Home » Jalur Tuntutan Negara Perubahan

Jalur Tuntutan Negara Perubahan

Jalur Tuntutan Negara Perubahan

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sangat berpegang bahawa hari ini Malaysia amat memerlukan pembaharuan. Apa pun konotasinya sama ada Reformasi, Transformasi atau Pembaharuan, ia harus datang dengan komitmen, iltizam dan usaha gigih untuk membebaskan Malaysia daripada sistem Politik-Ekonomi Naungan dan Keuntungan. SAMM juga bersedia untuk meneroka jalan yang menongkah arus, di luar kekuasaan popular, dan bersedia untuk membawa jalur pemikiran dan suara minoriti merintis jalan perubahan bagi memperbetulkan sistem kekuasaan yang diwarisi selama ini.

Rapat Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) 03/2015 bertarikh 10 Ogos 2015 telah memberikan mandat kepada Kolum Pemikir Muda SAMM melalui Resolusi No. 2 Rapat SAMM 03/2015 untuk memulakan usaha mengetengahkan idea Negara Perubahan. Seterusnya, inisiatif ini diperhalusi di dalam Bengkel Rethinking Merdeka – Negara Perubahan kendalian Sekolah Aktivism SAMM yang disertai oleh 30 orang anak muda pelbagai latar dan pengalaman.

Bagi mencapai hasrat Negara Perubahan, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah menggariskan 6 Jalur Tuntuan Negara Perubahan seperti berikut :

1. Reformasi Parlimen

Parlimen Malaysia merupakan Dewan Penggubal Undang-Undang tertinggi dalam
Negara. Sudah pastilah, perubahan yang dituntut juga perlu mencakupi Parlimen
untuk memastikan Parlimen dapat memainkan peranan yang sepatutnya dalam
mengangkat idealisme Demokrasi Berperlembagaan dan menjadi kuasa penimbal
kepada keputusan Lembaga Eksekutif. Realiti hari ini, terdapat banyak kelemahan
dan kelompongan dalam institusi Parlimen yang sangat memerlukan
penambahbaikan.

2. Sistem Pilihanraya

Sistem Pilihanraya di Malaysia sememangnya diketahui umum sebagai sebuah sistem yang pincang dan berat sebelah. Sistem Pilihanraya yang ada hari ini hanya memberikan kelebihan kepada Pemerintah bukannya bersifat adil dan saksama kepada semua pihak. Masalah persempadanan kawasan Pilihanraya, pengundian awal, daftar pemilih dan lain-lain memerlukan perhatian dan rombakan menyeluruh.

3. Perlantikan Suruhanjaya

Ketika ini perlantikan pemegang jawatan utama dalam Suruhanjaya-Suruhanjaya sedia ada adalah berlandaskan kepada perlantikan dibuat oleh DYMM Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Untuk memastikan kredibiliti Suruhanjaya ini tidak terabai, satu pembaharuan perlu dilakukan dalam hal perlantikan pemegang jawatan utama Suruhanjaya.

4. Dana Politik

Ketika ini, tidak terdapat satu perundangan mahupun prosedur yang standard berhubung dengan penyaluran dana oleh Parti Politik mahupun gerakan-gerakan politik yang lain. Keadaan ini telah memunculkan peluang dan ruang untuk parti-parti dan gerakan-gerakan politik dalam Negara ini meraih dana daripada sumber-sumber yang diragui. Lebih buruk lagi, setiap entiti politik ini tidak perlu untuk membentangkan penyata kepada khalayak umum ekoran daripada ketiadaan perundangan dan prosedur standard.

5. Media Bebas

Menyedari dalam menuju sebuah Negara maju dan madani, media perlu memainkan peranan yang penting untuk membawakan pencerahan kepada minda masyarakat. Hari ini walaupun sedikit liberal tetapi masih lagi terdapat beberapa akta yang mengikat kebebasan media. Tanpa media yang bebas dan berani, rakyat akan terus
disogokkan dengan berita-berita propaganda semata-mata.

6. Kerajaan Tempatan

Malaysia adalah antara Negara yang mengamalkan sistem Kerajaan 3 lapis atau 3-Tier Government iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Apabila membicarakan mengenai Negara Perubahan, tidak dapat tidak, Kerajaan Tempatan juga harus dibaikpulih supaya peranan dan kebertanggungjawabannya kepada pembayar cukai dapat dioptimumkan.

Dalam Blueprint Jalur Tuntutan Negara Perubahan ini juga, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) ingin menegaskan tuntutan anak muda Malaysia kepada semua
pemain-pemain politik tanahair. Kini Negara sedang berdepan dengan krisis yang amat buruk. Sama ada dari segi politik, ekonomi dan juga sosial. Pemain-pemain politik perlu mempunyai iltizam politik yang tinggi untuk mengelakkan Negara menjadi sebuah Negara Gagal.

SAMM dengan ini mendesak diwujudkan satu Kerajaan Peralihan (Caretaker Government) yang terdiri daripada wakil-wakil semua parti politik yang mempunyai kerusi di Dewan Rakyat. Kerajaan Peralihan ini perlu diwujudkan untuk satu tempoh tertentu – 18 hingga 24 bulan bagi menyelesaikan perkara-perkara seperti berikut:

1. Memulakan satu Suruhanjaya Peringkat Parlimen bagi menyiasat dan mengambil tindakan drastik terhadap setiap penyelewengan, salah urustadbir, korupsi dan penyalahgunaan kuasa yang telah berlaku selama ini

2. Memulakan satu Suruhanjaya Khas Parlimen bagi memperbetulkan semua kepincangan demokrasi termasuklah mengembalikan Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, memulihkan Doktrin Pengasingan Kuasa, Mereformasikan Institusi Parlimen dan juga Suruhanjaya-Suruhanjaya yang ada.

3. Mengambil tindakan afirmatif untuk menyediakan satu sistem Pilihanraya yang adil dan bersih termasuklah menilai semula dan meminda jika perlu Akta Suruhanjaya Pilihanraya, membersihkan daftar pemilih, mereformasikan sistem undi pos, isu persempadan kawasan pilihanraya, kawasan lokaliti tanpa pengundi luar, dan sebagainya.

4. Menyedia tapak atau asas sebuah Negara Perubahan yang akan menjadikan sebuah Kerajaan yang terbina selepas itu adalah sebuah Kerajaan Rakyat, Dari Rakyat dan Kepada Rakyat.

SAMM tidak meletakkan ukuran tempoh untuk direalisasikan tetapi iltizam SAMM adalah untuk membawa tema Negara Perubahan ini ke segenap sudut negara. Rakyat perlu diberikan kefahaman dan pencerahan pendidikan politik. SAMM sangat percaya jika semua pihak berkepentingan, dari parti politik kepada gerakan sivil kepada organisasi massa kepada rakyat keseluruhannya mempunyai iltizam politik yang tinggi untuk memperbetulkan kepincangan sistem yang telah berlaku ini maka, Malaysia pastinya mempunyai harapan masa depan yang cerah.

Sesungguhnya ini bukan usaha yang mudah. Tiada jalan pintas, tiada lebuhraya. Yang ada hanya satu denai yang panjang. Namun, dihujungnya pasti akan menuju destinasi bercahaya yang memberikan pencerahan demokrasi negara ini buat rakyat, untuk rakyat dan demi rakyat. Rakyat tidak harus diperangkap dalam polemik perang politik politisi negara. Rakyat tidak memilih untuk diberi pilihan dan masalah sebaliknya rakyat mendambakan penyelesaian kepada setiap kemelut yang melanda politik tanahair.

“Words offer the means to meaning and for those who will listen, the enunciation of truth. To remind the world that fairness, justice and freedom are more than words – they are perspectives.”

Untuk membaca Cetakbiru Jalur Tuntutan Negara Perubahan, Klik Di Sini