Home » All Post

Hentikan Penderaan, Sayangi Anak Kita

Submitted by on January 22, 2015 – 12:47 PMNo Comment

logo samm

Tulisan Umum
22 Januari 2015

Hentikan Penderaan, Sayangi Anak Kita

Penderaan kanak-kanak bermaksud dera ataupun satu perbuatan zalim yang dilakukan kepada golongan kanak-kanak. Biasanya ditakrifkan kepada mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun. Penderaan kanak-kanak dikategorikan sebagai penderaan fizikal, penderaan mental dan penderaan seksual. Sepanjang tahun 2014, Malaysia telah dikejutkan dengan 3 kes besar penderaan kanak-kanak.

Mac 2014 seorang kanak-kanak yang didera oleh ibu kandung dan teman lelakinya hingga menyebabkan pendarahan otak dan akhirnya meninggal dunia. Jun 2014, semua pasti masih ingat kisah remaja OKU yang diabaikan oleh ibunya. November 2014, seorang kanak-kanak berusia setahun meninggal dunia kerana kecederaan parah di kepala ekoran di dera oleh bapanya. Minggu ini kita dikejutkan lagi dengan kes seorang murid tahun satu yang ketika ditemui berada dalam keadaan kurus, lemah dan tidak bermaya kerana dikurung di dalam bilik berkunci.

Sebagai nota, tulisan saya kali ini tidak memfokuskan kepada penderaan yang dilakukan oleh pengasuh tetapi lebih kepada ibu bapa sendiri.  Tanpa menafikan sebab musabab yang lain, saya ingin memfokuskan perhatian kepada pengurusan emosi oleh ibu bapa yang tidak stabil yang akhirnya memangsakan anak-anak mereka. Mengapa kebelakangan ini kelihatan seolah-olah ramai ibu bapa dalam negara ini tidak dapat menguruskan emosi mereka dengan baik?

Saya merasakan pengurusan emosi dan kecenderungan mendera ini mempunyai pertalian rapat dengan tekanan-tekanan dalam kehidupan harian. Marcapada ini dikala situasi ekonomi yang sedikit perlahan dan bebanan kos sara hidup yang meningkat tinggi, ramai ibu bapa tidak mempunyai banyak pilihan selain terpaksa bekerja dan terus bekerja. Akibat daripada tekanan dan kepenatan yang dihadapi semasa di tempat kerja, akhirnya membuatkan ibu bapa cenderung untuk mendera anak-anak mereka sebagai tempat melepaskan tekanan dan kemarahan. Seseorang akan melakukan apa sahaja apabila emosinya tidak dapat dikawal lagi.

Selain itu juga, tekanan kewangan (financial stress) yang dihadapi oleh keluarga turut memainkan peranan dalam melahirkan kecenderungan mendera kanak-kanak. Kesan kos sara hidup yang meningkat drastik telah menyebabkan ramai orang dewasa berhutang demi memastikan kelangsungan hidup terutamanya golongan yang berkeluarga. Tekanan kewangan yang memuncak yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak mereka. Tekanan akibat ketidakmampuan untuk memenuhi permintaan anak-anak telah dihalakan kepada tindakan keras dan terkeluar daripada norma manusia yang rasional dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara perlu dirombak dan dikaji semula. Sungguhpun terdapat 11 strategi yang digariskan di dalam dasar tersebut namun saya merasakan ia bukan satu dasar yang menyeluruh. Sebaliknya, ia hanyalah satu pelan strategi yang menyentuh permukaan masalah sahaja. Dasar Perlindungan ini perlulah merawat permasalahan sehingga ke akar umbi. Tidak cukup dengan kempen kesedaran, tindakan advokasi dan kaunseling sahaja.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sepatutnya menjadi sebuah Kementerian yang lebih vokal dalam mendesak kabinet untuk mengambil tindakan proaktif dalam memastikan rakyat di luar sana tidak terus hidup dalam ketegangan di tempat pekerjaan dan tekanan kewangan. Kementerian seharusnya menjadi suara pendesak yang ampuh untuk mendidik anggota kabinet dalam perkara ini. Tidak guna jika kita membuat undang-undang dan melaksanakan denda tetapi kita tidak mencegah perkara ini sedari awal.

Kanak-kanak adalah anugerah Tuhan yang indah kepada ibu bapa. Jika mereka melakukan kesalahan, ibu bapa harus memahami dan menegur mereka dengan cara yang penuh hikmah. Bukan mendera hingga mendatangkan kecederaan apa lagi kematian.

Kanak-kanak perlukan kasih sayang dan tempat untuk mengadu. Kanak-kanak tidak bersalah dan tidak tahu apa-apa. Mereka tidak berdosa. Mereka hanya mahu hidup seperti orang lain yang mempunyai keluarga yang menyayangi mereka. Mendera kanak-kanak akan menjejaskan kitaran masa depan mereka.

Saya merayu kepada semua anggota masyarakat agar sayangilah zuriat kita dan hentikan penderaan terhadap kanak-kanak. Saya juga merayu kepada Kerajaan untuk kembali memikirkan keburukan demi keburukan yang akan timbul ekoran daripada keengganan dan sikap penafian Kerajaan dalam berhadapan dengan situasi kelembapan ekonomi dan kos sara hidup yang memuncak.

Sayangilah Anak Kita

Young Syefura Othman
Penyelaras Segmentasi Wanita Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.