Home » All Post, Headlines, SAMM

Rupanya, Strategi Pakatan Mahathir Hanya Untuk Raih Undi Melayu

Submitted by on March 18, 2016 – 10:50 AMNo Comment

Tulisan Umum
17 Mac 2016

Rupanya, Strategi Pakatan Mahathir Hanya Untuk Raih Undi Melayu

Dalam membuat satu keputusan yang penting, kita mengambil banyak perkiraan khususnya jika keputusan itu dilihat drastik, dramatik dan melibatkan kepentingan umum. Kita tidak sembrono demi mendapatkan hasil yang baik atau cemerlang, maka strategi harus disusun dan dipastikan segala macam risiko, kerosakan dan kerugian itu berbaloi untuk ditanggung.

Dalam isu gabungan Mahathir, tidakkah kita terfikir di benak ini bagaimana rakusnya politikus berlari mengkerumuni si tua itu sambil melupakan zikir mahafiraun yang dikumat puluh tahun. Keputusan untuk bersama dengan Mahathir bukan suatu yang mudah, mensucikan seorang mahazalim yang merosakkan negara dari tahun 80an hingga ke saat ini adalah satu kepasrahan yang cukup berat.

Melainkan, pertimbangan bersekongkol dengan mahaswasta ini datang bersama pakej strategi kemenangan yang sudah disusun dengan baik hingga mampu menumbangkan Najib dengan segera. Strategi atas strategi tidak jadi masalah, percanggahan agenda kita tolak tepi, siapa perkuda siapa juga tidak penting. Apa yang penting rakyat hanya perlu tahu hal Najib ini mampu diselesai segera, tanpa buang masa.

Akhirnya dalam beberapa laporan media hari ini telah diakui gabungan Mahathir dan Pakatan Harapan yang terbentuk dari pengistiharan sebuah deklarasi minggu lalu, sebenarnya hanya satu strategi untuk menarik undi melayu dalam pilihanraya akan datang. Strategi ini mengambil kira kemungkinan Najib tidak mampu diturunkan tanpa pilihanraya.

Ia juga bermakna tiada strategi atau gerakan yang khusus untuk menggulingkan Perdana Menteri secepat yang mungkin, tetapi hanya bergantung pada undi pilihanraya. Jelas bahawa Pakatan Harapan sendiri tidak mempunyai urgensi untuk menjatuhkan Najib dalam perancangan utama. Kononnya pilih Mahathir ini strategis.

“Di atas kerosakkan teruk ekonomi sosial negara ini, Najib tidak boleh dibiarkan mentadbir negara ini sehingga PRU” – Inilah alasan awal politikus pembangkang untuk mengolah persetujuan ramai supaya keputusan bergabung dengan Mahathir itu dilihat sebagai satu-satunya pilihan selain kiamat. Namun hari ini mereka bicara soal meraih undi pilihanraya pula, dan jika perlu tunggu PRU maka rakyat terus menderita untuk dua tahun lagi. Jadi, berbaloikah mensucikan Mahathir?

Maka bersusunlah siri ceramah jelajah seluruh negara, menampilkan Mahathir, Mukhriz, Muhyiddin, Azmin dan Liong Sik dari pentas ke pentas. Maka berbondong-bondonglah orang ramai hadir mendengar ceramah. Lepas itu apa? Bukankah jelajah ceramah seperti ini telah kita anjur sejak 1998 lagi, tetapi Umno masih memerintah. Malah Mahathir yang sama telah naik ke pentas pembangkang untuk menjatuhkan tunku dan paklah sebelum ini, dan Umno masih memerintah. Tidakkah kita belajar dari sejarah?

Bila kita persoal kerisauan kita akan kemungkinan kelicikan Mahathir mampu membenam peluang serta harapan pembangkang menang PRU14, mereka katakan Mahathir itu tidak kuat dan tidak mampu berbuat apa-apa. Namun jika sifirnya Mahathir itu tidak kuat, mengapa dibiarkan Mahathir mengetuai deklarasi Selamatkan Malaysia itu?

Memang benar, apa yang penting ialah isi deklarasi. Tetapi harus diingat dalam mengumpul dan mengesahkan hadis sahih, perawi itu elemen terpenting. Malah deklarasi itu tidak merungkai permasalahan rakyat di bawahan, hanya banyak menyentuh perihal 1MDB semata sedangkan Anwar sudah sebut soal 1MDB ini dari tahun 2011 lagi.

Mahathir juga dilihat mula mengorak langkah menjarakkan dirinya jauh di depan kalian semua, sudah pastilah sebagai ketua delegasi anti-Najib. Semalam diumumkan supaya satu pungutan suara rakyat Malaysia atau referandum dilaksanakan. Referandum itu bukan soal BN dan Pakatan Harapan, bukan soal kerajaan A atau kerajaan B, bukan soal pengekalan sistem atau perubahan sistem.

Referandum yang dicadangkan oleh Mahathir itu ialah soal populariti, secara tidak langsung menjadikan negara ini sebuah rancangan realiti apabila terpaksa memilih Najib atau Mahathir sebagai hero pilihan. Cadangan referandom Mahathir ini juga menempelak politikus pembangkang, apakah mereka baru sedar yang mereka tidak interframe langsung?

Mahathir ini licik. Jika licik punya rekod sebaiknya tak apa kita boleh buat kira, tetapi dia ada rekod sebaliknya. Liciknya Mahathir ini hanya untuk melampiaskan agendanya. Jika agenda tersebut bercanggah dengan agenda Pakatan Harapan, apakah kita rasa Mahathir akan mengalah?

Agenda Mahathir juga jelas, agenda ini bukan sahaja digambarkan oleh Sanusi Junid yang berbunyi “kerjasama dengan pembangkang hanya untuk selamatkan Umno BN”, malah ia disebut oleh Mahathir sendiri. Dialog di bawah adalah transkrip dari sebuah video interview Mahathir oleh wartawan Indonesia;
Wartawan: Dr M, sebelumnya kan Anwar Ibrahim sudah menyatakan dokongan untuk kalian semua untuk partai yang digagas oleh Dr M. Menurut Dr M bagaimana?

Dr Mahathir: Ya saya terima kasih lah kalau dia sokong tapi (kita bersatu) untuk satu perkara sahaja, untuk menyingkir perdana menteri yang ada sekarang, lain-lain semua kita mungkin berbeza pendapat.

Wartawan: Masalah tuduhan kasus seksual yang dihadapi (Anwar Ibrahim) menurut Dr M apakah itu hanya isu politik atau memang (bersalah) ?

Dr Mahathir: Itu ditentukan oleh mahkamah. Kalau mahkamah berpendapat dia bersalah, kita terima keputusan mahkamah. Kalau kita tidak terima keputusan mahkamah maka sistem perundangan ‘rule of law’ tidak dapat dilaksanakan.

(Tulisan ini disertakan juga klip video interview di atas.)

Berbalik kepada persoalan agenda Mahathir, apakah kalian rasa jika berbeza agenda dengan Mahathir itu mampu diselesai dengan baik? Sedangkan pertembungan Najib-Mahathir itu juga asasnya ialah perbezaan agenda. Sepatutnya kita harus ambil kesempatan dari pertembungan Najib-Mahathir, bukannya beri kesempatan.

Akhir sekali, cuba kita lihat jawapan Mahathir berkenaan kes liwat Anwar Ibrahim. Dari jawapan tersebut, di manakah titik usaha Mahathir untuk bebaskan Anwar? Tiada langsung niat atau perkiraan untuk membebaskan Anwar yang menjadi tahanan politik. Mahathir yang sama, bila mahkamah tidak menyebelahi dia, dikatakan sistem rosak, tetapi mengenai hal seterunya atau hal rakyat, Mahathir suruh kita terima keputusan mahkamah.

Barangkali Mahathir juga seperti Najib, membuat kira-kira betapa Anwar harus berada di dalam penjara atau, Mahathir-Najib pula yang bakal disumbat dalam penjara jika Anwar dibebaskan. Begitu juga Azmin yang dilihat selesa.

Marilah kita kembali muhasabah diri, lihat balik perlawanan panjang yang telah kita lalui, lihatlah keperitan rakyat yang menempuhi onak duri hasil dari kegagalan kita yang masih tidak mampu merempuh rejim menawan Putrajaya. Akuilah kita sudah banyak kali tersalah langkah, kita tidak membentuk pakatan pembangkang yang solid dan kuat, malah lebih berpecah belah dengan keputusan menyertai rejim Mahathir.

Undurlah setapak, kira semula. Kita masih belum terlambat. Tinggalkan Mahathir dan koncunya, cukuplah bermain slogan dan yakinlah rakyat tetap akan bersama. Bayangkan, Mahathir tanpa anda, siapalah Mahathir.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Interview Dr M

Leave a comment!

Add your comment below, or trackback from your own site. You can also subscribe to these comments via RSS.

Be nice. Keep it clean. Stay on topic. No spam.

You can use these tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This is a Gravatar-enabled weblog. To get your own globally-recognized-avatar, please register at Gravatar blog.