Home » All Post, Headlines

Kuatkuasakan Saja Undang-Undang Tidak Perlu Mengugut

Submitted by on May 15, 2015 – 10:51 AMNo Comment

Kenyataan Umum SAMM
15 Mei 2015

Kuatkuasakan Saja Undang-Undang Tidak Perlu Mengugut

Saya ingin merujuk kepada Notis Pemberitahuan Trafik yang dikeluarkan oleh Bahagian Trafik Polis DiRaja Malaysia melalui facebook rasmi Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) pada 14 Mei 2015 seperti berikut :

NOTIS PEMBERITAHUAN TRAFIK

Cawangan Trafik Bukit Aman akan melancarkan operasi Waran Tangkap (Ops Warta) secara besar-besaran mulai 18/5/2015 hingga 31/5/2015 serentak di seluruh negara.

Sehubungan dengan itu, semua saman dengan status Waran Tangkap dikehendaki membuat pembayaran sebelum tarikh 18/5/2015 (sebelum mulanya Ops Warta).
Kesemua saman berstatus Waran Tangkap selepas 18/5/2015 akan disekat pembayarannya sebagai proses bicara dan semua pesalah yang ditangkap akan dihadapkan terus ke mahkamah dan pembayaran denda adalah di mahkamah.

Semasa Ops Warta dijalankan, kenderaan dengan saman berstatus waran tangkap tidak boleh memperbaharui cukai jalan dan pembayaran kompaun juga tidak dibenarkan lagi.

Selain itu Ketua Trafik Bahagian Bukit Aman Dato Mohd Fuad Abdul Latiff juga dalam temubual bersama Bernama Radio menyatakan bahawa “Kita telah kenal pasti pesalah trafik yang memiliki waran tangkap ini… di mana mereka berada, dan minggu depan kita akan jejak dan tahan mereka seterusnya bawa ke mahkamah,.”

Saya ingin menarik perhatian Ketua Trafik Bahagian Bukit Aman khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya bahawa Polis DiRaja Malaysia tidak sewajarnya menggunakan kaedah ugutan dalam menguatkuasakan undang-undang. Undang-undang hanya perlu dikuatkuasakan mengikut prosedur perundangan tanpa perlu sebarang unsur ugutan ke atas orang awam. Kenapa perlu Ketua Bahagian Trafik Bukit Aman mengeluarkan kenyataan sedemikian?

Untuk makluman semua Waran Tangkap ialah suatu waran yang dikeluarkan oleh Mahkamah kerana kegagalan orang kena saman (OKS) hadir ke Mahkamah pada tarikh yang ditetapkan di dalam saman. Waran Tangkap tidak membuktikan kesalahan tetapi dikeluarkan untuk memastikan OKS hadir ke Mahkamah. Waran tangkap tidak akan terbatal dengan membuat bayaran di mana-mana kaunter polis kerana yang berhak membatalkan waran tangkap ialah Mahkamah yang mengeluarkan waran tangkap tersebut.

Oleh yang demikian, seseorang OKS yang dikatakan memiliki waran tangkap, beliau hanya perlu hadir ke mana-mana balai polis untuk mendapatkan tarikh bilakah kesnya akan disebut semula dan menghadirkan diri ke Mahkamah di mana waran tangkap tersebut dikeluarkan dan memberikan alasan kepada Mahkamah kenapa pada tarikh terdahulu, beliau telah gagal menghadirkan diri. Apabila Mahkamah berpuashati dengan alasan yang diberikan, maka waran tangkap tersebut akan dibatalkan dan kemudian kes beliau akan disebut seperti biasa untuk merekodkan pengakuan atau dibicarakan.

Kenyataan Ketua Bahagian Trafik Bukit Aman menghendaki pemilik saman berstatus waran tangkap menjelaskan bayaran adalah tidak mengikut prosedur perundangan yang sah. Pembayaran yang dilakukan kepada Polis juga tidak sah kerana apabila waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah, ini bermaksud kes tersebut telah didaftarkan di Mahkamah dan hanya Mahkamah sahaja yang boleh memerintahkan seseorang itu membayar denda atau sebaliknya.

Apa akan berlaku jika seseorang itu telah membuat bayaran kepada polis kemudian waran tangkapnya tidak dibatalkan? Perkara sebegini telah kerap kali berlaku. Ramai di kalangan masyarakat yang telah membuat bayaran kompaun saman kepada polis atau pihak berkuasa yang berkaitan tetapi di dalam rekod mereka masih mempunyai saman-saman tertunggak.

Saya ingin mengingatkan Ketua Bahagian Trafik Bukit Aman dan seluruh pihak penguatkuasa undang-undang bahawa undang-undang hendaklah dikuatkuasakan mengikut prosedur perundangan yang sah bukan secara jalan pintas.

Apabila undang-undang dikuatkuasakan mengikut prosedur perundangan yang betul ianya secara tidak langsung akan memberikan pendidikan, kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat berkaitan undang-undang yang dikuatkuasakan agar kesalahan-kesalahan serupa tidak diulangi.

Undang-undang adalah untuk mendidik dan mengawal masyarakat bukan untuk tujuan keuntungan.

Peguam ZULHAZMI SHARIFF

Penasihat Undang – undang SAMM

logo samm

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.