Home » All Post, Headlines, SAMM

Parlimen Malaysia Memerlukan Pembaharuan Radikal

Submitted by on April 11, 2015 – 10:10 AMNo Comment

Tulisan Umum
11 April 2015

Parlimen Malaysia Memerlukan Pembaharuan Radikal

Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ketiga Belas telah mengukir sejarah apabila Parlimen terpaksa bersidang sehingga lewat malam selama 3 hari. Lebih bersejarah pada hari terakhir, Parlimen telah bermesyuarat sehingga jam 4.30 pagi apabila Pemerintah begitu tergesa-gesa untuk meluluskan kesemua Rang Undang-Undang dalam sesi kali ini.

Setelah melihat kepada perjalanan sesi Parlimen kali ini lantas membuahkan fikiran betapa sistem legislatif kita ini sebenarnya memerlukan satu tindakan pembaharuan yang radikal. Parlimen perlu menjadi sebuah institusi yang berdiri atas kakinya sendiri, bukan mengikut telunjuk Pemerintah atau “Rubber Stamp” semata-mata.

Pembaharuan 1 : Mengkaji semula kesesuaian Peraturan Mesyuarat 90(2)

Tempoh masa mesyuarat yang amat panjang sehingga jam 4.30 pagi bukanlah satu perkara yang baik. Apa yang sebenarnya ingin kita tunjukkan kepada dunia dengan gambar-gambar Ahli Parlimen yang tertidur di dalam Dewan Rakyat? Tidak masuk akal, kita memaksa Ahli Parlimen untuk bermesyuarat pada waktu tidur.

Seperti juga pekerjaan lain, bekerja berbelas-belas jam belum tentu menjamin kualiti kerja yang baik. Begitu juga dengan perbahasan di Parlimen. Lebih merisaukan apabila perbahasan tidak dijalankan dengan tuntas kerana kemungkinan Ahli Parlimen keletihan bermesyuarat sehingga 12-13 jam. Tugas seorang Ahli Parlimen adalah untuk membuat Rang Undang-Undang yang akan memberikan impak langsung dan tidak langsung kepada kehidupan seharian setiap warga.

Maka, Jawatankuasa Pilihan Parlimen berhubung Peraturan Mesyuarat perlu melihat perkara ini dengan serius. Peraturan Mesyuarat 90(2) yang membenarkan Speaker untuk menghentikan masa tepat jam 11.59 malam bagi tujuan untuk menyambung perbahasan dilihat bukanlah satu pilihan yang produktif.

Jawatankuasa Pilihan Parlimen berhubung Peraturan Mesyuarat perlu membuat pertimbangan sama ada untuk mengeluarkan peruntukan ini atau meletakkan beberapa syarat yang ketat. Ini adalah penting unruk mengelakkan ia menjadi satu instrumen Pemerintah bagi meluluskan Rang Undang-Undang secara semberono.

Jika mahu diteruskan 90(2) ini perlulah dimasukkan syarat, Speaker boleh menghentikan masa Dewan Rakyat bagi tujuan meluluskan Rang Undang-Undang yang berkepentingan umum dan mendesak. Sebagai contoh, Rang Undang-Undang Perbekalan Tahunan kerana ia merupakan satu dokumen penting yang melibatkan dasar-dasar fiskal negara bagi satu-satu tahun.

Namun begitu, Pemikir Kaum Muda SAMM tetap tidak bersetuju jika Parlimen terus bermesyuarat melebihi waktu tengah malam walaupun untuk meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahunan. Speaker sepatutnya menggunakan budi bicara dan kebijaksanaannya untuk menambah hari mesyuarat sekiranya telah berpuas hati dengan permintaan Pemerintah bahawa kesemua Rang Undang-Undang yang dibentangkan di dalam sesi mesyuarat tersebut perlu diluluskan di dalam sesi yang sama.

Pembaharuan 2 : Perbahasan Rang Undang-Undang

Apabila sesuatu Rang Undang-Undang dibentangkan untuk perbahasan, ia akan melalui proses Bacaan Kali Pertama iaitu, pembentangan oleh Menteri bertanggungjawab, Bacaan Kali Kedua iaitu, perbahasan peringkat dasar dan Bacaan Kali Ketiga iaitu perbahasan peringkat jawatankuasa.

Dalam bacaan pertama, ia merupakan suatu peringkat formaliti. Dalam peringkat bacaan pertama ini, Menteri yang mendrafkan rang undang-undang tersebut akan membacakan tajuk bagi Rang Undang-Undang tersebut. Pada peringkat ini, masih tiada lagi perbahasan tetapi ia hanyalah merupakan sesi pengenalan sahaja

Bacaan Kali Kedua adalah menyentuh mengenai isu-isu dasar sesuatu Rang Undang-Undang. Pada peringkat ini, Rang Undang-Undang akan dibahaskan dengan mendalam dan menyeluruh oleh Ahli-Ahli Dewan. Menteri yang mendraf Rang Undang-Undang bertanggungjawab dalam menjawab semua soalan yang diajukan oleh Ahli Dewan tentang Rang Undang-Undang tersebut. Sebelum undian dibuat sama ada menggunakan cara undi suara atau pun belah bahagian. Bacaan kali kedua melibatkan keseluruhan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Bacaan Kali Ketiga pula adalah lebih bersifat teknikal dan terperinci. Perbahasan dilakukan mengikut klausa-klausa yang terdapat di dalam Rang Undang-Undang tersebut. Peringkat ini memerlukan satu kajian pembaharuan. Parlimen seharusnya menjalankan perbahasan ini melalui Jawatankuasa Khas tanpa melibatkan keseluruhan Ahli-Ahli Dewan. Ia boleh dibuat melalui perbahasan di dalam kamar-kamar yang lebih kecil.

Setiap parti politik yang mempunyai wakil di dalam Parlimen perlu melantik Ahli-Ahli Dewan mewakili mereka ke peringkat ini, berdasarkan nisbah tertentu mengikut kerusi yang dimiliki oleh sesebuah parti. Hanya Ahli-Ahli Dewan yang memiliki kepakaran tertentu dalam Rang Undang-Undang tersebut sahaja yang perlu menyertai perbahasan peringkat ini. Maka, ini akan menjimatkan masa Ahli-Ahli Dewan selain daripada memberikan ruang perbahasan ilmiah berlangsung.

Pembaharuan 3 : Undi Belah Bahagian Dibuat Secara Rahsia

Ketika ini, undi belah bahagian Rang Undang-Undang tidak dilakukan secara rahsia. Setiausaha Dewan Rakyat akan mengeluarkan keputusan undi belah bahagian mengikut senarai nama Ahli Dewan dan ditandakan menyokong atau menolak. Dalam keadaan sistem Whip Parlimen sekarang ini, tidak mungkin Ahli-Ahli Dewan mempunyai kebebasan untuk mengundi mengikut kebijaksanaan mereka. Semuanya akan tertakluk kepada kehendak Parti yang diwakili mereka.

Apabila undi belah bahagian dibuat secara rahsia, ini akan mengurangkan kuasa Whip. Whip tidak lagi boleh mengawal Ahli-Ahli Dewan seperti sekarang ini. Selain itu, pihak Pemerintah juga perlu lebih berhati-hati untuk membentangkan sesuatu Rang Undang-Undang kerana mereka tidak lagi mempunyai kuasa untuk memastikan sokongan blok penyokong Kerajaan. Kebarangkalian untuk Ahli-Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan menolak Rang Undang-Undang lebih tinggi berbanding menggunakan sistem undi ketika ini.

Selain itu juga, sistem undi rahsia juga akan menyebabkan Menteri mempunyai lebih rasa bertanggunjawab untuk memberikan jawapan yang jelas kepada setiap persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Dewan. Ini kerana, waktu perbahasan dan jawapan Menteri adalah ruang untuk Menteri melobi agar Rang Undang-Undang ini mendapatkan sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan. Jika Menteri bersikap sambil lewa seperti yang berlaku sekarang, maka sudah pastilah Rang Undang-Undang berdepan jalan yang sukar untuk diluluskan memandangkan tidak ada mana-mana pihak yang dapat mengawal tindak tanduk dan keputusan Ahli-Ahli Dewan.

Setiausaha Dewan juga hanya perlu mengeluarkan senarai nama Ahli Dewan yang mengambil bahagian dalam pengundian belah bahagian dan keputusan undi tanpa perlu meletakkan senarai nama Ahli Parlimen yang menyokong atau menolak.

Parlimen Malaysia memerlukan satu pendekatan pembaharuan untuk memastikan Parlimen Malaysia mencapai status Parlimen Bertaraf Dunia. Pembaharuan bukan sekadar segi fizikal yang melibatkan penaiktarafan bangunan, imej dan laman web. Pembaharuan juga bukan sekadar bermaksud menaikkan saraan Ahli Dewan sahaja.

Tetapi, ia memerlukan pembaharuan dari segi amalan dan tradisi perjalanan mesyuarat Dewan. Pembaharuan radikal Parlimen Malaysia akan mampu membawa keseimbangan kuasa di antara Parlimen dan Kerajaan Pemerintah. Di antara Legislatif dan Eksekutif. Yang akhirnya membolehkan prinsip Pengasingan Kuasa itu berjalan dengan lurus.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

parlimen

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.