Home » All Post, Headlines, SAMM

RMK-11 : Tenaga Kerja, Produktiviti dan Pendapatan Tinggi

Submitted by on May 24, 2015 – 11:21 AMNo Comment

Tulisan Umum
24 Mei 2015

RMK-11 : Tenaga Kerja, Produktiviti dan Pendapatan Tinggi

RMK-11 gagal dalam menggariskan visi dan misi tuntas berhubung migrasi tenaga kerja mahir tempatan ke luar negara, produktiviti dan berpendapatan tinggi. RMK-11 hanya menggariskan idea semata-mata tetapi tidak menyatakan bagaimana usaha Kerajaan untuk melaksanakannya.

Walaupun Kerajaan telah menubuhkan TalentCorp sebagai agensi pelopor pembangunan bakat modal insan negara dan untuk menarik tenaga kerja mahir warganegara Malaysia kembali ke tanahair, tetapi TalentCorp gagal mencapai misinya iaitu hanya sekadar mampu membawa balik 2,500 orang tenaga mahir pada 2013 walaupun diberikan peruntukan RM 65 juta.

Dalam satu artikel, CEO TalentCorp telah juga menyatakan bahawa TalentCorp tidak boleh memaksa mana-mana Tenaga Kerja Mahir Tempatan untuk tidak berpindah ke luar negara. Laporan Malaysia Economic Monitor : Brain Drain 2011 terbitan World Bank mendedahkan jumlah pekerja mahir Malaysia yang berpindah keluar negara meningkat 3 kali ganda berbanding 2 dekad lepas.

Antara tahun 2000 sehingga 2010, dianggarkan 1juta rakyat telah berpindah keluar negara dan 1/3 daripadanya adalah kelompok professional. Ini bermakna setiap hari 278 orang rakyat berpindah keluar dengan 84 daripadanya adalah professional. Satu daripada setiap 10 orang lepasan pendidikan tertiari akan meninggalkan negara ini untuk mencari rezeki di negara lain. Kehilangan tenaga kerja mahir ini menyebabkan negara kerugian RM 8.4 billion setahun ekoran daripada impak fiskal terhadap imigrasi dan emigrasi serta keuntungan cukai.

Antara sebab utama rakyat kita berpindah keluar negara adalah gaji dan kos sara hidup, pembangunan karier professional dan kesesuaian untuk menghuni sebagai contoh dalam aspek taraf pendidikan untuk anak-anak mereka, kadar jenayah dan sebagainya.

Sebagai contoh, laporan ICT Job Market Outlook yang dikeluarkan oleh PIKOM menyatakan tahap gaji di Vietnam adalah 2.19 kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia dalam sektor ICT. Kajian Oriental Daily pula menyatakan bahawa di kalangan mereka yang sama ada bekerja atau bergantung kepada Singapura untuk pendapatan mereka, 87% daripadanya tidak mahu menjadi rakyat Singapura. Mereka hanya mengejar Sing Dollar dan juga tertarik dengan tawaran gaji yang lumayan.

Tidak tercatat dalam buku RMK-11 langkah dan usaha Kerajaan bagi menggelakkan penghijrahan rakyat tempatan keluar negara. Kerajaan hanya menawarkan slogan demi slogan yang enak. Menawarkan sasaran angka tenaga kerja mahir dan slogan negara berpendapatan tinggi tetapi sebaliknya hanya umpama tin yang kosong. Tanpa menyentuh dan mengatasi 3 faktor utama di atas, kita akan berhadapan dengan masalah mengekalkan tenaga mahir ini di dalam negara.
Begitu juga halnya dalam meningkatkan produktiviti. Walaupun disebut berkali-kali di dalam beberapa bab, namun tidak ada sebarang input jelas bagaimana Kerajaan akan mampu meningkatkan produktiviti kita.

RMK-11 sepatutnya menjadi batu loncatan untuk terus memperkasakan pendidikan tertiari dan kemahiran negara. Pemikir Kaum Muda SAMM bersetuju dengan cadangan sistem kelayakan tunggal dan pembangunan dan penyampaian yang diterajui oleh industri dengan kerjasama institusi dan kerajaan bagi melahirkan graduan yang memenuhi kehendak pasaran kerja.

Namun begitu, institusi pengajian tertiari termasuklah teknikal dan vokasional sepatutnya memainkan peranan utama mereka dalam membangunkan modal insan dan bakat mahir yang berproduktiviti melalui pendekatan pemberdayaan pelajar untuk berfikiran terbuka, transisi daripada apa yang diajar kepada belajar mencari ilmu secara berdikari dan mencari bahan pembacaan yang lebih bersifat global. Malangnya, dalam suasana politik tanahair ketika ini, institusi pengajian tidak dapat memainkan peranan mereka kerana limitasi dan kekangan akta dan undang-undang.

Ahmad Anwar Asyraf
Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

rmk11

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.