Penahanan Saudara Arul Adalah Tindakan Selektif PDRM
Kenyataan Umum
20 Februari 2015
Penahanan Saudara Arul Adalah Tindakan Selektif PDRM
Saudara S. Arutchelvan (Arul PSM), Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia ketika ini telah ditahan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia kerana telah mengeluarkan komentar berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman bersalah terhadap Anwar Ibrahim. Saudara Arul dikatakan cuba menimbulkan kebencian terhadap institusi pentadbiran Keadilan di Malaysia.
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyifatkan tindakan penahanan ini adalah satu lagi tindakan yang sangat selektif dan hanya mensasarkan kepada pemain politik oposisi yang tidak sehaluan dengan Rejim Pemerintah setelah sebelum ini kartunis Zunar juga ditahan hanya kerana lakaran kartun yang sinis terhadap keputusan mahkamah tersebut.
SAMM sekadar ingin mengemukakan persoalan kepada Ketua Polis Negara dan PDRM, bagaimana pula dengan kes Ibrahim Ali dan Ismail Sabri yang jelas mengancam keharmonian masyarakat dan juga satu cubaan menimbulkan ugutan dan ketakutan terhadap masyarakat umum. Kedua-dua kenyataan oleh dua pemimpin pro-rejim Pemerintah ini nampaknya telah didiamkan oleh pihak PDRM.
PDRM sedaya upaya cuba untuk mengekalkan status mereka sebagai aparat rejim Pemerintah bukannya sebuah institusi penguatkuasa undang-undang yang bebas, berdaulat dan berintegriti. Tahniah kepada PDRM yang kekal mengikut telunjuk tuan-tuan politik mereka dan bukannya menjaga kepentingan dan kemaslahatan rakyat umum.
Rejim Pemerintah telah pun memusatkan seluruh kekuatan termasuklah menggunakan media massa dan Shafee Abdullah untuk terus menyerang Anwar Ibrahim sehingga kini. Sekarang mengapa pula melakukan tindakan intimidasi dan siri tangkapan yang bertujuan untuk mendiamkan kritikan sinis terhadap mereka. Apakah yang perlu ditakutkan oleh Rejim Pemerintah jika mereka sememangnya di pihak yang benar? Rakyat pastinya dapat menilai dengan rasional pihak manakah yang sedang memperjuangkan kebenaran hakiki.
Sehubungan itu, SAMM mendesak agar Saudara Arul dibebaskan dengan kadar yang segera. SAMM mengambil kesempatan untuk menyatakan sokongan dan solidariti kami kepada Saudara Arul, Saudara Zunar dan semua rakan-rakan yang telah menjadi mangsa tindakan selektif dan tidak adil oleh aparat rejim pemerintah ini.
Mohd Sani Bin Mohd Shah
Penyelaras Kebangsaan
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)