Home » All Post

The Sirul Supremacy

Submitted by on January 15, 2015 – 1:14 PMNo Comment

sirul

Tulisan Umum
15 Januari 2015

The Sirul Supremacy

Saya mengikuti kisah pembunuhan Altantuya ini semenjak daripada hari pertama kisah ini tersebar. Kisah berprofail tinggi selepas Mona Fandey sudah tentu akan menarik perhatian saya.

Lebih saya teruja apabila semasa pendengaran keputusan oleh Mahkamah Persekutuan, seorang daripada tertuduh Sirul Azhar tidak muncul sehingga keputusan gantung sampai mati dijatuhkan terhadapnya dan Azilah.

Saya terfikir ke mana pula perginya Sirul ini? Lantas sel-sel otak saya mula bergerak memikirkan beberapa persoalan.

Persoalan pertama, bagaimanakah boleh terjadi seolah-olah semua pihak daripada peguam sehinggalah pihak Polis tidak mengetahui Sirul berada di mana?

Persoalan kedua, mengapa pihak Kerajaan atau Pendakwaraya tidak meminta Mahkamah untuk menahan passportnya bagi mengelakkan Sirul lari ke luar negara? Ini kes berprofail tinggi dan sebelum-sebelum ini ia telah menggamit perhatian antarabangsa.

Persoalan ketiga, adakah logik Sirul memberikan alasan tidak mempunyai kewangan yang cukup? Jika benar pun, seharusnya dia memberitahu peguamnya akan masalah kewangannya.

Malam semalam, saya meluangkan masa untuk merehatkan diri dengan menonton siri sekuel Jason Bourne. Lalu, saya berimaginasi sendiri. Saya meletakkan Sirul sebagai Jason Bourne.

Sirul adalah seorang pegawai Polis Elit atau di Malaysia kita panggil Unit Tindakan Khas.  Apatah lagi jika kita lihat fakta kes ini, Sirul ditahan di Islamabad. Apa yang Sirul buat di sana? Rupanya sewaktu tangkapan, Sirul sedang bertugas menjaga keselamatan Perdana Menteri yang berada di Pakistan.

Tidak mungkin sebagai seorang pegawai keselamatan PM, dia tidak mempunyai kepakaran dan kehandalan seperti Matt Damon dalam siri sekuel itu.

Silap-silap haribulan, pemergian Sirul ke Australia itu telah dirancangnya lama semasa kes ini sedang berjalan di mahkamah tinggi lagi. Mungkin Sirul sengaja memilih Australia sebagai destinasi kerana maklum mengenai sikap Australia dalam soal hukuman gantung sampai mati ini.

Jika saya menjadi Sirul pun saya akan melarikan diri ke Australia daripada duduk menanti hukuman yang amat pasti akan merenggut nyawa sendiri. Sama ada Australia akan mengekstradisi atau tidak, saya akan serahkan pada nasib.

Dan akhirnya, perjudian Sirul itu berhasil. Kerajaan Australia mengumumkan tidak akan menghantar Sirul pulang. Nampak seolah-olah skrip Sirul sedang berlaku dengan amat baik ketika ini.

Apa akan jadi kepada Sirul selepas ini, itu adalah teka-teki. Sama ada dia akan menjadi Jason Bourne tidaklah diketahui. Apa yang saya pasti, hidup Sirul sudah tidak akan sama seperti sebelum ini kerana saya yakin, selagi Sirul tidak ke tali gantung, selagi itu ada pihak yang merasa cemas. Seolah-olah hayatnya kini dalam genggaman Sirul.

Persoalan-persoalan bagaimana Sirul boleh terlepas lari perlu dijawab oleh pihak berkuasa negara. Saya sudah amat malas untuk menulis mengenai kelekehan kita menjaga pintu keluar masuk negara. Sudah beribu perkataan saya tulis mengenai hal ini.

Kerajaan Malaysia harus memperjelaskan Mengapa Sirul Boleh Dibiarkan Berkeliaran Sebebas-Bebasnya.

ComradeAAA

Tulisan Umum
15 Januari 2015

Berinteraksilah Untuk Membuktikan Islam Itu Adil Untuk Semua

Menegur pengurusan institusi agama adalah satu perkara yang taboo dalam masyarakat Melayu Muslim. Tambah buruk akhir-akhir ini telah wujud satu rekayasa yang mengklasifikasikannya sebagai menghina Islam.

Orang Melayu Muslim tidak perlu menjadi begitu naif. Kritikan atau teguran itu dilontar supaya pengurusan institusi agama itu dapat melihat kelemahan dan kesilapan mereka. Kita bukan menghina agama kita tetapi kita mahu kelemahan ini diperbaiki.

Sementara itu, pihak institusi agama ini janganlah sewenangnya melabelkan teguran dan kritikan sebagai agenda liberal, pluralism dan kristianisasi. Sebaliknya ambil sikap berlapang dada dan terbuka untuk menerima teguran dan kritikan.

Saya memahami akan Islam menganjurkan teguran diberi dalam keadaan tertutup namun  apabila tindakan yang diambil bersifat “double standard” dan kemudiannya menutup semua ruang perbincangan ilmiah, maka akan kedengaranlah suara-suara di media sosial mempersoalkan institusi ini.

Sebagai contoh dalam kes gadis K-Pop baru-baru ini, Penguatkuasa agama begitu cekap dalam mengikuti suruhan Amal Makruf Nahi Mungkar apabila rakyat biasa melakukan kemungkaran tetapi membisu seribu bahasa apabila VIP melakukannya. Tidakkah kamu memahami maksud “menjual agama” di dalam ayat 9 surah at-Taubah?

Tafsir Jalalain, Tafsir al-Qurtubi dan Tafsir Ibn Kathir telah merujuk ungkapan menjual agama itu kepada Kumpulan ahli agama atau mana-mana umat Islam yang menghalalkan yang haram demi menjaga gaji, status dan kedudukan mereka.

Memutarbelitkan kebenaran kerana mempertahankan kebatilan, dan kumpulan ahli agama atau mana-mana umat Islam yang menyembunyikan kebenaran daripada disampaikan kerana menjaga pangkat dan kedudukan mereka atau mencari keredaan majikan atau pemerintah.

Tidak mungkin kamu tidak mengetahui perkara ini dan mengapa kamu hanya mengambil tindakan terpilih, hanya Allah dan diri kamu sahaja yang tahu. Tidak mungkin dosa kemungkaran itu hanya terpakai kepada rakyat biasa bukannya selebriti atau mereka yang berkuasa.

Begitu juga dalam urusan agihan bantuan zakat dan sebagainya, kerenah birokrasi dan prosedur yang sulit hingga kadangkala menyusahkan pemohon. Apa kita tidak boleh menegur perkara ini?

Komentar Bukan Islam terhadap institusi-institusi ini juga jangan ditempuhi dengan sikap ego, tuduh menuduh dan berselindung di sebalik akta sekular yang drakonian. Hadapinya dengan hikmah perbahasan yang akhirnya akan menunjukkan ketinggian akal ilmuwan Islam dan juga syiar Islam.

Ancaman, intimidasi, ugutan, label melabel, berselindung di sebalik akta sekular yang drakonian tidak akan membawa watak baik kepada Islam. Sebaliknya akan terus menghakis imej Rahmatan Lil ‘Alamin dalam gelombang Islamophobia.

Sudah sampainya masanya orang Muslim Malaysia membuka kotak pandora. Berhadapan dengan kelambu taboo ini yang sering bermain dalam kehidupan kita. Kita ingin maju ke depan. Kita ingin Islam dipandang tinggi.

Teguran dan kritikan tidak akan mencacatkan Melayu dan Islam. Tiada ruginya kita tidak berwatak Holier-Than-Thou. Tiada ruginya kita berhujah dan berbahas secara hikmah.

Resmi manusia kita jarang dapat melihat kelemahan dan kesilapan sendiri. Teguran dan kritikan dari orang lain sebenarnya adalah kunci untuk kita menjadi lebih baik.

Mana mungkin kita menjadi seorang pemimpin jika kita tidak mampu berinteraksi untuk membuktikan Islam itu adil untuk semua dan rahmat buat sekalian alam.

ComradeAAA

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.