Home » All Post, Headlines

PT3 Sukar Dapat A Tapi Peluang Lahirkan Modal Insan Berkualiti

Submitted by on December 23, 2014 – 11:34 AMNo Comment

PT3 Exam Tips

Kenyataan Umum
23 Disember 2014

PT3 Sukar Dapat A Tapi Peluang Lahirkan Modal Insan Berkualiti

Dunia ini cukup untuk keperluan manusia tetapi tidak cukup untuk ketamakan manusia. Saya memilih kata-kata Gandhi ini sebagai pemulaan artikel saya kali ini kerana ia agak bersesuaian untuk menggambarkan konteks artikel ini.

Semalam keputusan PT3 telah diumumkan dan ramai yang agak kecewa dengan keputusan yang diraih. Bukan sahaja pelajar malah ibu bapa juga. Lalu, meletuslah di laman-laman sosial akan ketidakpuashatian ini. Mengapa? Kerana selama bertahun-tahun masyarakat telah menerima satu konsep peperiksaan peringkat sekolah yang sangat mudah untuk mendapatkan gred A.

Dan tiba-tiba PT3 telah mematikan angan-angan jalan mudah ini seperti PMR sebelum ini. PT3 tidak lagi melahirkan deretan pelajar “Straight A’s”. Sangat sedikit jumlahnya walaupun bersekolah di SBP terkenal atau MRSM.

Sebelum saya menulis artikel ini, saya telah mendengar komentar daripada ramai guru-guru berkaitan perkara ini. Saya amat tertarik dengan 3 perkara dalam PT3 ini seperti berikut :-

1. Struktur soalan subjektif yang menyediakan “open response”, berbanding struktur soalan objektif yang menyediakan “multiple choice response” dalam PMR.

Struktur begini akan membuka lebih ruang kepada pelajar untuk menghadam aspek kemahiran berfikir dengan kritis berbanding soalan objektif. Pelajar tidak lagi sekadar menghafal sukatan pelajaran tetapi juga perlu memahami dengan tuntas supaya mereka dapat menulis jawapan dengan baik dalam peperiksaan.

2. Tahap kesukaran yang berbeza iaitu 3:4:3 (rendah:sederhana:tinggi) dengan elemen KBAT, berbanding 5:3:2 dalam PMR.

Apabila Kementerian mengambil pendekatan untuk memberi tumpuan kepada tahap kesukaran yang sederhana dan tinggi, ia adalah asas untuk kita mempersiapkan modal insan yang berkualiti selain daripada lebih menyerlahkan kemampuan pelajar kerana semua soalan adalah subjektif yang dilengkapi dengan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.

3. Penggredan yang mengikut “standard setting” berbanding “standard fixing” yang diamalkan di dalam PMR. “Standard Setting”, sebagai contoh, bermaksud gred A telah ditetapkan pada markah 80 ke atas manakala “Standard Fixing” pula, gred A boleh ditetapkan mengikut keseluruhan calon(norm-reference), trend pencapaian dan kriteria.

Apabila markah dan gred telah ditetapkan sejak dari awal dan tidak diubah mengikut keadaan, maka sebenarnya kita sedang berada di landasan yang kukuh untuk melahirkan manusia gred A yang sebenarnya. Bukan lagi sekadar melahirkan manusia gred A di atas kertas semata-mata. Biarpun kuantiti Gred A ini sedikit berbanding PMR namun realitinya mereka-mereka ini memang mempunyai merit untuk mendapat A dalam satu-satu matapelajaran.

Apa pun, pentaksiran PT3 ini bukanlah pengakhiran kepada masa depan pelajar. Sebaliknya, ia perlu dipandang positif untuk mempertingkatkan motivasi pelajar bagi meraih keputusan yang lebih cemerlang di dalam SPM dan diperingkat lebih tinggi nanti.

Realitinya, tidak semua pelajar yang mendapat deretan A di dalam PMR mampu menggapai deretan A juga di dalam SPM dan terus menggondol “4 flat” CGPA diperingkat Universiti.

Masyarakat tidak perlu gusar. Tidak semua orang yang berjaya dan menjadi kaya raya dengan hanya menjadi jurutera, saintis, dan doktor. Ada juga yang berjaya dengan menjadi seniman, penulis novel, peguam, akauntan, peniaga, ahli sukan dan sebagainya.

Sama ada kita mahu modal insan yang berkualiti atau tidak, kitalah yang mencorakkan. Dan dunia ini tidak akan pernah cukup untuk manusia yang tamakkan A dalam peperiksaan.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.