Home » All Post, Headlines, SAMM

Dasar Penswastaan Mahathirisme Tidak Memberikan Keuntungan Kepada Rakyat Terbanyak

Submitted by on June 4, 2015 – 11:43 AMNo Comment

Dasar Penswastaan Mahathirisme Tidak Memberikan Keuntungan Kepada Rakyat Terbanyak

Dasar Penswastaan telah diperkenalkan oleh dua pengamal dari negara kapitalis iaitu bekas Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan dan bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher. Dengan sokongan organisasi-organisasi seperti IMF, Bank Pembangunan Asia dan sebagainya, dasar ini telah menular ke seluruh dunia. Dasar penswastaan pada ketika itu menjadi fenomena politik dan ekonomi yang dilaksanakan sebagai pemindahan kepentingan atau pelaburan tertentu kerajaan kepada sektor swasta. Dengan itu, kuasa membuat keputusan kini beralih daripada tangan orang ramai kepada pihak swasta atau pemilik baru organisasi awam.

Malaysia antara negara terawal melaksanakan dasar ini di bawah pentadbiran Mahathir Mohamad pada tahun 1983. Dasar ini diperkenalkan kerana negara ketika itu menghadapi masalah bebanan hutang yang tinggi oleh kerajaan, kadar pertumbuhan ekonomi rendah dan penyertaan kerajaan yang tinggi dalam pembangunan ekonomi negara. Antara syarikat awam yang diswastakan sejak tahun 1980-an termasuklah Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Jabatan Telekom Malaysia (JTM) dan Lembaga Letrik Negara (LLN). Tidak terkecuali dalam sektor pengangkutan dan pembekalan air.

Penswastaan di Malaysia yang mensasarkan kepada untuk mengatasi kelembapan prestasi sektor awam (Jomo 1992). Namun, sebaliknya berlaku kerana ia tidak mengatasi masalah utama seperti meningkatkan kecekapan dan keberkesanan kakitangan yang terlibat. Akhirnya, ia tidak memberikan impak yang baik sebaliknya telah menjadi satu peluang untuk rejim penguasa meluaskan dan mengukuhkan hegemoni ekonomi-politik semata-mata. Penswastaan menjadi satu projek peralihan kuasa monopoli kepada pihak swasta dengan matlamat untuk memaksimumkan keuntungan semata-mata. Penswastaan menjadi satu bentuk peluang merompak kekayaan negara melalui Kapitalisme Kroni.

John Hilley dalam bukunya bertajuk Mahathirisme, Hegemoni dan Pembangkang baru menyatakan penswastaan penting di Malaysia kerana UMO telah menjadi pemain utama sebagai parti melalui pemilikan korporat dan syarikat pemegangan seperti Kumpulan Hati Budi dan Fleet Holdings.

The Economist menyatakan dalam jual beli saham di pasaran saham Kuala Lumpur yang melambung, politik dan perniagaan dipercayai saling berkait di Malaysia. Para broker mendapati bahawa harta paling bernilai adalah saham UMNO, yang bermaksud saham yang berkait dengan orang politik yang penting di parti tersebut. Syarikat lain hanya menjadi penting apabila ia diambil alih oleh mereka yang mempunyai hubungan akrab dengan politik UMNO dan mendapat faedah dan laba daripada kontrak kerajaan.

Dasar penswastaan dikatakan mempunyai kaitan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan menjadi sasaran kerajaan untuk membantu kaum Bumiputra mencapai sasaran 30% pemilikan sahamdan ekuiti syarikat pada tahun 1990. Tetapi nampaknya, ia masih menemui jalan buntu. Rujuk pengumuman Najib Razak semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) masih lagi menyebut peratusan yang sama menjelang 2020.

Dasar Penswastaan Mahathirisme ini hanya memberikan konotasi baru mengenai penyusunan semula DEB sedangkan ia adalah pemindahan kekayaan atau sumber kepada elit korporat-politik yang terpilih. Ia terus membenarkan penggunaan khusus sumber negara tanpa had bagi mengukuhkan kawalan korporat UMNO dan proksi. Ini seterusnya membenarkan Mahathir dan Daim mengawal proses naungan ekonomi-politik dengan lebih berkesan.

Antara pemain korporat-politik yang menikmati keuntungan daripada dasar ini contohnya

Wan Azmi Wan Hamzah – Land & General dan R.J. Reynolds

Halim Saad – Renong dan United Engineering (M) Bhd

Samsudin Abu Hassan – Aokam Perdana Bhd dan Landmark Bhd

Azman Hashim – Kumpulan Arab Malaysian

Tajuddin Ramli – Technology Resources Industries (TRI) dan MAS

Vincent Tan – Kumpulan Berjaya

Dick Chan – Metroplex Berhad

T.K. Lim – Kamunting Berhad

Ting Pek Khiing – Ekran Berhad

Quek Leng Chan – Kumpulan Hong Leong

Loy Hean Heong – Malaysian Borneo Finance Berhad

Ananda Krishnan – Pelaburan Pacific State, MAI Holdings, Usaha Tegas dan Tanjong.

Pada tahun 1984, Daim, seorang “budak baru” dalam politik, yang mempunyai hubungan rapat dan orang kepercayaan Mahathir telah menggunakan portfolio kewangan bagi mengagihkan aset penswastaan dan dalam masa yang sama menambahkan aset kekayaan dirinya.

Zaman Daim ini juga adalah serentak dengan pengembangan budaya politik “nouveau riche” di Malaysia. Dasar pemindahan sumber kepada elit yang strategik oleh Daim ini turut didokong oleh Samy Vellu dan MIC. Dengan ketiadaan sebarang sistem tender terbuka, UMNO/Barisan Nasional mula membawa semua aset sektor awam utama di bawah kawalan parti. MAS (1985), Telekom (1990), Proton (1991), Petronas Gas (1995) dan lebih kurang 40 perkhidmatan awam telah dipindahkan kepada syarikat berasaskan UMNO dan agensi pemegang amanah yang lain.

Menerusi dasar penswastaan Mahathirisme ini telah muncul media-media swasta yang mesra pemerintah. Mahathir telah memberikan lesen penyiaran swasta kepada TV3. Mahathir juga telah membawa semua media penyiaran dan akhbar utama di bawah naungan UMNO melalui Kumpulan Fleet Holdings dan Maika Holdings milik MIC. Mahathir telah menggunakan media-media ini untuk mempengaruhi pandangan umum terhadap semua projek-projek penswastaan. Sebagai contoh, media telah digunakan untuk memuji United Engineering (M) Bhd (UEM) kononnya berjaya menyiapkan Lebuhraya Utara Selatan dengan lebih awal sedangkan yang patut dipersoalkan ketika itu adalah kontrak RM 3.4 bilion yang diberikan kepada taikun, Halim Saad melalui UEM yang juga merupakan subsidiari pelaburan UMNO.

Dasar penswastaan yang kononnya akan mengurangkan monopoli pasaran sebenarnya tidak menghapuskan perkara ini khususnya dalam perkhidmatan dan produk keperluan asas pengguna seperti tenaga elektrik, air, telekomunikasi dan sebagainya. Jualan aset awam seperti Lembaga Letrik Negara (LLN) menjadi Tenaga Nasional Berhad (TNB) hanyalah menggantikan monopoli kerajaan kepada monopoli swasta yang menawarkan peluang luas untuk menjadi habuan kelompok terpilih. Rakyat terus dibebankan dengan tarif yang tinggi.

Begitu juga jika kita merujuk kepada perkhidmatan telekomunikasi, sebelum ini Jabatan Telekom Malaysia (JTM) sekarang telah menjadi Telekom Malaysia Berhad (TM). Sekarang, jika penduduk sesuatu kawasan perumahan ingin menggunakan perkhidmatan TM sama ada talian telefon mahupun internet, pihak TM memberikan syarat mesti mempunyai permintaan 70% daripada penduduk kawasan barulah pihak TM akan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan tersebut. Segalanya telah menjadi orientasi keuntungan semata-mata bukan lagi penyedia perkhidmatan yang memenuhi tanggungjawab sosial kepada rakyat.

Dalam industri pembekalan air bersih, tindakan Kerajaan menyerahkan industri ini kepada operator-operator swasta tidak menambah baik sebaliknya rakyat terpaksa menanggung tarif yang tinggi. Sebagai contoh di Johor, Syarikat Air Johor (SAJ) sentiasa gagal dalam memastikan operasi mereka berjaya menurunkan kadar Non-Revenue Water (NRW) sebaliknya mengambil jalan mudah menaikkan tarif sebagai jalan untuk mengurangkan risiko kerugian. Akibatnya, Johor kini mempunyai tarif air yang amat tinggi berbanding negeri lain.

Dasar Penswastaan Mahathirisme ini juga akhirnya telah memberikan tekanan dan dampak kepada Kerajaan kerana akhirnya kegagalan yang dialami terpaksa ditelan oleh Kerajaan. Sebagai contoh, MAS, sebelum MAS diserahkan kepada Tajuddin Ramli – Korporat-Kroni Mahathir, MAS mempunyai rizab tunai yang banyak. Namun kini, MAS menanggung beban hutang mencecah sekitar RM 11-12 bilion. Kerajaan telah pun membeli semula MAS dan kini dalam proses penstrukturan semula yang menyaksikan 6,000 pekerja telah dipecat.

Begitu juga dalam hal pengangkutan. Mahathir telah mengarahkan pembinaan prasarana LRT di Lembah Kelang bukan sahaja sebagai metod pengangkutan awam tetapi untuk memudahkan penonton berulang alik dari pusat bandaraya ke Kompleks Sukan Nasional di Bukit Jalil untuk menonton Sukan Komanwel 1998. Namun, bukan sahaja Sukan Komanwel tidak memberikan pulangan lumayan malahan, Kerajaan terpaksa pula membeli semula syarikat LRT STAR dan Putra ini.

Begitu juga dengan Indah Water Konsortium (IWK) dan Perwaja Steel. Persamaan bagi semua syarikat dan projek ini adalah ia diswastakan dan dalam masa yang sama menanggung kerugian hingga ada yang mencacah berbillion ringgit.

Melihat kepada perbandingan penswastaan di luar negara, kebanyakan negara tidak menswastakan beberapa sektor penting seperti perkhidmatan kerana mereka melihat industri itu bukan dinilai dari segi keuntungan tetapi keselesaan pengguna. Contohnya, di Jepun, sistem pengangkutan kereta api laju tidak diswastakan dan kekal menjadi milik Kerajaan sepenuhnya.

Dasar penswastaan Mahathirisme ini telah mencambahkan sistem Ali Baba. Ia bukan sahaja tertakluk kepada firma kecil dan sederhana tetapi juga kapitalis bukan Melayu yang besar yang mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan pemimpin UMNO. Konglomerat Kapitalis ini dengan bijak melantik pemimpin-pemimpin UMNO dengan tawaran habuan elaun bulanan dan keistimewaan kemewahan lain menjadi Ahli Lembaga Pengarah mahupun Pengerusi Syarikat semata-mata untuk memudahkan mereka mengaut laba daripada dasar penswastaan ini.

Rumusannya, dasar penswastaan Mahathirisme ini telah memberikan keuntungan kepada elitis korporat-politik dan kerajaan sendiri. Secara tidak langsung melalui penghasilan dan percambahan elitis korporat-politik ini telah mengukuhkan cengkaman Kerajaan dalam dua elemen terpenting iaitu ekonomi dan politik. Yang menjadi mangsa adalah rakyat terbanyak. Syarikat meraih keuntungan yang besar daripada kos yang tinggi dan semakin meningkat yang terpaksa di bayar oleh rakyat untuk menikmati sesuatu perkhidmatan termasuklah sistem jalan raya, telekomunikasi, elektrik dan lain-lain lagi. Sudah sampai masanya, dasar ini disemak semula oleh pihak Legislatif agar satu perancangan alternatif dapat disediakan untuk membolehkan hasilnya dinikmati oleh semua lapisan rakyat tanpa ada diskriminasi.

Pemikir Kaum Muda SAMM

**Sumber tulisan ini adalah daripada buku Mahathirisme, Hegemoni dan Pembangkang dan beberapa bahan penulisan di blog.

mahathir007

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.