Home » All Post, Headlines, SAMM

RESOLUSI SAMM 03/2015

Submitted by on August 10, 2015 – 2:51 PMNo Comment

Resolusi Rapat SAMM 03/2015
Kenyataan Media
10 Ogos 2015

RESOLUSI SAMM 03/2015

Hari ini (9 Ogos), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah mengadakan Rapat Kebangsaan Kali 03/2015 yang menghimpunkan seramai 50 orang aktivis SAMM yang terdiri dari Pengarah Segmentasi, Penyelaras Negeri dan Kawasan dari seluruh negara. Dalam rapat kali ini, SAMM telah sepakat untuk menetapkan Resolusi SAMM seperti berikut :

1. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memilih untuk tidak bersama dalam mana-mana gerakan yang terarah menyerang individu semata-mata. Berdasarkan pengalaman keterlibatan SAMM ketika berada di barisan hadapan menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri terdahulu.

Jika kita akui pendedahan WSJ itu betul maka, wang yang masuk itu adalah untuk urusan dana Pilihanraya UMNO-BN, rejim ini telah melakukan kesalahan akta Pilihanraya Malaysia dengan perbelanjaan berlebihan had dengan sumber yang haram. Untuk mendepani ini Kerajaan harus dibubarkan dan diambil alih oleh sebuah ‘caretaker govt.’ yang dianggotai oleh semua parti politik untuk tempoh masa maksima 18 bulan. Dalam masa itu ‘caretaker govt’ ini seharus mendepani krisis kewangan, krisis kepimpinan yang didepani negara kini.

Perlu ada pengukuhan dalam merombak undang – undang bagi merobah sistem yang rosak dan mudah dimanipulasi selain dari mempersiapkan Negara untuk ada sebuah pilihanraya yang bebas dan adil. Percaya dan yakinlah ahli politik yang berfikir pendek dan korup pasti tidak akan bergerak ke arah penyelesaian tuntas ini. Mereka pasti lebih selesa bekoalasi dengan siapa saja hanya kerana kuasa. Maka inilah masa masyarakat sivil bertindak. Perlu ada gerakan besar – besaran mendesak agenda besar ini. Bukan sekadar berhimpun untuk menurunkan individu semata – mata.

Kempen #sudahlahMahathir akan diteruskan, Mahathir punca kecelaruan dalam negara ini dan kempen ini mensasarkan perubahan sistem bukan sekadar perubahan individu. SAMM tidak sama sekali membela Najib tetapi menegaskan hanya menjatuhkan Najib dan menaikkan seorang lagi PM ikut tunjuk Mahathir tidak membawa erti apa-apa. Ingat Kita pernah menjatuhkan Abdullah bersama Mahathir dan Mahathirlah yang berkeras menunjukkan Najib sebagai PM walaupun ada bantahan keras dari rakyat. Akhirnya Abdullah di serang Mahathir kerana gagal menjadi boneka sebegitu juga Najib diserang Mahathir kerana gagal menjadi boneka.

2. SAMM juga berpandangan perubahan itu harus muncul dalam keadaan lebih jelas dan divisualkan bukan sekadar retorik menumbangkan regim lebih lagi hanya individu semata tetapi ia perlu terarah kepada perubahan sistem. Maka, SAMM bersedia mengeluarkan Blueprint “Kerajaan Perubahan” yang akan menyebut secara jelas pindaan undang – undang dan perlembagaan seperti berikut :

· Perubahan Sistem Pilihanraya
persempadanan yang adil
kawasan lokaliti tanpa pengundi luar dan seumpamanya.

  • Dana Politik
    bukan bergaduh siapa nak dedah dahulu seperti kanak – kanak tetapi perlu bentang segera di Parlimen dan biar rakyat lihat siapa tolak
  •  Jawatan Perdana Menteri dan semua Ketua Negeri dihadkan kepada maksima dua penggal sahaja
  •  Kebebasan Media
    tiada wujud media bebas (sama ada media pro regim atau pro pembangkang) tetapi yang perlu ada ialah kebebasan mewujudkan media
  • Semua suruhanjaya diletakkan di bawah parlimen dengan method pemilihan anggota yang lebih demokratik. Ini turut melebar kepada Peguam negara, Ketua Hakim dan seumpamanya.
  •  Pilihanraya Kerajaan Tempatan

Blue Print ini juga akan jadi asas kepada tuntutan kerajaan baru yang terbentuk. Ia akan diserahkan kepada semua ahli parlimen sebelum sidang parlimen akan datang. Kesempatan krisis dalam negara hari ini perlu di ambil kesempatan bagi mengenengahkan idea kukuh negara pembaharuan.

3. SAMM secara jelas tidak akan bersama dalam perhimpunan BERSIH 4 selagi pihak BERSIH masih meletakkan individu sebagai sasaran. BERSIH sepatutnya menilai perlawanan sebenar iaitu keabsahan pilihanraya ke 13 apabila dilaporkan sumber dana pilihanraya Barisan Nasional melebihi had yang dibenar. Tumpuan seharusnya masih kepada ‘reform’ sistem dan proses pilihanraya itu sendiri. Jangan apabila sudah dekat atau selepas PRU baru sekali lagi bising kerana penipuan SPR.

4. Gerakan progresif atau pun pembangkang di Malaysia seharusnya menumpukan untuk mewujudkan satu pakatan politik yang kuat dan menyakinkan. Dalam keadaan regim yang lemah khususnya kerana faktor pergaduhan Mahathir yang menyerang Najib, peluang terbuka luas tetapi gerakan progresif atau pembangkang jangan hanya menangguk sokongan kerana kelemahan dan pergolakan dalam regim. Dengan perkembangan semasa kekecewaan rakyat terhadap regim makin tinggi tetapi persoalan penting adakah rakyat yakin untuk menyerahkan negara ditadbir oleh gabungan politik yang goyah. Cabaran kini bukan menyerang individu, regim harus diserang secara keseluruhan dan pakatan politik yang ampuh dan menyakinkan harus dipersiapkan. SAMM terus komited bersama dengan gerakan progresif negara dalam menumbangkan regim kerana ia merupakan pintu ke arah negara perubahan.

DAP menolak PAS (Hadi) dengan menerima Harapan Baru sebagai rakan sepakat. PKR secara gagal menyatakan pendirian secara pastinya tetapi kebanyakan pimpikan kanan mesra malah hadir program Harapan Baru. Di Selangor, Menteri Besar PKR pula kelihatan lebih pro PAS (Hadi). DAP memberikan amaran lebih sebulan lepas kononya beri masa hingga selepas raya untuk Menteri Besar Selangor memilih untuk bersama PAS ataupun DAP, namun hingga kini senyap pula semula. Jangan rakyat bosan dengan ini semua dalam kekecewaan kepada regim Umno – Bn.

5. Rapat ini telah meluluskan modul sekolah politik SAMM. SAMM telah sedia dan telah menyusun sebuah sekolah politik yang akan dijadikan medium latihan dan pengukuhan idealisme setiap aktivis. SAMM juga mengumumkan akan menganjurkan ‘Konvensyen Anak Muda’ yang melibatkan wakil anak muda rentas segmentasi dan juga rakan-rakan sekutu dari negara serantau. SAMM juga telah mengaktifkan rangkaian serantau. Bermula Sept 2015 SAMM akan mula menghantar aktivis untuk sesi latihan aktivisma di beberapa negara tetangga.

6. Meminta semua sekutu bersedia untuk satu himpunan ‘Hari Rakyat’ pada hujung tahun 2015.

CHE’GUBARD
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

2 rapat kebangsaan samm 03-2015

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.