Home » All Post, Headlines

RMK-11 : Isu Perumahan

Submitted by on May 24, 2015 – 11:12 AMNo Comment

Tulisan Umum

24 MEi 2015

RMK-11 : Isu Perumahan

Isu perumahan sememangnya menjadi satu polisi yang sangat bermasalah di Malaysia. Masalah utama yang berlaku dalam sektor perumahan negara ini adalah spekulasi harga pasaran rumah yang melampau sehingga memberikan bebanan kepada rakyat untuk memiliki rumah.

Akhirnya, intervensi berlebihan Kerajaan dalam sektor perumahan tidak menambah baik keadaan ini sebaliknya ia menjadikan harga rumah kategori biasa semakin tinggi lantas menghasilkan sekumpulan rakyat berpendapatan sederhana terus kehilangan peluang untuk memiliki rumah. Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri patut melihat kepada polisi perumahan negara Jerman.

Pakar ekonomi dunia berpendapat bahawa polisi perumahan Jerman lebih seimbang dalam aspek intervensi Kerajaan dan pelaburan swasta berbanding negara lain. Locke, Professor Emeritus di University of Hawaii pula menyatakan kejayaan utama polisi ini adalah Jerman berjaya menguruskan pasaran perumahan yang membantu melicinkan peluang pekerjaan. Hanya 43% rakyat Jerman memiliki rumah sendiri tetapi kadar penganggurannya hanya 5.2% berbanding Sepanyol – 80% rakyat memiliki rumah tetapi kadar pengangguran hampir 27%.

Di Jerman, polisi Kerajaan mereka yang paling utama adalah integrasi antara polisi pembangunan dan kebajikan yang lebih menyeluruh. Jerman memperkenalkan sistem sewaan dimana 53% daripada rumah di sana adalah merupakan rumah sewa.

Melalui polisi ini, Kerajaan Jerman menggubal peraturan penyewaan dan kadar sewa juga dilarang daripada dinaikkan dengan tinggi. Penyewa juga diberikan jaminan tempoh menyewa selagi mana mereka membayar sewa dan berkelakuan baik. Sangat sedikit penyewa yang diminta keluar dari rumah sewa. Itu pun hanya kes-kes yang melibatkan pembangunan semula bangunan-bangunan atau kawasan.

Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan di Jerman sering menambah penawaran rumah secara konsisten dengan memberikan tanah untuk dibangunkan secara tetap. Manakala Kerajaan Pusat pula memberikan sokongan kewangan kepada PBT. Kedua-dua polisi ini adalah berdasarkan kepada jumlah penduduk terkini dan tepat dalam sesuatu kawasan. Sektor Perumahan Jerman tumbuh berdasarkan permintaan dan penawaran yang realistik bukan spekulatif.

Pemaju perumahan di Jerman jarang membina projek perumahan mega sebaliknya hanya mensasarkan kepada membina rumah berkualiti yang murah dan selamat dan dalam masa yang sama masih mempunyai lebihan tanah yang boleh dibangunkan pada kos yang berpatutan pada masa yang diperlukan kelak.

Hasil daripada polisi perumahan ini, Jerman telah berjaya mengelakkan wujud keadaan “pembelian panik”, ketidakstabilan harga pasaran dan spekulasi harga yang biasanya berlaku dalam pasaran hartanah yang menggelembung. Jerman terus berjaya menstabilkan harga rumah dan menjadikan ia mampu milik. Jerman akhirnya terkenal dengan polisi perumahan paling mampu milik di Eropah.

Kerajaan Persekutuan seharusnya memikirkan satu rancangan perumahan negara yang lebih berkebajikan. Bukannya terus terperangkap dalam sistem Anglo-American yang akhirnya menjadikan keadaan agihan sumber yang tidak berkesan dan insentif cukai yang hanya menggalakkan rakyat untuk melihat pemilikan rumah sebagai satu bentuk pelaburan yang bertimbun-timbun dan pembaziran ruang yang tidak digunakan sepenuhnya.

Ahmad Anwar Asyraf
Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

logo samm

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.