Home » Kenali SAMM

Kenali SAMM

Pendahuluan

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang neutral dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik. Walaupun anggota SAMM terdiri dari pimpinan politik dari parti-parti tertentu, ianya tidak menjejaskan prinsip SAMM yang membuka penyertaan golongan muda tanpa mengira perbezaan ideologi politik.

SAMM ialah sebuah gerakan anak muda (tidak ada struktur dan hiraki formal) bermula sejak tahun 2006 lagi, menghimpunkan anak muda Malaysia dari perbagai latar yang percaya akan keperluan bangkit dengan keberanian dan sepenuh daya mendesak perubahan. Perubahan bukan satu takdir yang harus ditunggu sebaliknya merupakan satu tanggungjawab anak muda untuk sama mendesak dan menggerakkan massa ke arahnya. SAMM juga berpaksikan pendekatan radikal dalam banyak perkara.

Tujuan utama penubuhan SAMM adalah untuk menyediakan platform kepada anak-anak muda di Malaysia untuk bersama-sama melaksanakan program-program dan aktiviti kearah melahirkan masyarakat muda yang berani untuk memimpin masyarakat dalam berhadapan dengan kehidupan di era globalisasi yang semakin mencabar.

SAMM kini telah berkembang ke seluruh pelusuk negara dan mempunyai organisasi sayap di setiap negeri yang menggerakkan keanggotaan baru. Malah terdapat banyak kelompok-kelompok kecil kumpulan anak muda dari kebanyakkan negeri yang sudah menyertai pergerakan SAMM dan ia di bawah seliaan SAMM Negeri.  Gerakan perjuangan SAMM mengakar di bumi bagi memastikan gerakan ini cukup kuat menempuhi pelbagai cabaran anak muda.

Perjuangan yang kita lakukan hari ini ialah warisan perlawanan rakyat yang ditindas sebelum ini. Perjuangan ini ibarat mata rantai, kita bukan yang dahulu tetapi kita bukan yang terakhir. Cuma lakukan yang terbaik ketika zaman kita, anak muda harus berani mencipta sejarah.

Objektif SAMM

1) Melahirkan masyarakat muda Malaysia yang progessif dan dinamik tanpa mengira perbezaan agama, kaum dan ideologi politik.

2) Membudayakan demokrasi sebagai satu cara hidup dengan menggalakkan anak muda untuk berbeza pendapat.

3) Melatih anak-anak muda untuk peka terhadap isu-isu semasa baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Pendekatan SAMM

  1. Hak Warga
    Anak muda akan didedahkan mengenai undang – undang, perlembagaan dan hak selaku warga negara, dengan kesedaran semua ini maka rasa kecintaan terhadap negara akan lebih mendalam.
  2. Pendidikan
    Kesedaran pendidikan akan diberi tumpuan, bantuan dari aspek kesedaran pendidikan jauh ke kawasan pendalaman
  3. Kebajikan
    Anak muda yang dilibatkan dalam kerja kebajikan akan pasti meningkat kesedaran serta jati diri.

Modus operandi

  1. Tanpa penglibatan politik secara kepartian
  2. Penerbitan risalah, video dan bahan-bahan edaran umum.
  3. Menganjurkan program-program yang menarik anak muda.
  4. Peluang untuk ke luar negara bertukar pengalaman melalui perbagai program latihan dan ‘internship’ melalui jaringan hubungan organisasi di luar negara.
  5. Latihan pengukuhan radikalisma dikalangan anak muda

Garis pedoman SAMM berpaut pada resolusi yang terhasil dari setiap rapat kebangsaan yang berlangsung 3-4 bulan sekali.

Organisasi

SAMM berdaftar dibawah SMM dengan menyenaraikan  Pengerusi dan 4 orang lembaga pemegang amanah.

Dalam pergerakan, SAMM mempunyai 6 Pengarah dan 22 Penyelaras Kebangsaan dan Penyelaras Negeri. Penyelaras tiap negeri dinamakan bagi memudahkan pengurusan dan keanggotaan terbuka kepada semua anak muda bawah 35 tahun.