bakal menyebabkan pelabur-pelabur elektronik menutup dan memindahkan operasi kilang mereka ke negara lain. Ia juga akan memberikan kesan kepada pekerja tempatan yang berkemungkinan berhadapan dengan kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

Sehubungan itu, Pemikir Kaum Muda SAMM mendesak Putrajaya untuk mengambil langkah-langkah segera dan tuntas untuk memperbaiki keadaan ini. Dengan kewujudan laporan ini dan juga sebelum ini Jabatan Negara Amerika Syarikat telahpun menurunkan taraf Malaysia ke gred terendah dalam laporan tahunan mereka berhubung Pemerdagangan Manusia boleh menyebabkan masa depan negara kabur dan memberikan impak kurang baik kepada aspek kehadiran pelaburan asing serta ekonomi negara.

Putrajaya tidak lagi boleh cuai dan tidak responsif terhadap laporan-laporan negatif begini yang telah menjadi tajuk-tajuk berita dalam akhbar-akhbar dunia. Sama ada Putrajaya mengeluarkan data-data dan fakta-fakta yang sebenar dan membuat desakan agar Rumah Putih menarik balik semua laporan negatif ini atau pun melakukan penambahbaikan sebelum ianya berubah menjadi sebuah tragedi yang malang kepada tanahair ini hanya kerana kelemahan pentadbiran oleh Kerajaan Pemerintah.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.