Home » Headlines, SAMM

Kenyataan Menteri KKMM Mengenai Jalur Lebar Dangkal

Submitted by on September 30, 2015 – 11:24 AMNo Comment

Tulisan Umum
30 September 2015

Kenyataan Menteri KKMM Mengenai Jalur Lebar Dangkal

Kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia bahawa rakyat Malaysia lebih memilih untuk menggunakan perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan rendah adalah amat dangkal dan memalukan. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) amat tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri ini yang menggambarkan sikap lepas tangan Kementerian dalam soal penembusan internet berkelajuan tinggi ke seluruh Negara.

Menteri sepatutnya bercakap mengenai keupayaan rakyat untuk mendapat capaian penembusan teknologi maklumat yang lebih pantas, stabil dan baik bukannya sekadar bercakap seolah-olah mewakili syarikat operator. Apa pilihan yang rakyat ada ketika ini? Rakyat bukan tidak berminat dengan internet kelajuan tinggi tetapi harganya agak mahal. Sebagai sebuah Kementerian yang mengawal selia perkembangan industri telekomunikasi, KKMM sepatutnya menjadi satu badan yang turut memikirkan tanggungjawab untuk memastikan setiap rakyat dapat memiliki internet berkelajuan tinggi.

Dalam dunia digital hari ini, Negara-negara mula berlumba-lumba untuk menawarkan kelajuan internet tinggi kepada pengguna di dalam Negara mereka. Tetapi ia berlaku sebaliknya di Negara kita. Ketika ini, syarikat-syarikat operator telekomunikasi agak perlahan dalam membuat penaiktarafan perkhidmatan. Walaupun kadangkala terdapat liputan HSDPA (Kelajuan sekitar 7-10 Mbps) tetapi oleh kerana berlaku kesesakan di pencawang (substation), semua operator hanya dapat memberikan perkhidmatan pada kelajuan 1 hingga 3 Mbps sahaja.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu mengharamkan internet berkelajuan rendah. Semua operator telekomunikasi tidak lagi dibenarkan untuk mewujudkan pakej-pakej internet berkelajuan rendah sebagai contoh penetapan had minimum kelajuan internet kepada 4Mbps. Apabila ditetapkan had minimum kelajuan internet ini, pengguna-pengguna internet di peranti mudah alih juga akan mendapat manfaat penggunaan internet berkelajuan tinggi yang lebih stabil.

Ketika ini pengguna peranti mudah alih hanya membayar servis internet berdasarkan kepada kuota data yang diberikan tetapi kelajuan bergantung kepada kawasan liputan. Walaupun ada syarikat telekomunikasi yang menawarkan internet berkelajuan 4G tetapi masih terdapat kawasan dalam Negara kita yang hanya mempunyai liputan EDGE.

Apabila diwujudkan syarat kelajuan minimum 4Mbps ini, secara tidak langsung akan memaksa syarikat-syarikat operator telekomunikasi mengeluarkan modal untuk menambahbaik prasarana mereka bagi menyediakan perkhidmatan yang baik untuk semua pengguna mereka.

KKMM perlu memastikan setiap operator telekomunikasi ini menyediakan prasaran yang secukupnya, bukan hanya menyatakan mereka mempunyai perkhidmatan terkini yang terpantas contohnya 4G, tetapi kawasan liputannya adalah hanya sekangkang kera. Kawasan-kawasan lain masih kekal dengan kelajuan 3G dan EDGE.

Begitu juga pihak Telekom Malaysia. Perkhidmatan UNIFI yang mempunyai kelajuan sehingga 30Mbps tetapi kawasan liputan amat kecil. Majoriti kawasan liputan internet TM masih mengekalkan Streamyx kerana UNIFI memerlukan TM untuk membuat pelaburan menanam kabel optik fiber berbanding Streamyx yang hanya menggunakan kabel copper telefon.

Hanya dengan campur tangan daripada pihak Kerajaan sahaja dapat memaksa operator telekomunikasi ini membuat pelaburan yang lebih tinggi lagi. SAMM mengakui kesukaran, kos yang tinggi dan juga agak tidak logik di kampung-kampung pedalaman mendapat kelajuan tinggi tetapi Kerajaan perlu melakukan sesuatu supaya capaian internet berkelajuan tinggi ini menjadi lebih meluas ke seluruh Negara. Sebagai contoh, KKMM boleh menetapkan peraturan kuota permintaan pengguna maka menjadi satu kewajipan kepada operator untuk menaiktaraf kemudahan sekiranya mencecah kuota permintaan di satu-satu kawasan.

SAMM juga percaya dan yakin, sekiranya lebih banyak ruang internet kelajuan tinggi dapat dinikmati oleh rakyat, secara automatiknya rakyat akan beralih untuk menggunakan pelan kelajuan tinggi ini kerana semua perkhidmatan internet akan dapat diakses dengan cepat seperti streaming, boleh menonton tv atau filem di internet, boleh menonton siaran langsung acara sukan dan lain-lain. Untuk menggunakan semua aplikasi ini sememangnya memerlukan internet berkelajuan tinggi untuk menggelakkan buffering dan juga data yang lebih banyak lagi.

Ketika ini, rakyat hanya menggunakan pakej internet mudah alih ini untuk aplikasi media sosial seperti Whatsapp, Twitter, Facebook, WeChat dan sebagainya. Tidak ramai yang menonton tv sebagai contoh Astro-On-The-Go melalui peranti mudah alih kerana masalah buffering dan penggunaan data yang banyak akan memerlukan mereka mengeluarkan perbelanjaan yang lebih. Tetapi, sekiranya mendapat liputan internet berkelajuan tinggi dengan harga yang mampu milik, sudah pasti trend penggunaan aplikasi internet Negara kita akan berubah, bukan hanya berkisar kepada media sosial semata-mata.

Oleh itu, SAMM mencadangkan kepada Menteri dan KKMM untuk menetapkan suatu tempoh kepada operator perkhidmatan telekomunikasi untuk menaiktaraf prasara dengan kadar segera dan menetapkan peraturan agar internet berkelajuan rendah ini ditiadakan. SAMM juga percaya persoalan mengenai caj dan harga pakej internet kelajuan tinggi ini juga akan mula turun sebaik sahaja tiada lagi pelan internet berkelajuan rendah.

SAMM melihat trend pengguna internet oleh rakyat Negara ini dan juga persaingan antara syarikat operator telekomunikasi akan lebih merangsang harga internet berkelajuan tinggi yang lebih kompetitif dan mampu milik. Tidak mungkin syarikat-syarikat ini sanggup kehilangan pengguna yang memberikan mereka pulangan keuntungan jutaan ringgit setiap bulan jika mereka terus mengekalkan harga yang mahal. Cuma pada ketika ini, syarikat-syarikat operator telekomunikasi lebih berminat untuk menyediakan prasara internet berkelajuan rendah yang lebih murah dan kemudiannya meraih pulangan keuntungan yang banyak.

Jika dibiarkan internet berkelajuan 512Kbps digunakan dalam Negara kita, kita tidak akan dapat meningkatkan ranking Negara dalam soal kelajuan internet.

Roslee Mohd Shariff
Penyelaras Kebangsaan SAMM

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.