Home » Headlines, Kenyataan Media, SAMM

Pembentangan Cadangan Dana Politik Kepada Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP)

Submitted by on October 31, 2015 – 12:05 PMNo Comment

IMG_0041Kenyataan Umum
31 Oktober 2015

Pembentangan Cadangan Dana Politik Kepada Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP)

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah pun memulakan inisiatif untuk mengadakan satu blueprint Tuntutan Jalur Negara Perubahan iaitu satu garapan cadangan memperbetulkan segala kepincangan sistem urustadbir dan politik Malaysia pada penghujung Ogos yang lalu. Antara tuntutan yang turut dicadangkan adalah mengenai Dana Politik.

Sehubungan itu, pada 30 Oktober 2015, SAMM telah pun dijemput untuk membentangkan kertas cadangan Dana Politik ini di hadapan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) di Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur.

Delegasi SAMM diketuai oleh Saudara Che’GuBard selaku Pengasas SAMM dan disertai oleh Saudara Edy Noor Reduan – Pengarah Propaganda SAMM, Saudara Ahmad Anwar Asyraf – Pengarah Pemikir Muda SAMM dan Saudara Muhamad Zulhairie Dzulcaply.

Kehadiran delegasi SAMM disambut oleh Dr. Anis Yusal Yusoff yang merupakan Presiden Institut Integriti Malaysia, Encik Mohd Hafizdi Che Md Akhir, Kordinator Program Politik dan Pemimpin dan pegawai-pegawai lain.

Pembentangan dan perbincangan di antara SAMM dengan JKNMPP meliputi perkara seperti berikut :

1. SAMM sangat bersetuju bahawa Malaysia sangat memerlukan satu Akta Dana Politik untuk menggariskan mekanisme penyaluran dana politik, pembiayaan politik dan lain-lain perkara yang berkaitan,

2. Menubuhkan satu Jawatankuasa Tetap Parlimen Berkaitan Dana Politik yang terdiri daripada Blok Kerajaan dan Blok Pembangkang dengan tujuan melakukan semak-dan-imbang terhadap dana yang diterima oleh Parti Politik,

3. Setiap sumbangan, derma atau dana yang diterima perlulah diperjelaskan mengenai sumber meliputi nama penyumbang, nilai sumbangan dan tujuan sumbangan dan laporan kewangan perlulah diserahkan kepada Jawatankuasa Tetap Parlimen,

4. Kerajaan Pemerintah tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang bentuk tekanan atau halangan atau intimidasi atau sabotaj ke atas pihak yang memberikan sumbangan kepada mana-mana parti atau gerakan politik,

5. Kerajaan Pemerintah juga perlu memberikan subsidi percuma waktu penyiaran di media massa elektronik kepada semua parti politik,

6. Deklarasi Harta dan Pendapatan Wakil Rakyat, Pemimpin Utama Kerajaan, Pemegang Jawatan Tertinggi Parti Politik perlu diisytiharkan dan diserahkan kepada Jawatankuasa Tetap Parlimen selain mengekalkan sistem sedia ada iaitu diserahkan kepada Kabinet dan SPRM. Masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain dibenarkan akses kepada maklumat ini untuk menyemak dan memantau perkara ini,

7. JKNMPP perlu mengkaji kesesuaian sistem pemberian dana politik mengikut jumlah undi popular yang diterima oleh parti politik semasa pilihanraya untuk diaplikasikan di negara ini.

IMG_0036Dalam pertemuan ini juga, SAMM telah mengambil kesempatan untuk memperkenalkan Blueprint Jalur Tuntutan Negara Perubahan yang mengandungi 6 teras tuntutan iaitu Parlimen, Sistem Pilihanraya, Perlantikan Anggota Suruhanjaya, Dana Politik, Media Bebas dan Kerajaan Tempatan.

SAMM sangat gembira kerana pihak Institut Integriti Malaysia menyambut baik inisiatif SAMM untuk meneroka idea dan pencerahan pendidikan politik – hak warga kepada setiap lapisan masyarakat demi untuk meletakkan Malaysia kembali ke landasan yang tepat bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal tetapi juga pembinaan sebuah masyarakat demokrasi yang madani.

SAMM tidak meletakkan ukuran tempoh untuk direalisasikan tetapi iltizam SAMM adalah untuk membawa tema Negara Perubahan ini ke segenap sudut negara. Rakyat perlu diberikan kefahaman dan pencerahan pendidikan politik agar tidak terus menerus dinafi hak dan menjadi aparat parti politik bagi mengekalkan kuasa semata-mata.

SAMM bersedia untuk menjalin kerjasama dengan apa juga institut, agensi, NGO, pertubuhan dan kumpulan fokus seperti mahasiswa dan anak muda lainnya agar usaha kecil ini dapat memberikan impak positif kepada pengukuhan pemikiran politik rakyat.

SAMM mengucapkan terima kasih kepada YB Senator Datuk Paul Low, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) kerana memberikan peluang kepada SAMM untuk mengambil ruang di dalam perkara ini. SAMM menyeru semua gerakan muda negara untuk sama-sama tampil bukan sahaja mengkritik dan membantah tetapi mencuri peluang yang ada bagi memulihara tanahair ini.

SAMM sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada pihak Dr. Anis Yusal Yusoff dan pegawai-pegawai Institut Integriti Malaysia kerana sudi menjemput SAMM untuk memberikan pandangan dan cadangan serta berdiskusi ke arah menghentikan amalan korupsi yang telah pun menjadi satu mantra dan budaya di dalam negara ini. SAMM amat memandang serius kepentingan integriti di dalam urustadbir negara dan juga perjalanan politik tanahair.

Sekian,

Mohd Faizal Ab. Rahman
Penyelaras SAMM Kebangsaan
[email protected]

IMG_0040

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.