Home » All Post, Headlines, SAMM

Tindakan Peguam Negara Membuktikan Tuntutan Negara Perubahan SAMM Tepat

Submitted by on January 28, 2016 – 3:12 PMNo Comment

Solidariti Anak Muda Malaysia
Kenyataan Umum
28 Januari 2016

Tindakan Peguam Negara Membuktikan Tuntutan Negara Perubahan SAMM Tepat

Tindakan Peguam Negara mengetepikan saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan “membersihkan” Perdana Menteri daripada polemik derma RM 2.6 billion bukanlah satu tindakan yang di luar jangka dan mengejutkan. Bagi SAMM, ianya merupakan satu lelucon untuk menghiburkan hati tatkala kita berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi. Pastinya majoriti rakyat tidak menerima keputusan Peguam Negara ini.

Ingin ditegaskan bahawa tindakan ini adalah satu contoh mengapa SAMM begitu vokal dalam menyuarakan perubahan sistem bukannya sekadar menukarkan pemimpin secara individu mahupun menggantikan parti politik pemerintah semata-mata. Kerosakan sistem urustadbir negara yang telah berlaku puluhan tahun lamanya merupakan satu hakikat bukannya imaginasi atau omongan kosong.

Tanpa menoleh ke belakang, di sebalik kritikan dan suara-suara sinis yang merendahkan usaha, SAMM terus menyongsang arus keluar dari kelompok popular menyiapkan satu blueprint bertajuk Jalur Tuntutan Negara Perubahan sekitar bulan November 2015. Pelbagai sesi telah dilakukan termasuklah Bengkel Rethinking Merdeka dan Pembentangan Kertas Cadangan kepada Institut Integriti Malaysia telah dilakukan sebelum blueprint ini dapat disempurnakan.

Blueprint ini merangkumi 6 bab tuntutan antaranya adalah Jalur Tuntutan 3 : Perlantikan Suruhanjaya. SAMM telah menggariskan kepentingan Suruhanjaya-Suruhanjaya seperti SPRM, SUHAKAM, SPR, Suruhanjaya Kehakiman diletakkan di bawah Parlimen Malaysia bukan lagi tertakluk di bawah kementerian tertentu seperti Jabatan Perdana Menteri dan sebagainya.

SAMM juga mencadangkan pemilihan anggota Suruhanjaya ini dilakukan secara terbuka melalui 5 fasa pemilihan iaitu Penamaan Calon, Bantahan Awam Bertulis, Temuduga Ideologi, Temuduga Masyarakat Sivil dan Parlimen. SAMM, dalam blueprint ini juga cuba untuk mengkaji kesesuaian cadangan Jalur Tuntutan 3 ini untuk dipanjangkan kepada perlantikan Peguam Negara.

Ini adalah untuk memastikan bahawa kesemua penjawat jawatan penting dalam Suruhanjaya termasuklah Peguam Negara ini terjamin integriti, ketelusan dan benar-benar berkhidmat kepada negara dan rakyat bukannya kepada tuan-tuan politik yang telah melantik mereka.

Justeru itu, SAMM ingin mengajak rakyat untuk bersama-sama mendesak semua pemain-pemain dan parti-parti politik dalam negara untuk tidak lagi hanya bermain dengan isu kosmetik sebaliknya kembali kepada akar permasalahan negara, iaitu kecelaruan sistem urustadbir yang telah mengakibatkan negara ini hilang daya saing dan kredibiliti di mata dunia. Tanpa iltizam politik yang ampuh untuk melakukan pembaharuan urustadbir, masa depan negara ini akan kekal suram.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Muda SAMM

jalur 3 SAMM

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.