Home » All Post, Headlines

Tidak Perlu Lancar PPPM (PT) Tetapi Beri Kebebasan Akademik

Submitted by on April 9, 2015 – 4:26 PMNo Comment

Universiti

Kenyataan Umum
9 April 2015

Tidak Perlu Lancar PPPM (PT) Tetapi Beri Kebebasan Akademik

Pemikir Kaum Muda SAMM berpandangan langkah Kementerian Pendidikan melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) hanyalah satu lagi tindakan kosmetik oleh pihak Kementerian. Seperti juga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mana telah menjadikan pelajar-pelajar sekolah umpama tikus makmal dengan pelbagai dasar flip-flop.

Sebelum ini pun kita telah mempunyai Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN) 2006. Tapi soalannya, dimanakah kedudukan universiti-universiti tempatan dalam ranking universiti dunia? Sejauh manakah graduan-graduan yang dilahirkan sepanjang penggunaan polisi PSPTN ini berjaya menjadi tenaga kerja dan sarjana bertaraf dunia?

Hakikatnya, Pemerintah harus memilih untuk memberikan penumpuan untuk memberikan kebebasan akademik kepada warga Universiti. Selagi warga kampus tidak menikmati kebebasan akademik, segala perancangan baik autonomi universiti mahupun Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) hanya akan menemui jalan buntu.

Kebebasan Akademik yang tersekat telah menghalang warga kampus untuk memainkan peranan masing-masing, sesuai dengan falsafah penubuhan universiti sebagai pusat pengembangan potensi kemanusiaan. Akta-akta seperti AUKU dan sebagainya digunakan untuk menghalang pelajar dan pensyarah daripada melahirkan pandangan yang kritikal dan tidak senada dengan Pemerintah.

Ramai aktivis mahasiswa yang telah menjadi mangsa sekatan Kebebasan Akademik. Ada yang digantung pengajian malahan ada yang dibuang universiti. Paling terkini adalah kes yang melibatkan Saudara Fahmi Zainol yang hanya menjemput Anwar Ibrahim berpidato di Universiti Malaya.

Begitu juga, kebebasan akademik yang tersekat ini turut memangsakan kumpulan pengajar. Nama-nama seperti Dr. KS Jomo, dan Dr. Chandra Muzaffar adalah contoh klasik mangsa sekatan kebebasan akademik. Kita juga masih tidak lupa bagaimana Professor Azmi Shahrom, seorang Professor undang-undang didakwa di bawah Akta Hasutan hanya kerana memberikan pendapat akademik beliau.

Kes-kes sebegini akan menghalang kebebasan pelajar dan tenaga pengajar untuk memberikan pandangan dan analisis mereka dengan bebas. Pemerintah seharusnya menerima dengan baik keupayaan warga kampus untuk menghadam pelbagai isu negara dengan kritis. Keupayaan pemikiran kritikal ini sebenarnya adalah satu bentuk latihan kepada pelajar universiti sebagai persediaan menghadapi realiti alam pekerjaan nanti.

Pemerintah juga perlu memberikan kebebasan kepada Universiti untuk menentukan “Kerajaan Universiti” mereka sendiri. Perlantikan daripada Kementerian kadangkala tidak langsung berdasarkan merit kebolehan akademik, sebaliknya lebih kepada kepentingan politik kepartian Pemerintah untuk mencengkam Universiti.

Tekanan dan cengkaman berterusan Pemerintah ke atas Universiti akhirnya telah menjadikan universiti kita umpama kilang dan pelajar-pelajarnya pula seperti robot. Universiti terus hilang daya saing dan keupayaan untuk melahirkan hasil kajian dan penyelidikan bertaraf dunia. Akhirnya, kita terpaksa melihat dan menerima hakikat ranking universiti kita yang terus merosot saban tahun.

Sehubungan itu, Pemikir Kaum Muda SAMM mendesak Pemerintah untuk memberikan lebih banyak kebebasan akademik dan autonomi kepada warga kampus. Hayati kata-kata Ahli Sosiologi, Abdul Rahman Embong,

“Universiti harus menjadi sebuah universiti yang merupakan tempat untuk memberi ilmu di mana pelajar dan pensyarah bersama-sama menuntut ilmu, menghasilkan pengetahuan, bertukar idea, berbahas dan sebagainya untuk menyemai semangat mencari kebenaran, semangat untuk menyiasat dan mencipta.”

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.