Home » All Post, Headlines

Perlis Maju 2015 Tetapi Hanya Mempunyai Sebuah Hospital Sahaja

Submitted by on April 23, 2015 – 10:20 AMNo Comment

Kenyataan Umum
23 April 2015

Perlis Maju 2015 Tetapi Hanya Mempunyai Sebuah Hospital Sahaja

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Perlis terkilan dan amat kecewa dengan pengumuman oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar Perlis, Jafperi Othman, yang menyatakan bahawa Putrajaya tidak akan meneruskan projek Hospital Padang Besar atas alasan situasi ekonomi.

Ketika ini, Perlis hanya mempunyai sebuah hospital sahaja iaitu Hospital Tuanku Fauziah, Kangar yang hanya mempunyai bilangan katil sebanyak 404 buah sahaja. Bilangan ini tidak cukup untuk menampung pesakit kerana ia bukan sahaja memberikan khidmat kesihatan kepada seluruh penduduk Perlis malahan, turut mencakupi penduduk Kodiang dan Sanglang, Kedah. Kesesakan pesakit di Hospital tersebut sememangnya menjadikan projek Hospital Padang Besar adalah sesuatu yang amat mendesak dan kritikal.

Selain itu, semenjak zaman Shahidan Kassim menjadi Menteri Besar lagi telah mengumumkan rancangan Perlis Maju 2015. Tetapi adakah logik dalam menuju ke arah menjadi sebuah negeri maju, Perlis hanya mempunyai sebuah hospital sahaja? Hospital bukan sahaja satu kemudahan asas tetapi ia adalah kemudahan yang amat penting kepada rakyat.

Kerajaan Negeri sepatutnya mempertahankan dengan tegas rancangan pembinaan Hospital Padang Besar bukannya sekadar menerima bulat-bulat keputusan Putrajaya membatalkannya. Rakyat Perlis perlu membuka mata melihat bagaimana Pemerintah menganaktirikan Perlis. Sebagai sebuah kawasan “fixed deposit” koalisi BN, maka Perlis terus dinafi hak mendapat hospital baru.

SAMM Perlis juga maklum dengan projek pembinaan Pusat Perubatan KPJ akan tetapi pusat perubatan swasta bukanlah satu-satunya pilihan bagi menggantikan projek yang dibatalkan ini. Tidak semua rakyat Perlis mampu untuk menerima rawatan di pusat perubatan swasta. Sebagai sebuah Kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab untuk menyediakan kemudahan kesihatan yang menjaga kebajikan semua strata ekonomi rakyat.

SAMM Perlis juga berpandangan langkah membatalkan projek ini bersandarkan alasan situasi ekonomi sebenarnya menunjukkan kegagalan Najib Razak menguruskan ekonomi dan kewangan negara. Rejim Putrajaya boleh membeli sebuah jet baru yang bernilai ratusan juta ringgit dan juga boleh menyediakan kredit tunggu sedia bernilai RM 950 juta kepada 1MDB tetapi tidak langsung memikirkan kesihatan dan kesusahan rakyat Perlis yang terpaksa bergantung harap kepada sebuah hospital sahaja.

Inilah sebenarnya polisi pentadbiran rejim Najib yang terus mementingkan kelompok mahakaya dan kapitalis berbanding rakyat marhaen.

Asrul Nizam Abd Jalil
Penyelaras SAMM Perlis

perlis

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.